Pengajaran isu Irshad Manji – Mengacu kelantangan akal dengan iman


Umat Islam kini dihadapkan dengan kelantangan pemikiran Irshad Manji yang memperkenalkan dirinya pada dunia sebagai reformis kontemporari Islam. Membaca hasil penulisannya, tak keterlaluan kalau dikatakan bahawa pemikiran Irsyad Manji ini lahir hasil tekanan dan sekatan terhadap kelantangan pemikirannya yang dirasakan datang dari pembudayaan Islam yang rigid di sekelilingnya. Sepertimana sikap Irshad Manji yang lantang dalam berfikir, yakinlah bahawa masih ramai diluar sana yang turut lantang berfikir, cuma tidak bertindak sepertinya.

Kelantangan berfikir ini sebenarnya merupakan satu anugerah sekiranya ia dijinakkan dengan satu-satunya unsur berharga yang tak pernah kalah dalam menghikmahkan pemikiran. Saya tidak menggunakan perkataan ‘mendiamkan’ kelantangan pemikiran kerana unsur ini tidak pernah mematikan, tetapi bertindak menyalurkan kelantangan ke arah hikmah untuk digunakan ke arah Syurga. Unsur yang saya maksudkan adalah satu unsur revolusi terhebat yang sifatnya sememangnya sukar untuk dihuraikan dengan kata-kata melainkan dengan merasainya sendiri.Unsur yang dimaksudkan adalah iman. Iman adalah membenarkan dalam hati, berikrar dengan lidah dan membuktikan dengan perbuatan anggota badan segala apa yang disampaikan Rasulullah S.A.W. Iman bukanlah sekadar membiasakan lidah dan anggota badan dengan percakapan dan perbuatan yang dikatakan sebagai perlakuan orang beriman, tetapi iman harus terdahulu menancap dalam hati sampai pada tingkat keyakinan yang kuat tanpa dipengaruhi oleh kebimbangan dan keraguan sepertimana dalam Al-Hujurat ayat 15:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu

Kekuatan dalam hati inilah yang menggerakkan pemikiran, lidah dan anggota badan untuk bertindak selari dengan apa yang dituntut oleh Allah S.W.T. Tindakan luaran yang lahir selari dengan jiwa beriman inilah yang melahirkan sebuah kepatuhan tanpa ragu yang dipandang pelik oleh orang-orang yang tidak beriman.

Suka untuk saya bawakan satu kisah seorang Khalifah Islam yang dapat dikaitkan dengan kelantangan fikiran yang diacu cantik oleh iman. Khalifah yang dimaksudkan adalah Khalifah Umar Al-Khatab. Dalam riwayat, Khalifah Umar Al-Khatab sama sekali tidak memperhitungkan timbangan akal fikirannya. Sebelum menganut agama Islam, Umar menyembah berhala yang diperbuat dari roti. Setelah merasa perutnya lapar, tanpa peduli dimakannya roti tersebut untuk mengenyangkan perutnya, walaupun manusia lain mengagung-agungkan dan menjaga betul-betul segala objek yang dijadikan sembahan. Umar juga menguburkan seorang puterinya hidup-hidup tanpa belas kasihan sedangkan puterinya menghulurkan air untuk diminum Umar yang kelihatan penat menggali lubang kubur. Begitulah tindakan nekad hasil pemikiran tajam seorang insan yang ketika itu belum didasari iman.

Walaubagaimanapun, setelah iman meresap dalam jiwa, kemerdekaan berfikirnya tumbuh indah. Wawasan pandangannya jauh ke hadapan. Akalnya tajam memperhitungkan akibat daripada segala sesuatu tindakan. Diriwayatkan bahawa, setelah Islamnya Umar, Umar menebang pohon Ridhwan yang diadakan di bawahnya perjanjian Hudaibiah di antara Rasulullah dan para sahabat baginda dengan kaum Musyrikin. Hal ini kerana pemikiran tajam Umar telah terawal mengkhuatiri bahawa pada masa akan datang manusia akan memandang suci dan menganggap pohon tersebut pohon keramat yang dipuja-puja dan disembah untuk memohon keberkatan.

Terbukti, insan inilah yang telah Allah janjikan Syurga buatnya. Syurga yang dijanjikan setelah segala sikap jahiliahnya terpandu dengan acuan iman yang memekar dalam jiwa. Seharusnya kita yang tidak tentu diakhiri dengan Syurga atau neraka ini sentiasa mengikat akal bebas dengan iman yang mantap. Kerana itulah projek menggembur iman perlu dijadikan projek sepanjang hayat, sehinggalah ajal menjemput.

Kalau setelah membaca artikel ini, masih ada pembaca yang merasa bahawa umat Islam sememangnya berhadapan dengan pelbagai sekatan dari Allah,tak keterlaluan untuk saya mengingatkan bahawa, siapa kita untuk bergaduh dan bertekak dengan Tuhan yang Menjadikan kita.? Terlupakah kita bahawa kita ini hanyalah hambaNya yang sememangnya diarahkan untuk hidup di dunia untuk beribadah kepada Allah? Jika kebebasan yang dituntut menjangkaui hakikat kejadian kita sendiri, suka juga untuk saya ingatkan bahawa kebebasan mutlak yang didambakan nafsu kita saat ini hanya akan digapai di Syurga nanti. Justeru, ayuh menjadi hamba yang bergaya calon Syurga akhirat walaupun Syurga dunia sedaya upaya mengikat kita padanya!

Media sosial: gelincir bahaya lidah zaman moden


Wanita amat sinonim dengan isu bahaya lidah. Kalau disebut perihal mengumpat, mengata belakang, dan menjaga tepi kain orang sering sekali dikaitkan dengan wanita. Walaubagaimanapun, hakikatnya wanita atau lelaki, semuanya terdedah kepada penyakit yang sama. Sebagai umat Islam, kita semua sedia maklum tentang imbuhan yang menanti andai lidah dibiarkan dipacu sewenang-wenang tanpa dijaga.

Rasulullah S.A.W menjawab ketika ditanya Muaz tentang samada kita akan diseksa kerana apa yang kita cakapkan? Rasulullah bersabda,

“Adakah manusia tidak disembamkan ke dalam neraka di atas lubang hidung mereka melainkan kerana hasil percakapan mereka?”

Nauzubillahiminzalik. Semoga kita semua tidak tergolong dalam orang-orang yang dijanjikan azab neraka.

Memikirkan tentang hakikat zaman serba canggih yang sedang kita berada di dalamnya kini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa media sosial telah memperkenalkan kepada kita satu cara baru untuk berkata-kata dan mendengar dalam medan cakupan yang lebih luas. Apa sahaja yang ingin dikatakan boleh ditaip dan diletakkan di atas talian untuk dibaca oleh seluruh umat manusia yang berada di dalamnya. Sepertimana lajunya kata-kata oleh lidah yang cepat ditangkap dengar oleh telinga, begitulah juga canggihnya fenomena media sosial masa kini. Hanya beberapa detik, informasi yang ingin dikongsi dapat disampaikan dan dapat dibaca. Para manusia yang dahulunya malu-malu dan takut-takut untuk melafazkan pendiriannya dan perasaannya dengan lidah bagaikan ketemu cahaya, mula menemui cara untuk didengari.

Ternyata, kini lidah tidak lagi menjadi satu-satunya alat utama komunikasi. Tidak perlu menanti berdepan dengan seseorang untuk menyampaikan informasi dengan lantunan suara, informasi boleh disampaikan sekelip mata hanya dengan detikan jari pada papan kekunci komputer, laptop, tablet, telefon bimbit dan pelbagai alat lagi. Sedarkah kita bahawa, jemari yang telah mula beriringan dengan lidah memainkan peranan berkata-kata manakala mata pula memain peranan seiring telinga? Sungguh, mata kita mula ‘mendengar’ manakala jari-jari kita pula mula ‘berkata-kata’!

Kita semua yakin bahawa dunia adalah ladang tanaman yang akan kita tuai hasilnya nanti di akhirat. Amalan kita dalam media sosial semestinya tidak terkecuali. Setiap satunya akan dinilai saat pulang ke kampung akhirat kelak. Begitulah seriusnya peranan media sosial dalam kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Namun keasyikan dalam menghadapi fenomena ini dikhuatiri mengaburi adab dan akhlak Islam yang sekian lama telah cuba ditanam dalam jiwa umat Islam. Kita kadang-kadang terlupa bahawa Rasulullah telah bersabda bahawa:

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia bercakap dengan perkara baik atau diam.

Ramai yang mampu mendiamkan lidah dari berkata-kata, tetapi hakikatnya untuk diam secara total mula menjadi masalah apabila wujudnya media sosial sebagai satu medan alternatif untuk berkata-kata. Kewujudan media sosial membuatkan ‘kebisingan’ lidah di alam nyata kini boleh beralih kepada ‘kebisingan’ jemari di atas talian. Namun, sekiranya media sosial digunakan sebaiknya sememangnya ia mampu menjadi satu medan ‘kebisingan’ yang berguna untuk menyebarkan perkara-perkara baik yang sering takut-takut untuk diucapkan dengan lidah. Sebagai contoh, ramai yang berkongsi status facebook atau twitter yang berfaedah tanpa membuka keaiban serta artikel bermanfaat di blog-blog yang penuh dengan pengajaran-pengajaran yang berguna. Walaubagaimanapun, sepertimana mudahnya berkongsi perkara baik di medan sosial, syaitan semestinya tak lupa menggoda menggunakan peluang ini untuk menjadikannya alat tambah untuk memperkatakan perkara-perkara buruk yang semestinya mengundang dosa.

Untuk menjadi umat Islam yang patuh pada suruhan Allah dan ajaran Rasulullah, semestinya kita semua telah mula memikirkan bagaimana caranya untuk kita kekal dengan adab-adab Islam dalam kecanggihan zaman moden, bukan?

Pertama sekali, kita harus menanam sikap ihsan dalam-dalam, iaitu melakukan sesuatu perbuatan dengan penuh berjaga-jaga seolah-olah kita dapat melihat Allah dengan hati atau menyedari dan merasai bahawa Allah sedang melihat kita. Rasa ini akan menerbitkan rasa malu pada Allah lantas dapat mengawal perkataan kita dengan menjauhi yang buruk dan sia-sia.

Kedua, kita harus tahu bahawa percakapan adalah antara amalan yang akan dihitung kira di akhirat. Hal ini kerana ramai manusia tidak mengira percakapannya sebagai sebahagian daripada amalannya yang akan dipertimbangkan saat penentuan ke Syurga atau ke Neraka kelak. Oleh itu mereka banyak bercakap tanpa berfikir dan menyelidik.

Sepertimana yang dikongsikan oleh Umar Abdul Aziz,

“Sesiapa mengira percakapannya sebahagian daripada amalannya, dia kurang bercakap melainkan tentang perkara yang perlu dan berguna sahaja.”

Ketiga, kita perlu berterusan dalam mengambil tahu tentang perkara mana yang dikira sebagai kebaikan perkara mana yang dikira sebagai keburukan dan yang sia-sia. Rasulullah tidak pergi tanpa meninggalkan panduan dan bekalan kepada kita dalam memilih kebaikan yang seharusnya kita ucapkan, secara tak langsung menjelaskan kepada kita bahawa perkara selain darinya adalah perkara yang harus dijauhi. Berikut adalah satah satu di antara hadith-hadith Rasulullah yang menyentuh tentang adab percakapan:

At-tarmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ummu Habibah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Setiap percakapan manusa ditulis ke atasnya (akan memudaratkannya) melainkan menyuruh dengan perkara yang baik, mencegah daripada perkara yang mungkar dan menyebut nama Allah ‘Azza wajalla.”

Betapa jelas dan benarnya prinsip Islam. Sejauh mana pun manusia telah berjaya menerokai kemajuan dunia tiada sebab yang mampu meleraikan tuntutan manusia dalam memenuhi kehendak hukum dalam adab dan ibadah kepada Allah. Setinggi mana pun manusia menongkat langit hakikatnya kita semua hanyalah tanah saat sakaratul maut datang bertandang, saat semboyan kiamat dibunyikan Israfil. Sejauh mana kita pergi, kita takkan lari daripada keperluan merujuk kepada hakikat asas tujuan penciptaan seorang muslim yang sentiasa beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sunggah dalam menggapai idaman untuk pulang bahagia ke Syurga.

Semoga kita semua terus beringat-ingat dalam beramal dengan akhlak dan adab Islam walau seteruja manapun kita digelumang dengan gajet-gajet dan sistem-sistem moden. Kalau telah kurang rasa malu pada manusia malulah pada Allah yang hakikatnya tak terkata lebih jauh canggih Syurga dan cakerawala Nya berbanding kecanggihan kecil dunia yang sedang terlalu asyik kita nikmati. Selamat menjadi manusia moden yang masih segar dengan adab Islam!

Oleh:
Siti Balqis Binti Syed Mohamad Noor

Editor:
Usamah Izer

Aurat: Logik akal vs tuntutan aqidah


Istilah aurat cukup sinonim dengan wanita, walaupun golongan lelaki juga mempunyai aurat mereka sendiri. Mengapa sedemikian rupa?. Kita sedia maklum, lelaki Islam wajib menutupi bahagian badannya bermula dari pusat hinggalah ke lutut. Dengan memakai seluar pendek yang menutupi pusat, yang labuhnya melepasi lutut sudah dikira menutup aurat dalam syara’. Berdasarkan pemerhatian kebiasaan, seorang lelaki muslim yang menutup aurat seperti yang dituntut syarak, tidak membawa perbezaan yang signifikan berbanding kebanyakan lelaki-lelaki bukan muslim yang berpakaian sama, tanpa langsung berniat untuk menutup aurat.

Tetapi, jika seorang wanita Islam menutup aurat, sudah tentu ianya jelas diketahui umum bahawa dia sedang menutup aurat dan sedang mematuhi perintah Tuhannya. Hal ini kerana, aurat wanita yang wajib ditutup adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan (dari pergelangan tangan hingga ke bawah). Seorang wanita yang bertudung, berpakaian longgar dan memakai stokin sudah tentu jelas kalihatan berbeza berbanding wanita-wanita bukan muslim di sekelilingnya. Secara jelas lagi nyata, wanita berpakaian menutup aurat diketahui umum akan agama yang dianutinya, agama Islam.

Tidak dapat dinafikan lagi, perbezaan ketara tuntutan syarak pada kedua-dua jantina yang berbeza ini cukup jelas kelihatan. Hakikatnya jelas dapat dilihat sendiri oleh sekalian manusia. Wanita harus membeli pakaian-pakaian longgar dan labuh, perlu mengganti pakaian saat keluar dari rumah atau didatangi yang bukan mahram, perlu berpanas terik berselubung badan dan sebagainya. Perbezaan tuntutan ini sememangnya mengundang pelbagai persoalan, dari benak jiwa yang tidak beriman mahupun yang beriman. Hal ini kerana, manusia dikurniakan mata oleh Allah untuk melihat, juga akal yang sememangnya dikurniakan sebagai satu kelebihan oleh Allah kepada manusia berbanding makhluk lain untuk berfikir. Ditambah pula dengan hadirnya nafsu dalam diri yang sentiasa meronta-ronta berkehendakkan sesuatu, juga syaitan yang sering membisikkan ragu.

Namun, Allah tidak meninggalkan manusia bergelumang dengan persoalan-persoalan pensyariatan tanpa jawapan. Disebabkan itulah Allah mewujudkan satu unsur terkuat dalam jiwa manusia yang beruntung. Unsur terkuat yang dapat menenangkan berontakan persoalan-persoalan pensyariatan ini dikenali sebagai ‘iman’. Dengan hadirnya iman, kebebasan akal untuk berfikir bagai diikat pada satu paksi kukuh. Sememangnya Allah sendiri tidak menghalang manusia berfikir, malah Allah mengalakkan menggunakan akal sebebasnya hanya sekiranya kebebasan itu dapat menambah keimanan. Justeru, di sinilah kekuatan akal seorang manusia yang beriman. Logik akalnya didasari dengan peranan unsur iman yang terpasak kuat dalam jiwa.

Begitulah halnya dengan isu aurat. Seharusnya lelaki dan wanita muslim bermula dengan melihat khabar iman dalam jiwa. Iman menuntut kita semua sebagai khalifah Allah di muka bumi ini untuk membenarkan dalam hati, berikrar dengan lidah dan membuktikan dengan perbuatan pada segala apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita semua. Di sinilah bermulanya episod keyakinan yang mantap pada sebuah pensyariatan. Dengan meyakini bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, segala apa yang disuruh, disaran, ditegah ataupun dilarang, pastinya mudah diterima.

Dengan keyakinan, hati yang tertunduk patuh pada Pencipta sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat keredhaan dan keampunan daripadaNya. Hati yang diselaputi iman benar-benar jelas membayangi apa yang dikehendakinya pada pengakhiran sebuah perjalanan kehidupan. Semestinya semua mengidamkan pengakhiran yang baik dan imbuhan Syurga nan indah yang dipenuhi bidadari/bidadara Syurga, dengan sungai susu, arak dan madu yang mengalir di bawahnya, dengan pohon-pohon buahan dan sebagainya. Dengan pandangan dan matlamat jelas inilah, manusia nekad melakukan apa sahaja yang diperintahkan.

Inilah jawapan dan rahsianya pada kepelikan seorang mukmin. Walaupun, dengan mata berneracakan dunia, kelihatan seperti mereka sanggup bersusah payah, dilihat tidak bebas melakukan apa yang ingin dilakukan.., tetapi sebenarnya manusia-manusia beriman ini, tidak sedikit pun merasa terbeban malah merasa puas dan bebas, kerana berjaya melepasi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan sebuah kebahagian berpanjangan di akhirat kelak.

Aurat lelaki dan aurat wanita bukanlah sesuatu yang mampu disingkap dengan logik akal, kerana Allah yang menciptakan kedua-dua golongan manusia ini semestinya lebih Maha Tahu akan apa yang diperlukan, apa yang sesuai dengan fitrah kejadian mereka. Kita semua yang hanya menjadi ‘sesuatu yang diciptakan’ oleh Allah Yang Maha Berkuasa ini sedikitpun tidak layak untuk mempersoalkannya. Malah, kelebihan akal yang juga diciptakan Allah ini semestinya terhad, jauh lebih terhad berbanding Pengetahuan Dia Yang Maha Mengetahui.

Semestinya Dia Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui menyusun segalanya dengan susunan yang terbaik, yang bakal memberikan kebaikan kembali kepada khalifah-khalifah ciptaanNya. Harus diingat bahawa, tiada sedikitpun Allah berkehendakkan pada kita semua, yang hanyalah ciptaanNya, tetapi, kitalah yang amat berkehendakkan bermacam-macam perkara dari Tuan yang Menciptakan kita, Allahurabbuna..

Justeru, jelaslah bahawa seharusnya tiada langsung ruang yang tersedia membenarkan kita melanggar perintah Allah, termasuklah dalam perihal menutup aurat, hatta lelaki mahupun perempuan. Jika sudah hilang rasa malu pada manusia, sedarlah bahawa, seharusnya kita berganda-ganda malu pada Allah yang menciptakan kita semua, yang kemudiannya tanpa berkira memberi nikmat kehidupan yang tak terhitung. Semoga kita semua menjadi hamba-hamba ciptaan Allah yang benar-benar layak bergelar khalifah, yang tercatat nama dalam senarai penghuni SyurgaNya, amin…