Cerpen: Harga sebuah Kemuliaan


Ramah senyumnya. Manis. Wanita Italy tua itu terketar-ketar menaiki tangga bas mendahului aku. Dia memilih untuk duduk di sebelah tingkap. Musim panas dalam bas tak berhawa dingin, sememangnya menguji kesabaran.

Thank you so much,sweetheart” ujarnya sejurus aku menghulur kudrat meluaskan bukaan tingkapnya. Dalam-dalam dia merenung mataku. Ringan senyumnya berbalas. Senang duduknya apabila angin luar masuk meniup helaian rambut yang dibiarnya berjurai ke dahi. Aku juga terpaku dan merasa senang dengannya. Mungkin kerana dia menggelar aku dengan panggilan ‘sweetheart‘. Buat pertama kalinya dipanggil sebegitu dalam hidupku, berbunga-bunga juga hatiku🙂

Aku tersenyum sendiri, sambil mengeluarkan senarai barangan yang perlu dibeli. Baru tiba di negara orang, perancangan belanjawan perlu disusun rapi. Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan nanti. Belum ada rumah, sempatlah membeli barang-barang keperluan diri. Nanti bila dah dapat rumah, lain pula kisahnya. Hal sewa rumah, bil telefon, bil elektrik, internet…. “Excuse me, dear

Suara makcik tadi menyentap perkiraanku. Aku memandangnya sambil berbasa-basi, “Yes? Is there anything else I can help you with?” Kecut juga perutku. Aku mula membayangkan bahawa aku pasti tiada peluang untuk menyelit-nyelitkan Bahasa Melayu, kalau aku terhilang kata.Buat pertama kalinya aku perlu berbahasa Inggeris seratus peratus. Ya, terpaksa berbahasa inggeris 100%.

**********

“Tidak. Tiada apa-apa lagi. Terima kasih. Saya Margaret. Siapa nama kamu?” sesi perkenalan bermula. Biasalah, nama Asia/Arab tak mudah disebut lidah Inggeris. Kemesraan mula terjalin dalam dia berusaha keras cuba menyebut namaku sebaiknya. Kukira, memang sukar namaku disebut, atau mungkin aku bukan guru yang baik?. Sebutan nama disepakati. Akhirnya aku mengizinkannya memanggilku dengan panggilan namaku yang lebih mudah disebut. Derai tawa kami berakhir di situ.

“Cuma satu yang ingin saya tanyakan, apa yang kamu pakai di kepala kamu? maaf kalau kamu terasa disindir, tapi percayalah saya hanya ingin tahu” dia menyambung kata sambil mengerut-ngerutkan dahinya untuk meyakinkan aku. Agak mengejut. Tapi kukira, itulah matlamat utamanya dari tadi.

Masin juga mulutku. Sebelum keluar ke bandar tadi, sempat aku bertanya pada kakak-kakak yang menghuni rumah yang aku tumpangi. Maklumlah, pertama kali dilepaskan untuk berjalan sendiri (setelah menjalani beberapa sesi latihan menaiki bas) “Macamana kalau orang tanya kenapa kita pakai hijab, nak jawab macamana dalam English? Kalau dia tanya kenapa kita sembah Allah, nak jawab camne? Faith tu, aqidah eh? Menghambakan diri in English, apa?” Aku memang banyak bertanya. Banyak juga berfikir.

Dan sekarang, benar-benar merasakan iman diuji Allah. Rambut yang dilitup elok sekian lama ini, kerana apa? Subhanallah..

“Ini hijab. Satu tuntutan agama Islam. Kerana saya seorang Muslim, jadi saya patut mematuhinya” laju aku menutur. Pendek. Sekadar menyusun perkataan-perkataan Inggeris yang baru diajar oleh kakak-kakak sebelum keluar tadi. Puas mengorek semula susunan ilmu dalam ruang memori akal. Dan aku berharap perbualan ini tidak dipanjangkan.

“Ouh. satu tuntutan? Wanita itu didatangkan dengan kecantikan. Rugilah kalau kecantikan wanita itu tidak ditayangkan. Tidak dibanggakan”

“Lihat mereka” sambungnya, sambil menuding jari ke arah beberapa gadis Australia di ruang duduk bahagian hadapan bas. Leka mendengar MP3 masing-masing. Rambut berwarna kuning keemasan dengan highlight putih dan hitam. Tidak berlebih-lebihan. Mata dihias dengan eyeliner dan pewarna di kelopak mata. Agak keterlaluan bagiku. Hijau kebiruan. Bibir mungil dengan sapuan lip-gloss dan pewarna merah jambu. Kulitnya tampak licin, putih gebu. Ouh, lain warnanya dengan leher dan lengan yang terdedah. Dengan sedikit calitan kemerah-merahan di kedua-dua belah pipi. Menaikkan seri wajah. Hasil make-up, aku menganalisa. Memang cantik.

Potongan badan diperjelaskan lagi dengan pakaian yang melekat di tubuh. Setiap inci dapat dilihat orang. Dengan kaki disilang, hanya bertutup dengan seluar separas paha. Atas dari paha. Aku mengalihkan pandangan lekas-lekas, bila mengingati lutut dan ke atas itu auratnya buatku jua.

“Kecantikan mereka dapat dinikmati semua orang” ujarnya.

Aku diam berfikir dalam-dalam, sambil mencari kata. Kukira, harapanku supaya perbualan itu tidak diperpanjangkan, punah. Aku beristighfar kalau harapanku tadi terselit rasa tewas dalam menyampaikan dakwah Islam. sedangkan Rasulullah bergerak ke Taif untuk berdakwah, inikan pula peluang sebegini cerah? Mad’u yang datang menyerah dari. Peluang yang tak sepatutnya aku kesali. Astaghfirullahal ‘azim…

Aku cuba menghurai takrifan kecantikan yang dapat dinikmati semua orang, seperti yang diperkatakan oleh Aunt Margaret. Kalau dikirim wanita ke dunia untuk dipertontonkan kecantikan paras rupanya oleh dunia, bermakna hilanglah satu fungsi wanita pada dunia bila usia mula merenggut satu demi satu kulit yang mulus dan tegang tika mudanya. Hilanglah nilai wanita pada kaca mata dunia. Murahnya nilai kecantikan seorang wanita. Aku melihat Aunt Margaret. Mula dimamah usia. Aku mengingatkan diriku bahawa, suatu hari nanti jika ditakdirkan panjang umur, aku juga akan berada dalam usianya. Kini sudah menginjak ke alam dewasa. Terasa pantas benar masa berlalu.

Terusik dengan pendapat Aunt Margaret, terbayang ‘kecantikan’ para isteri nabi yang disebut-sebut hingga kini. Cantiknya Khadijah dalam menyokong perjuangan Rasulullah, dalam menyusun perniagaan dan dalam menjaga martabat dan maruah diri. Cantiknya Aisyah dalam manja cemburunya, merah pipinya, bijaknya dalam meriwayat hadith.. Cantiknya.. cantiknya.. Itulah kecantikan wanita yang dipertonton pada dunia. Dengan tinggi martabat dan maruahnya, di sisi Allah dan Rasul, di sisi suami yang menuntun jalan menuju Allah. “Hah.. bagusnya kalau mampu aku menceritakan kisah-kisah ini pada aunt margaret”. Keluhku, menginsafi keterbatasanku dalam berbahasa Inggeris tika itu.

“Betul, wanita memang cantik. Tetapi kecantikan itu hanya boleh dipertonton oleh mereka yang layak untuk menikmatinya. Bukan seluruh dunia layak menikmati kecantikan paras rupa seorang wanita. Islam menuntut wanita berhijab bukan untuk menindas, tetapi untuk menjaga maruah wanita. Wanita sangat dijaga dalam Islam”

Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. “Siapakah mereka yang layak itu?”

“100% kelayakan, Allah hadiahkan haknya pada suami. Tetapi, kami boleh menunjukkan rambut kami pada ibu, ayah, adik beradik, dan ibu saudara dan bapa saudara (adik beradik ibu bapa) kami. Kawan-kawan sejantina pun boleh. Lelaki, selain yang disebutkan tadi, langsung tiada yang layak menikmati kecantikan paras rupa kami” aku cuba menjelas seringan mungkin.

“Jadi, hanya mereka sahaja yang boleh melihat dan menyentuh kamu?” dia bertanya.

“Ya”. Aku menjawab. “Adakah bermakna, saya juga boleh menyentuh kamu?” tanyanya lagi, cukup naif!

Aku cuba menahan senyumku. Lantas tanganku perlahan-lahan menyentuh tangan tuanya. Seakan terkena renjatan elektrik, dia menarik lekas-lekas tangannya. Dia terdiam, lantas tertawa. “Ouh. Ya. Kita sejantina!” mungkin baru menyedari di mana klasifikasi dirinya dalam ruang halal hidupku, lekas-lekas dia memegang erat tanganku. Senyumku bersambung tawa, membalas pegangan erat tangan tua itu.

“Kamu tinggal bersama siapa? Pastinya kawan-kawan perempuan, bukan? Kalau lelaki tinggal bersama, pasti susah untuk kamu menjalankan perintah Tuhan kamu” dia menyoal dan menjawab persoalannya sendiri. Aku sekadar mengangguk. “Tetapi, sungguh kasihan kawan-kawan lelaki kamu. Langsung tak dapat menikmati kecantikan kamu. Benarkah tiada jalan lain?” dia benar-benar merasa pelik dengan cara hidup Islam.

“Ada. Hanya satu cara. Semua mereka perlu menjadi suami saya yang sah” aku menjawab pantas.

Meledak tawa Aunt Margaret. “Kamu sungguh nakal! Mana mungkin mengahwini mereka semua hanya untuk membenarkan mereka melihat rupa paras kamu? Baiklah. Betul. Tiada jalan langsung. Selain ahli keluarga, hanya dia yang bertuah dapat melihat rupa paras kamu. Suami kamu, kan?” Aku mengangguk lagi. Senang melihatnya ikhlas cuba memahami satu persatu hukum Allah. Analisa dhaif seorang hamba-Nya. Selebihnya kuserahkan pada Allah yang Maha Mengetahui.

“Suami kamu pasti merasa bertuah memiliki kamu. Kamu sungguh terpelihara. Tersimpan semuanya. Hanya untuk dia” dia menyimpul dalam reda nadanya.

“Ya, hadiah istimewa buat dia” aku mengomel sendiri, mengingatkan diri sendiri tentang maruah, adab dan akhlak yang perlu dijaga, yang pada hakikatnya, bukan sekadar buat sedap mata sang suami. Tetapi, kerana ingin mencapai redha dan syurga Allah.

“Ouh, pastinya suami aunty juga merasa bertuah memiliki aunty, kan?” aku membalas pujian..

“Ya, saya amat berharap begitu. Dia telah lama pergi meninggalkan saya” ucapnya sayu. Pandangannya dilontar ke luar jendela. “Maaf..” tuturku. “Dia dah lama meninggal dunia, meninggalkan saya keseorangan” Aunt Margaret bagai melayan perasaannya sendiri di sebalik hembusan angin petang itu.

“Tak mengapa, Aunt Margaret masih ada anak-anak” aku cuba membaiki suasana.

“Ouh, anak-anak. mereka hanya perlukan saya semasa saya masih diperlukan. Kini, mereka entah ke mana. Sibuk dengan keluarga sendiri” jelasnya, sambil cuba menyorok kesedihannya. “Maaf..” ucapku, menyesal bertanya berlebih-lebihan padanya.

Terngiang-ngiang lagu dendangan lagu kanak-kanak oleh Sami Yusuf, bertajuk Your Mother

Who should I give my love to? My respect and my honor to. Who should I pay good mind to? After Allah And Rasulullah.Comes your mother. Who next? Your mother? Who Next? Your mother.. and then your father..

Subhanallah.. tidak cukupkah lagi bukti betapa tingginya martabat seorang wanita? Anak perempuan, isteri solehah, ibu, mujahidah Islam.. sebutkan saja posisinya, rasakanlah kasih sayang Allah dalam tuntutan Allah memelihara maruah dan martabat kita. Kalau diselusuri tiap satu hukum Allah sebetul-betulnya.. Jelas, betapa tinggi kedudukan kita (wanita). Rugilah kalau wanita sendiri yang merendah-rendah dan menghina kedudukan wanita yang ternyata amat mulia.

Aku bersyukur, Allah menyambut kedatanganku di Adelaide dengan membangkitkan rasa izzahku sebagai seorang wanita, mengingatkan peranan dan martabatku dalam Islam.. Subhanallah.. andai mampu aku membimbing kecantikan ini supaya secantik Khadijah.. Aisyah…

One thought on “Cerpen: Harga sebuah Kemuliaan

  1. Subhanallah. canggih la akak.
    Thumbs up, teruskan kerja anda!😉

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s