‘Asyiq: aku, buku, cinta dan amal


Sheikh Aid Abdullah al-Qarni mencoret perasaan asyiqnya pada bahan bacaan dalam buku “‘Asyiq: aku, buku dan cinta” dalam konsep pandangannya dan perasaannya. Justeru coretan ini pula mencoretkan tentang asyiqnya saya dengan bacaan, yang saya lihat mampu membina asyik dalam pelbagai kebaikan lain. Semoga mampu memberikan kebaikan pada semua.

Bercinta dengan buku memang asyik. Kalau terkesan, lekas datang ayat menyembuh. Kalau sedih, lekas-lekas datang ayat memujuk. Suka benar berkawan dengan orang yang banyak membaca dan suka menimba ilmu. Tiap masa bagai dibawa terbang ke dimensi baru, yang belum pernah diterokai. Dunia lebih luas. Pemikiran lebih tajam. Cakap lebih bijak. Tindakan lebih matang. Tetapi, amalan bakal lebih lurus kalau aplikasi bahan bacaan dikongsi dengan guru untuk dihilang ragu. Takut kalau-kalau berguru dengan syaitan. Nauzubillah.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan” (Al-‘Alaq:1)

Saya suka membaca. Kerana saya tidak pernah gemar duduk dalam satu dimensi yang sama pada masa yang lama. Cepat bosan. Dimensi baru kadang menyergah bertalu-talu sampai kadang lelah dalam berfikir. Bukaan sesebuah dimensi itu kadang benar-benar membentuk diri dan pendapat, tetapi kadangkala tak kurang juga sekadar angin lalu yang memberi khabar berita. Terpulang pada barakah bacaannya.

Sumber bacaan
Saya memang terlalu suka membaca. Boleh dikatakan satu kegilaan. Hingga selalu saya mentajdid niat, memastikan saya tak dikawal nafsu. Biar membaca sentiasa jadi ibadah. Justeru, bacaan yang tak membangkitkan iman, tak membangkitkan rasa takjub saya pada kebesaran Allah, tak membangkitkan rasa berkobar menentang mungkar dunia, tak membangkitkan rasa mengeakkan makruf.. semuanya saya tolak ke tepi.

Tindakan
Saya berfikir lagi. Cukupkah sekadar berjaya memilih bahan bacaan yang betul untuk membentuk hati, sudah lengkap definisi ibadah dalam membaca? Akhirnya, untuk diri saya, saya tersedar bahawa.. kalau hati dibentuk, perlu ianya mampu melonjak amal. Barulah terbukti bacaan tak sekering helaian kertasnya.. tapi ruh bacaannya basah melebihi basahnya larian dalam hujan lebat.

Realiti
Realitinya, dalam pekerjaan saya pun sebagai seorang penyelidik, saya sememangnya bergelumang dengan buku-buku dan bahan bacaan. Walaupun demikian, kegilaan saya ini membuatkan saya tidak hanya sekadar membaca bahan dalam bidang saya (bahan bacaan profesional), tetapi bahan bacaan lain seperti buku agama, bacaan fikrah, isu semasa, sirah, motivasi, pengurusan diri,harta dan keluarga dan bermacam-macam lagi. Dalam beribu-ribu bahan bacaan yang pernah saya lewati, saya menemui bahawa, bacaan terhebat yang merangkumi segala aspek yang saya sebutkan tadi tak lain dan tak bukan adalah Al-Quran al-karim.

Menggauli masyarakat dengan ilmu
Di awal teks ini, saya menyatakan bahawa, saya gemar berkawan dengan orang yang suka membaca kerana sering saya terkesan dengan kata-kata dan idea mereka yang basah. Betul, tetapi sebenarnya orang yang gemar membaca takkan mampu membawa orang lain ke satu dimensi berbeza kalau tidak dikongsi ilmunya dengan orang lain. Berkongsi ilmu tak semestinya dengan berceramah, tetapi dengan mengalirkan idea pemikiran: dengan contoh dalam tindakan, perkongsian mesra dalam bicara seharian, nasihat membina untuk kehidupan. Bagaimana mungkin seseorang mampu mengalirkan fikrah (pemikiran) kalau dia tidak mahu bercampur dengan masyarakat? kalau tidak peduli apa yang terjadi di sekeliling? Hanya dengan menggauli masyarakat sekeliling kita mampu tahu apa yang terkesan untuk dikongsi, bagaimana untuk berkongsi dan bila untuk berkongsi.

Perhubungan lebih bermakna
Dengan ilmu, seseorang tak jemu didamping, insyaAllah. Perasaan ini saya ketemu dengan rasa takjub saya tatkala ketemu sahabat-sahabat yang sering tak kering berkongsi ilmu. Tiap pertemuan rasa lebih bermakna. Tiap pertemuan sering membuka ruang resolusi pada permasalahan.

Keberkatan
Memperbaharui niat amat penting. Hamba Allah tak pernah lekang dengan rasa pergantungan hebat pada Allah. Niatkan supaya setiap tindakan kita akan dilimpahi keberkatan. Pohon doa pada Allah semoga apa yang kita baca mampu memberi kebaikan. Keberkatan itu milik Allah. InsyaAllah, dengan keberkatan, aliran ilmu mampu melonjakkan amal. Bukan sekadar amal kita, tetapi orang-orang disekeliling kita.

Saya pohon pada Allah supaya saya dihindari dari dosa. Saya pohon supaya saya tidak menjadi golongan yang dibenci Allah yang difirmankanNya dalam surah As-saff, ayat 2

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu perbuat?”.

Saya mohon juga dijauhi daripada ujub dan riya’. Moga berkekalan nekad niat diawal penulisan ini sehinggalah bertahun-tahun ketikamana artikel ini kekal menjadi bahan bacaan orang lain. Pastinya tak lain dan tidak bukan, hanya untuk berkongsi kebaikan untuk keseluruhan kita mendapat keredhaan Allah.

Astaghfirullahalazim.. wssalam alaik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s