Buat namanya yang tercatat dalam lembaran LohMahfuz


Buat dia yang tercatat dalam lembaran LohMahfuz..

Assalamualaikum,

Setulusnya, doa buat si bakal suami yang telah Allah tetapkan dalam catatan LohmahfuzNya, tak putus berada dalam solat malam ana. Tentang apa yang didoakan, biarlah menjadi rahsia antara ana dan Dia yang Maha Bijaksana dan Maha Berkehendak.

Jika dipermudahkan jalan kita, ditenteramkan hati kita dengan susunan ini, ana yakin dengan izin Allah kitalah orang-orang yang Allah Tuliskan untuk berganding bahu, melangkah bersama ke akhir hayat ke SyurgaNya.Namun, jika bukan, pasti akan ada yang lain yang telah Allah tetapkan, yang pastinya datang dengan ketenteraman dan ketenangan yang dijanjikanNya.. Tika telah sampai waktu, masa, dan detik yang telah diCatatkanNya…

Wahai si pencari redha Allah,

Ana tak gusar dengan kelengkapan material, kerana ana betul-betul yakin bahawa rezeki kita telahpun Allah tetapkan dalam catatanNya. Cuma, setiap nilaian jerih usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki, yang mana Allah janjikan perkiraan tiap titik peluh hasil perahan kudrat akan diperpanjangkan perhitungannya buat ganjaran menuju ke akhirat, itulah yang ana ingin kejarkan.

Ana juga tak gusar dengan setakat mana taraf bijaknya kita menyusun ayat-ayat cinta. Cuma, setiap tindakan usaha yang ikhlas untuk membina, memupuk, mengekalkan dan mengabadikan kasih sayang dan rasa hormat-menghormati itulah yang ana harapkan.

Ana tak gusar tentang sebanyak mana persamaan yang kita ada untuk mengikat kehendak kita untuk sentiasa tenang bersama. Cuma, setiap tindakan usaha yang ikhlas untuk memandang perbezaan (kelemahan dan kelebihan) sebagai rahmah dan sesuatu yang dapat melengkapkan masing-masing itulah yang ana yakini dapat mengikat kita seutuhnya sampai bila-bila.

Ana tak gusar tentang cantik atau jeliknya pasangan, kerana ana lebih mudah terkesan dengan tindakan, perbuatan dan kasih-sayang seseorang berbanding rupa. Kebaikan perhubunganlah yang sering mencantikkan seseorang di mata ana. Kerana keindahan rupa hanya akan dinilai dalam pandangan pertama, tetapi kecantikan akhlak lebih mudah mendominasi, bukan dalam takat pandang pertama, tetapi pada pandangan-pandangan yang seterusnya juga: kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam dan yang seterus-terusnya. Kerana ikatan pernikahan, bukan menuntut kita memandang sekali dua, tetapi berkali-kali hinggalah ajal datang menjemput, insyaAllah..

Ana menginginkan perkahwinan kerana ana yakin bahawa perkahwinan dapat menundukkan pandangan dan hati daripada yang bukan mahram. Mengalihkan setiap pandangan itu pada yang dijamin Allah kehalalanNya dengan ikatan perkahwinan merupakan satu rahmat yang Allah kepilkan dengan pelbagai hikmah di sebaliknya. Perkahwinanlah yang mencantas pelbagai perkara yang menghalang kaki ini melangkah ke Syurga. Walaubagaimanapun, ana yakin dan sedar bahawa, setelah halangan-halangan ini dicantas dengan ikatan utuh perkahwinan, bakal terbentang pula cabaran-cabaran lain. Tak kurang juga tuntutan-tuntutan yang makin bertambah. Maha Berhikmahnya Allah, yang membuatkan manusia sanggup dan berkehendak untuk mendepani cabaran dan tuntutan yang lebih besar, dengan mencampakkan naluri berkehendakkan kepada kasih-sayang pada sesama manusia itu. Malah setelahnya, disediakan pula manual lengkap untuk mengharunginya lurus ke Syurga. Subhanallah..

Cabaran-cabaran dan tuntutan-tuntutan ini juga tak menggusarkan ana, kalau kita berdua tak lupa terus-terusan mendidik hati kita supaya terus kuat pertautannya dengan Allah. Kerana Allah-lah Yang Maha Tahu pada setiap ruang penyelesaian, Dia-lah sumber ketenangan, Dia-lah Yang Maha Mempermudahkan. Kuatnya penyerahan kita pada Allah dan bersangka baik pada Allah sudah menjamin kuatnya jiwa kita untuk sama-sama menempuh ranjau dan onak duri ke Syurga.

Ingin ana ingatkan bahawa, ana bukan siapa-siapa. Walaupun mungkin di mata dunia, pelbagai kebaikan dan kelebihan yang dilihat manusia, perlu diingat bahawa, di Mata Allah pelbagai keburukan dan kelemahan yang ana punyai. Namun, hanya kerana kasih sayangNya, Allah menyembunyikan keaiban-keaiban itu daripada pandangan manusia. Selain Allah ada juga golongan manusia terdekat yang Allah campakkan rasa sanggup mendepani tiap keburukan pada diri ana ini. Iaitu, mereka yang terikat dengan ikatan darah seperti ibu bapa dan adik-beradik juga kalau nanti, dengan seseorang yang diikat dengan aqad nikah, dengan bai’ahnya pada Allah iaitu sang suami. Merekalah yang akan menonton tiap keaiban ini di depan mata, terpaksa menelan tiap kelemahan dan keburukan yang tak mungkin dilihat oleh orang lain. Dengan kesabaran dalam membentuknya biar jadi haruman untuk ke Syurga, pastinya akan tetap datang kemanisan, ketenteraman dan ketenangan dalam kehidupan.

Ana lihat, kunci mencipta kebahagian sesebuah perkahwinan adalah terletaknya pada azam untuk memberi yang terbaik kepada pasangan dan perasaan merendah diri di hadapan Allah untuk menjadikan hari esok lebih baik dari semalam. Semuanya hanya untuk mencapai keredhaan Allah semata-mata.

Akhir kalam, ana mengingatkan hati ana sendiri, walau setinggi mana hati dan jiwa ini mampu terbang tinggi dengan sayap-sayap akhirat, dunia sentiasa memanggil-manggil untuk terusan terikat dengannya.Akal dibekalkan Allah untuk menilai dengan keimanan tentang ikatan dunia mana yang perlu dicantas pantas dan ikatan dunia mana yang perlu dileraikan dengan kelembutan dan kesebaran. Apapun, kedua-duanya perlu dengan hikmah.. Untuk mencapai perkahwinan barakah, isu-isu dunia yang merentangi perjalanan, perlu diselesaikan sebaiknya, sejajar dengan fitrah kemanusiaan, lelaki dan wanita. Berdoalah pada Allah supaya Dia menunjukkan jalan terbaik, dan berserahlah padaNya setelah berusaha dengan petunjukNya.

Ana serahkan segenap keputusan pada Allah yang Maha Berkuasa untuk menggerakkan getar-getar hati kita. Semoga Allah menilai setiap usaha kita ini sebagai usaha untuk mencari keredhaanNya. Ana doakan semoga Allah meletakkan kita pada kedudukan yang paling diberkatiNya.

“Ya Tuhanku, tempatkanlah aku di tempat yang diberkati dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat” (Al-Mukminun: 29)

Wassalam alaik..

2 thoughts on “Buat namanya yang tercatat dalam lembaran LohMahfuz

  1. Salam Balqis.nice article….smg dipermudahkan sgla urusan.

    fadilah
    ex-classmate

  2. wsalam fadhilah.. amin.. buat iktibar n peringatan diri sendiri n semua.. demam musim walimah skarang ni kan.. azizah pun dah nak walimah..🙂 moga dipermudahkan urusan fadilah juga.

    rindu fadilah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s