Bahagia dunia


Hati tak berapa tenteram akhir-akhir ini. Tersepit antara keinginan, kehendak, kewajipan dan pertanggungjawaban. Alhamdulillah, Allah yang maha lemah lembut itu seringkali tidak akan meninggalkan para hambaNya tanpa jawapan dan solusi-solusi hebat.

“Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui sedangkan Dia bersifat lemah-lembut lagi Maha Mengetahui (67:14)”

Dalam sebulan Ramadhan, aku berkubu di rumah menulis thesis. Subhanallah, payahnya rupanya bukan calang-calang. Berapa kali proses tambah tolak diulang, sehinggalah akhirnya, sampai tarikh perlu dihantar, thesisnya tak meyakinkan lagi. Agak tertekan awalnya. Sampailah minggu terakhir ini, aku mengalih pandangan kepada kerja-kerja selain menulis, cuba mempelbagaikan kerja, mana tahu idea mampu bercambah-cambah lagi selepas ini.

Sehinggalah takdir Allah menentukan untuk aku tergerak hati mencuba nasib menziarahi sebuah bank tempatan untuk mengambil semula questionnaire yang aku edarkan. Akhirnya, aku ditakdirkan ketemu dengan seseorang yang bukan calang-calang kedudukannya dalam bank tersebut. Tambah memelikkan keadaan, pertemuan kami itu jauh dari tanggapan awal kami.. ye lah, menjejakkan kaki ke institusi-institusi yang terkenal dengan kesibukan mereka. Wanita 50-an itu akhirnya menasihati kami dalam pelbagai perkara layaknya seorang ibu yang menasihati anak-anak yang akan bermusafir jauh. Tak kurang mengangguk-angguk, mengomen-ngomen, tertawa-tawa.. aku siap mengeluarkan buku catatan untuk menyalin nasihat-nasihat yang betul-betul mengetuk jiwa.

Seusai pertemuan bermakna petang itu (setelah lebih sejam kami berbual), aku melangkah pulang sambil memeriksa telefon yang sengaja aku diamkan (silent-kan). Ada panggilan dari seorang sahabat jauh yang aku rindui. Panggilan itu berakhir dengan pertemuan aku dan dia bersama adik-adiknya yang dalam perjalanan pulang ke Taiping, iftar bersama adik-beradikku.Kami memasak bersama, menghidang bersama dan makan bersama-sama. Melayan tetamu sudah menjadi kegembiraan keluargaku. Sungguh, bagai cair segala kebekuan fikiranku. Terungkai serabut-serabut fikiran.

Teringatkan hari sebelumnya, aku bertemu semula dengan seorang sahabat yang banyak memandu susah payah aku semasa belajar dulu. Tak terkata gembiranya, hanya terjawab dengan genangang air mataku tatkala kami berpelukan melepaskan kerinduan.Sehari sebelumnya juga, seorang sahabat tarbiyah menemani iftar dan malam ku. Berkesempatan kami bertukar-tukar pendapat dalam pelbagai perkara, hal-hal dunia dan akhirat.

Akhirnya, setelah tidak tahu hendak membelikan hadiah raya apa untuk supervisorku yang banyak membantuku dan bersabar hingga saat ini, aku mengajak adik-beradik sesupervisor ku untuk mereka kad untuk menunjukkan tanda penghargaan kepadanya. Teringat entah berapa kali setahun aku dan adik-beradik kandungku di rumah akan riuh memikirkan hadiah apa, kad bagaimana yang hendak diberikan pada ummi abah kami bersempena hari-hari penting mereka. Apa saja yang memerlukan kerjasama, memang indah! Indahnya bukan hanya kalau sefahaman semuanya, indahnya juga tika masing-masing bertelingkah dengan pendapat masing-masing, tika masing-masing saling memujuk tatkala yang nak dibuat tak menjadi seperti yang dirancang.. macam-macam lagi!

Sehingga itu, aku berkata.. ya Allah, betapa bersyukurnya aku, dan gembira dengan dunia..:)šŸ™‚

Lantas Allah cepat-cepat menegur dengan kalamNya:

Dan tidaklah kehidupan dunia itu selain dari main-main dan senda gurau sahaja dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. tidakkah kamu memahaminya (6:32)

Astaghfirullah. terus aku membayangkan niat aku di awalnya. Adakah kegembiraan ini kerana aku merasakan mendapat redha Allah? atau aku sekadar gembira dengan senda gurau dunia?

Sungguh dunia itu tak lain dan tak bukan hanya untuk akhirat. Jadi, dunia itu harus diadun dengan adunan yang terbaik untuk mendapatkan hasil yang lemak berkrim di akhirat. Menurut Fathi Yakan dalam bukunya APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM, kalau hendakkan cara hidup Islam, perlu ada 4 bekalan ini:

1) Matlamat Hidup: hanyalah untuk mengabdikan diri pada Allah (51:56)
2) Tahu nilai dunia berbanding akhirat: nikmat dunia hanyalah sedikit berbanding Syurga (9:38)
3) Maut itu pasti (55:26-27)
4) Perlu kenal apa itu Islam dan apa yang bukan Islam (20:114)

Manusia itu, cepat saja terasa indahnya dengan dunia, padanlah Allah sediakan banyak ayat untuk mengingatkan kita betapa hinanya dunia ini. Kalau dunia yang hina inipun sudah terasa indah.. bagaimana nanti agaknya indahnya Syurga yang sememangnya Allah jamin tak tertara kehebatan dan keindahannya? Subhanallah.. tempahkan tiket perjalanan pulangku ke Syurga!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s