Kemudikan aku ke Jannah (Final)


Menukar lensa mata pemuda-pemudi ummah

Telah tiba masanya untuk para pemuda dan pemudi menukar lensa mata, dengan kaca mata Islam, menggunakan neraca Allah. Setiap apa yang dilakukan dilihat dengan percaturan yang cukup mudah!: melakukan apa yang disuruh Allah, meninggalkan apa yang Allah larang. Abadikan matlamat, misi dan wawasan kehidupan di dunia ini sebagai khalifah Allah yang mulia dalam-dalam, jauh dalam jiwa.

Dengan lensa mata baru ini, perkara-perkara besar dalam pembangunan diri insan akan dilihat sebagai prioriti berbanding perasaan larut percintaan yang kian berpasak dalam budaya kita. Telah tiba masanya untuk kita mengambil berat isu-isu mempertahankan jatidiri wanita Islam dan mengajak wanita Islam kembali kepada cara hidup Islam yang menitik beratkan pelbagai adab kesopanan dan kesusilaan, seperti iffah, berani, tahan lasak, berlemah lembut dan lain-lain sifat dan akhlak saudari muslimah. Telah tiba masanya untuk kita mencuit kembali kehebatan semangat Sulatan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayyubi, para khalifah dan para pejuang Islam terdahulu yang terpendam lama dalam jiwa para pemuda dengan mengambil berat isu-isu kepimpinan Islam, pembentukan jatidiri para pemuda yang cantik ibadahnya, lurus akhlaknya indah peribadinya.

Pembentukan individu ini seharusnya menjadi agenda utama setiap individu dalam meniti tangga-tangga fasa kehidupan.Individu yang menyedari hakikat ini takkan terleka dalam memastikan pembentukan dirinya (jasmani dan rohani) seimbang dan kekal dalam landasan Islam.

Berkeluarga,satu perjanjian yang berat!

Hal ini penting kerana, bermula daripada individu-individu inilah, keluarga muslim terbentuk. Keluarga muslim bermula daripada pertemuan lelaki dan wanita dalam satu ikatan suci, perjanjian yang disebut dengan istilah penjanjian yang berat (mithaqan ghaliza).

Dengan lensa mata bertaraf kelas pertama, setiap individu akan menilai setiap keadaan dengan neraca Allah. Hak Allah yang nak dipertahankan, bukan hak diri sendiri. Segala yang terjadi juga diserahkan pada Allah setelah berusaha dan bertawakal.Dengan lensa mata Islam, pastinya pertemuan dua jantina ini tidak lagi hanya dilihat dari segi tarikan keindahan cinta semata-mata, tetapi lebih melihat kepada realiti bahawa dua jantina yang berlainan ciri dan latarbelakang perlu dihadapai dengan persediaan mental yang kuat.

Walaubagaimanapun, perlu diyakini bahawa pelbagai perbezaan yang akan dihadapi datang dengan seribu satu hikmah untuk melengkapi satu sama lain. Pelbagai ruang perbincangan perbezaan jantina mula wujud dalam pasaran. Antara buku cadangan yang menghuraikan perbezaan jantina untuk difahami semua adalah:

Bacaan saranan:

Men Are from Mars, Women Are from Venus, by John Gray

Why men dont listen and Women cant read maps, by Allan and Barbara Pease

Memilih calon suami/isteri

Fasa pemilihan calon merupakan fasa yang penuh dengan hikmah Allah. Tetapi yakinlah dengan janji Allah bahawa:

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)

Semestinya individu yang bermisi dan berwawasankan akhirat akan bersungguh-sungguh membuat pilihan yang betul terhadap calon suami atau isteri dengan harapan, rumahtangga yang terbina dapat meneruskan risalah Islam. Ruang usaha ini terbentang luas caranya, namun perlu diingatkan untuk menyerahkan pada Allah dan berlapang dada dengan ketentuan Allah.Istikharah, musyawarah, merisik, bertunang dan menjaga adab-adab muamalat dan ikhtilat merupakan satu permulaan yang baik untuk membina keluarga yang diberkati Allah.

Fasa Pertunangan

Setelah memilih, fasa pertunangan juga perlu dilalui dengan memahami apa hakikat keperluannya: iaitu untuk membuka ruang taaruf dua buah keluaraga yang bakal disatukan dengan perkahwinan dua individu muslim. Saat inilah perkenalan bermula, dengan mengetahui batas-batas adab muamalat dan ikhtilat sesame bukan mahram yang perlu dijaga.Perlu diingat, pertunangan tidak menghalalkan pasangan sepertimana nikah menghalalkan perhubungan seorang lelaki dan wanita.

Perkahwinan

Dengan misi dan wawasan berlandaskan Islam, persiapan perkahwinan juga dilihat teliti supaya dilandasi syarak. Adat-adat bukan Islam, serta perkara-perkara yang ditegah oleh Islam kekal haram untuk dilakukan seperti mendedahkan aurat, mengubah ciptaan Allah pada tubuh, berbelanja berlebih-lebihan pada perkara yang tidak sepatutnya dan lain-lain lagi. Hal ini penting bagi memastikan kemaslahatan jangka panjang perkahwinan itu terjaga.Perbincangan dengan ahli keluarga secara berhikmah perlu dilakukan dalam memerangi tegahan Islam yang telah berakar umbi dalam budaya masyarakat.

Setelah aqad nikah dijalankan, bermulalah kehidupan sepasang suami isteri. Ketika ini, kalau perlu berulangkali menyegarkan carta misi dan wawasan keluarga yang akan dibentuk, lakukanlah! Kalau sedari awal kita telah memilih pasangan yang faham dengan agenda Islam, Alhamdulillah.Kalau ketika membaca artikel ini, baru tahu keluarga memerlukan agenda, masih belum terlambat lagi.Pulanglah melihat kembali tentang tujuan manusia diciptakan, dan hadirlah dalam diskusi-diskusi Islam yang dapat menjana idea untuk membantu kita mencartakan misi dan wawasan keluarga kita.

Pelbagai buku telah diterbitkan di pasaran sebagai panduan untuk melayari rumahtangga berdasarkan syariat. Antara buku-buku yang suka untuk saya kongsikan adalah:

Bacaan saranan:


Mutiara perkahwinan menurut ajaran Islam oleh Muhammad Ali Qutb

Di Jalan Dakwah Aku Menikah oleh Cahyadi Takariawan


Agar Cinta Bersemi Indah oleh M. Fauzil Adhim

Walaubagaimanapun, pilihlah buku yang tepat mengikut kesesuaian keperluan fasa yang sedang dilalui, supaya kita dapat merancang dengan apa yang ada di tangan, bukan yang kita angan-angankan.

Persediaan besar-besaran ini amat penting, kerana pasangan ini akan membentuk anak-anak kecil yang bersih ibarat kain putih. Kalau dilakarkan dengan agenda Islam, beragenda Islamlah anak-anak itu sedari kecilnya.Kalau dinukilkan agenda-agenda lain, lainlah agenda-agenda kehidupan anak-anak tersebut.

Bacaan saranan:


Pendidikan anak-anak Jilid 1 dan 2 oleh Abdullah Nasih Ulwan

Pembentukan keluarga, relevenkah pada remaja?

Bila mendengar pasangan yang sudah berkahwin sibuk berbincang dan berdiskusi tentang institusi kekeluargaan, remaja sering menarik diri. Saya bersetuju, para remaja seharusnya melihat dan meneroka ruang-ruang untuk menggilap potensi diri dalam Islam, namun dalam arus rancak media massa yang membuatkan remaja dengan mudah terdedah pada persekitaran ‘percintaan nafsu’, saya yakin para belia juga perlu diberi ruang untuk mengutip ilmu sedikit sebanyak mengenai perencanaan sesebuah keluarga melayu muslim.Sedikit sebanyak, para remaja dapat melihat model kekeluargaan yang harmoni yang sebenarnya mampu diwujudkan hanya dengan berpaksikan Islam, oleh individu-individu yang komited dengan Islamnya (individu-individu beragenda).

Untungnya kalau kita semua sedar tentang betapa pentingnya perencanaan sebuah keluarga melayu muslim dalam membangunkan umat beragenda. Agenda-agenda ini bukanlah agenda yang menguntungkan sesiapa, melainkan diri kita sendiri serta ummat Islam di mana kita, keluarga dan anak-anak kita terletak di dalamnya.

Dengan kesedaran ini, saya amat teruja dengan penganjuran Konvension Keluarga Melayu Muslim anjuran ISMA yang akan menghalakan perbincangan ke arah perencanaan keluarga melayu muslim pada 22 Oktober 2011. Justeru, saya menyeru sahabat-sahabat yang masih belum berumah tangga, bakal berumah tangga, kakak-kakak dan abang-abang yang baru berumah tangga ataupun lama, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang dah beranak pinak malah bercucu-cicit untuk berama-ramai ke konvensyen tersebut. Semoga dengannya, kita tidak lagi melihat penyatuan dua jantina dalam satu perjanjian berat pernikahan sebagai sekadar penyatuan dua jasad, tetapi hakikatnya penyatuan dua roh yang sejahtera yang ingin sama-sama melangkah pulang hebat ke Syurga. Semoga dengannya juga, kita bukan sekadar melahirkan jasad-jasad yang perlu dipenuhi tuntutan lahiriahnya, tetapi roh-roh yang perlu dibentuk ketakwaannya untuk sama-sama berombongan ke Syurga. Jom!

Bacaan saranan:


Al-Quran al-Karim oleh Allah S.W.T

Air dah terhidang di depan mata..
Tinggal kita nak meminumnya!
Jemput minum..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s