Berapa juta hadapi ‘krisis fikir’


Kehangatan isu-isu HIMPUN, juga kehangatan kenyataan Presiden mengenai “6 Juta Belia Hadapi Krisis Identiti” yang diperkatakan pelbagai pihak tiba-tiba disambut pula dengan kehadiran Festival Seksualiti Merdeka 2011 (Queer without fear) yang memperjuangkan penyamarataan jantina.

Kalau dianalogikan kepincangan aqidah, kepincangan institusi keluarga dan kecelaruan identiti belia sebagai rumah yang sedang marak terbakar, lalu cuba dipadamkan  oleh tangan-tangan yang sedarkan bahayanya api, Festival Seksualiti Merdeka ini bagaikan menuang minyak tanah ke atas api sedia ada yang telah sedia payah untuk dipadamkan!

Ketikamana masyarakat masih ‘bercelaru’ memikirkan samada laungan menyelamatkan diri itu benar atau tidak, terbukti ‘si tukang bakar’ tak pernah bercelaru fikirannya dalam menambah onar malah makin bertambah nekad mencampak bahan-bahan bakar semahu-mahunya. Saya pasti, jiwa-jiwa sensitif dan terjaga segar, pasti benar-benar merasa terpukul dengan hakikat ini.

Namun, sedarkah kita, bahawasanya di kalangan kita masih ada yang berlangut-langut memikirkan samadabenarkah sudah sampai tahap bahaya hingga perlu menyelamatkan diri dan keluarga?, samada perlukah aku memihak orang yang melaung atau aku perlu menjaga kredibiliti kedudukanku? malah tak keterlaluan kalau dikatakan ada yang memikirkan, “benarkah 6 juta? Mungkin sekadar 5.58juta, belum sampai 6 lagi”  dan pelbagai cara fikir lagi yang membuatkan masyarakat berlengah-lengah dalam bertindak memadamkan api yang sedang marak membara. Apa nak difikirkan lagi, wahai para pembaca budiman? Nekadnya mungkar (kejahatan) perlu diperangi dengan nekadnya ma’ruf (kebaikan)! Ya, kita juga perlu NEKAD! Malah perlu lebih terkedepan melangkah dengan nekad dan yakin berbanding mungkar!

Sedarkah bahawa, rumah yang sedang terbakar tak memerlukan orang berfikir panjang dan berlengah-lengah dalam bertindak? Kalau sudah jelas merah apinya, sudah hitam kepulan asap menutupi ruang langit, sudah hilang banyak harta dan nyawa, mampukah kita masih berfikir-fikir dan beralasan yang hakikatnya hanya cuba mempertahan kepentingan diri sendiri? Saat ini kita hanya memerlukan tenaga-tenaga untuk menadah air untuk menyiram, atau mendail bomba untuk melapor atau mencedok pasir untuk mengambus api yang sedang marak.

Namun, ketika kelihatannya masih ramai yang terlangut-langut berfikir hingga menggendala usaha, sudah menjadi satu keperluan untuk wujudnya juga tenaga-tenaga yang berusaha mengejutkan mereka yang masih terlena. Ya, sebelum mereka sendiri yang terbakar ataupun membakar dalam sedar mahupun tidak!

Biarlah sekecil mana kita rasakan usaha kita namun perlu kita yakin bahawa Allah tak pernah memperlekehkan hamba-hambaNya yang ikhlas berusaha dan berjuang.

Belajarlah dari kisah burung kecil yang berulang-alik mengangkut air dengan paruhnya yang kecil, tatkala Nabi Ibrahim AS dibakar oleh Raja Namrud. Ketika ditanya bagaimana mungkin usahanya itu mampu memadamkan api, dengan yakin ia menjawab, “kalau nanti ketika Allah bertanya padaku yang berada dekat dengan kerosakan ini mengenai apa yang telah aku buat, aku akan menjawab, aku telah mengangkut air dengan paruh kecilku berulang-alik untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim AS hidup-hidup”.

Subhanallah. Pastinya perbuatan burung kecil itu dibuat tanpa tahu bahawa Allah Yang Maha Hebat itu terlebih dahulu telah Merancang untuk menurunkan solusi yang tak terjangka dek akal fikiran para makhluknya yang lemah.. Di mana api yang membakar Nabi Ibrahim AS hidup-hidup itu akhirnya menjadi sejuk.

Allah telah berjanji bahawasanya kemenangan itu dekat (Rujuk suruh As-Saff). Justeru kita sendiri tahu bahawa sangat mudah bagi Allah untuk memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sangat mudah juga bagi Allah untuk menurunkan rahmat mahupun bala. Sebelum kita dihadapkan dengan keputusan urusan Allah, apa yang nak kita hadapkan nanti pada Allah tentang keputusan urusan kita dalam menghadapi fenomena meruntun jiwa aqidah yang sensitif ini?

Nah, fikirkan! Apa yang nak dijawab di depan Allah nanti? Jangan nanti tersipu-sipu terpaksa menjawab “Aku menghadapi krisis fikir tika itu, ya Allah. Lantas beberapa tahun selepasnya, aku dipanggil menghadapMu ke alam barzakh. Belum sempat melakukan apa pun”

Begitu?

Justeru, pilihlah.. Nak menjadi burung dengan paruh kecil atau mungkin gajah dengan belalainya? Ataupun, khalifah Allah yang mulia yang telah Allah lantik untuk menguruskan dunia ini dengan hati yang ikhlas, tawadhuk, penuh bertanggungjawab dan penuh penyerahan padaNya? Semoga khalifah-khalifah yang telah bersujud para Malaikat padanya saat sebelum turunnya ke dunia satu ketika dulu, selama-lamaya sedar tentang hakikat kemuliaan yang Allah telah kurniakan. Selayaknya kita menjadi khalifah mulia di dunia, biarlah selayaknya juga kita kembali pulang ke Syurga dengan penuh bergaya. Amin.. InsyaAllah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s