Ratu cantik alam semesta


Pertandingan Ratu Cantik
Peringkat: Alam Semesta
Tarikh: Sepanjang Hayat
Juri: Allah
Ciri-ciri: Cantik luar dan dalam
Hadiah: Redha Allah dan Syurga. Juga bakal dinobat sebagai ketua bidadari

Pendaftaran dibuka sekarang!

Umat islam yang benar-benar mengharapkan Syurganya, tika ini kalau mendengar istilah ‘Ratu Cantik’, pasti beristighfar panjang. Mana tidaknya, tatkala menyebutnya pasti terbayang wanita-wanita yang memperaga setiap inci tubuh di khalayak ramai untuk dijamah nafsu manusia sedunia. Ingatkah kita pada satu zaman di mana kecantikan wanita yang dengan mudah dipergunakan, direndahkan dan diremehkan darjatnya? Ya zaman jahiliah. Zaman di mana amalan Islam telah dicampur aduk dengan agenda-agenda nafsu manusia. Akhirnya Allah membersihkan penghinaan demi penghinaan pada wanita dengan mengangkat setinggi-tingginya maruah dan darjat wanita dengan kedatangan Islam yang disyariatkan dengan kedatangan risalahNya melalui junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

“Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan.” (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi)

Dengan Maha Cantiknya Allah, betapa Allah Maha Tahu tentang betapa cantiknya wanita sehinggakan harus dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya. Kecantikan wanita didefinisi rapi oleh Islam dengan pelbagai garis panduan dari Allah.  Justeru, Allah memerintahkan para wanita untuk menutup aurat, iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Allah juga memerintahkan lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan.

Namun, fitrahnya manusia itu yang tertarik pada lawan jantinanya tak dibiarkan tanpa ubatnya. Dengan akad nikah, perjanjian berat yang dilafazkan oleh seorang lelaki yang dalam beberapa saatnya akan mula bergelar suami yang halal pada seorang wanita yang awalnya haram untuk dilihat, disentuh apatah lagi untuk digauli. Perjanjian ini akhirnya menghalalkan setiap inci tubuh yang asalnya haram. Saat itu, cinta dan kasih sayang telah menjadi satu perintah yang menjadi sumber pahala andai dituruti. Kecantikan wanita yang disimpan rapi tika itu telah layak dimiliki oleh seorang lelaki yang bergelar suami.

Justeru, apa pula sumbangan kecantikan wanita untuk dunia? Adakah kecantikan wanita hanya sekadar untuk dinikmati suami?

Betapa tingginya nilai manusia dan wanita dalam Islam kerana pada tahapan akhirat, kecantikan tiap manusia itu dinilai pada takwanya. Takwa yang dilahirkan dengan gemburan iman. Iman merupakan satu unsur kuat yang mampu mempengaruhi suasana jiwa yang akhirnya akan melahirkan amali dan tindakan mulia yang dizahirkan anggota badan.

Akhlak mulia menyerlahkan lagi fitrah seorang wanita, sesuai dengan peranan seorang isteri dan ibu. Fitrahnya wanita itu adalah penuh dengan kasih sayang dan kelembutan, penuh dengan kesensitivitian yang tinggi dan keterperincian. Inilah yang dihidangkan pada dunia. Andai fitrah wanita ini dibentuk dengan acuan Islam, bayangkan sahaja bagaimana bentuk goncangan yang mampu disumbangkan buat dunia.  Dunia yang juga terkandung seorang suami yang telah bersusah payah menyanggupi berjanji berat dengan Allah untuk memiliki seorang isteri untuk dipimpin ke Syurga.

Seorang suami yang juga berneracakan dengan neraca iman dan akhirat pastinya turut teruja membimbing isteri untuk mengejar milikan title ‘Ratu cantik alam semesta’ ini. Pastinya sang suami juga akan mempersiapkan dirinya untuk menjadi pendamping yang sesuai dengan ratu cantik yang bukan calang-calang ini dengan menutup pandangannya pada yang bukan mahram, juga berusaha menyerlahkan kredibilitinya sendiri dalam lapangan kerja-kerja Islam. Suami yang matanya dipasang dengan kanta lekap akhirat, pastinya hanya terbayangkan keindahan isterinya tatkala berjaya dinobatkan sebagai ketua bidadarinya di dalam Syurga nanti.

Seorang manusia hebat pastinya punya matlamat yang jauh terkedepan berbanding manusia-manusia biasa yang hanya sekadar mengejar matlamat dunia. Dunia yang Allah telah peringatkan pada kita berulang-ulang kali dalam kalam Al-QuranNya bahawa ianya akan punah berderai. Begitulah pengakhirannya segala matlamat dunia yang kita idam-idamkan dalam sekadar memuaskan nafsu yang akhirnya juga akan mati suatu hari nanti. Kerana itulah, matlamat harus disandarkan pada matlamat akhirat kerana ianya takkan punah apabila disandarkan pada yang Maha Kekal Hidup, Allahurabbuna.

Pertandingan ratu cantik inilah yang tertinggi tahapnya kerana tidak lagi bermatlamatkan dunia, tetapi bermatlamatkan akhirat. Pertandingan ratu cantik ini juga berhakimkan juri  yang bukan calang-calang, iaitu juri yang diimport khas dari akhirat iaitu Allah. Allah yang Maha Kaya dan Hebat itu turut menjanjikan hadiah yang juga bukan calang-calang untuk para pemenangnya, iaitu hadiah berupa Syurga! Semestinya hadiah yang hanya mampu dimiliki oleh para hamba yang diRahmatiNya.

Berdandan, menghiburkan dengan jenaka dan lunak suara nyanyian, mengeluarkan petah pendapat berwibawa dengan penuh hikmah dan kelembutan buat pembakar semangat suami dalam penakhodaan bahtera keluarga ke akhirat, serta apa jua lagi ciri fizikal yang dilihat indah, hanya layak dinikmati oleh yang halal. Kebijaksanaan, hikmah dan ketegasan dalam beramal dalam kerjaya dan dakwah adalah tatapan kecantikan yang pastinya didamba dan diperlukan oleh seluruh masyarakat diluar sana.

Usaha bercantik-cantik dengan definisi akhirat ini pastinya selaras dengan kehendak alam semesta. Semestinya seluruh alam semesta yang begitu taat pada perintah Allah turut sama meredhai ketaatan ratu cantik-ratu cantik ini pada Allah yang menciptakannya. Betapa indahnya apabila title ratu cantik alam semesta ini bukan lagi sekadar diusahakan untuk menawan hati seorang lelaki, tetapi dikejar untuk menggapai redha Ilahi.

Apa ditunggu lagi? Pendaftaran dibuka sekarang!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s