Manisnya sunnah: Mengenali dia yang perlu dicintai


Dalam menghitung usia sepanjang perjalanan hidup di muka bumi Allah ini, semestinya kita tak lepas daripada menyukai seseorang dengan pelbagai asbab. Mungkin kerana perwatakannya, kerana cara kerjanya, rupanya dan sebagainya. Mungkin juga rasa suka ini boleh menjadi pemula kepada niat untuk menganjakkan status kepada sebuah perasaan suci yang terbit daripada kebertanggungjawaban sebuah pernikahan, rasa cinta. Cinta ditakrifkan di sini dengan perasaan menyukai dan menyenangi seseorang dengan komitmen-komitmen yang harus dilunaskan. Rasa suka yang bukan kosong, bukan saja-saja tetapi rasa suka yang hadir dengan kerelaan sebuah pengorbanan dan kesungguhan. Tetapi, siapakah orang yang bakal membawa rasa cinta ini sehingga ke saat termeterainya perjanjian berat di hadapan Allah – perjanjian ikatan pernikahan ?. Semua ini ditentukan oleh Allah yang memegang segala Rahsia-Nya yang telah sekian lama tercatat di lembaran Luh Mahfuz.

Saat terbongkarnya Rahsia-rahsia ini, pastinya ia hadir sebagai kejutan yang semestinya berada di luar jangkaan manusia. Ada yang dipertemukan jodoh dengan kawan lama sekolah, ada yang bertemu di jalan dakwah, ada yang bertemu di stesen minyak dan bermacam-macam sebab lagi. Akan tetapi tak kurang juga ramainya yang bertemu jodoh dengan seseorang yang belum pernah ditemui sebelum ini dengan diperkenalkan oleh orang lain. Jodoh yang akhirnya merupakan seseorang yang bukan dikenali sebagai kawan, bukan juga teman sekerja dakwah, bukan juga seorang murabbi atau sesiapa. Walaupun hakikatnya insan tersebut telah lama wujud dan mungkin juga berada hampir dengan kita, Allah seakan sengaja menyembunyikan perihal masing-masing di awalnya untuk akhirnya mempertemukan mereka dalam satu fasa baru kehidupan yang penuh makna, fasa perkahwinan.

Setiap ketentuan cara dan masa pertemuan itu semestinya ditetapkan oleh Allah sesuai dengan keadaan masing-masing – ketentuan yang selalunya hanya disedari hikmahnya saat kegembiraan telah dikecapi. Allah Yang Maha Tahu itu pastinya menentukan waktu tibanya jodoh berdasarkan pelbagai perkara yang semestinya terbaik untuk kita semua. Waktu dan keadaan itu akhirnya membenarkan seseorang yang hadir dalam hidupnya dapat dihormati dan ditaati, juga dikasihi dan disayangi sepenuh hati kerana Allah. Segala puji bagi Allah.

Memikirkan kisah sebuah perkenalan yang hanya dilangsungkan untuk sebuah perkahwinan ke Syurga, pasti mengundang 1001 persoalan, bukan? “Baru berkenalan tetapi sudah mahu berkahwin?!” ” Mampukah serasi tanpa ada cinta?”.. dan bermacam-macam persoalan lagi!

Benar. Pernikahan yang diaturkan tanpa melalui proses bercinta sebelum nikah sering ditakuti dan disalahertikan. “Mana mungkin bahagia kalau terpaksa?”, kata mereka. Sejujurnya, saya amat bersetuju bahawa sememangnya tiada keterpaksaan dalam sesebuah perkahwinan. Kita harus sedar bahawa tiada manusia yang boleh diarah-arah untuk berkahwin dengan sesiapa sahaja kerana manusia punya naluri untuk memilih – naluri yang selesa dengan keserasian. Namun, manusia juga memiliki akal yang selayaknya dimanfaatkan, serta mempunyai Tuhan yang sentiasa menanti untuk dipanjatkan doa dalam menilai sesebuah cadangan – dalam proses pemilihan calon pasangan.

Apabila kita benar-benar ikhlas untuk melangsungkan perkahwinan yakinlah bahawa Allah akan membantu dengan pelbagai cara. Bukan sekadar bantuan dalam proses perkenalan, hatta dalam segala proses dan urusan perkahwinan, insyaAllah. Dengan mendahulukan agama dalam kriteria pemilihan semestinya menjanjikan bantuan dari Allah yang pastinya takkan putus mendatangkan pelbagai wasilah untuk kita merasai dan mengagumi keagunganNya. Yakinlah dengan saranan Rasulullah yang berbunyi:

“Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara – kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana nasab keturunannya dan kerana agamanya; kahwinilah wanita yang baik pegangan agamanya, kamu akan mendapat ketenangan”.(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana ingin melihat kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan membawa kerosakan terhadap diri sendiri dan janganlah mengharapkan harta kekeyaannya kerana mungkin dengan harta itu mereka menjadi sombong tetapi kahwinilah mereka itu kerana agama dan sesungguhnya hamba perempuan yang hitam lebih baik asalkan ia beragama”. (Riwayat Ibnu Majah dab Baihaqi)

Perkenalan antara dua pihak yang bakal menelusuri kehidupan bersama untuk ke Syurga semestinya amat perlu. Fasa-fasa perkenalan sebelum perkahwinan boleh dilakukan dengan pelbagai cara yang dilandasi syarak; beruzlah memohon petunjuk Ilahi, bertanya pendapat orang lain dan berbincang dengan si dia sendiri. Ditambah-tambah pula dengan kelebihan kehidupan pasca moden yang menambah mudah untuk kita merisik seseorang yang lain yang identiti dan personalitinya yang kadang-kadang mudah juga difahami menerusi keterampilannya di alam maya. Semua ini boleh diusahakan untuk menambah keyakinan dalam jiwa.

Berkenalan dengan seseorang yang baru selalunya amat menggembirakan dan mengujakan tetapi untuk berkenalan dengan seseorang yang bakal menjadi teman sepanjang hayat pasti sangat pelik perasaannya.Kita keliru pada apa yang perlu kita ketahui tentangnya dan apa yang tidak perlu diketahui sebelum nikah ? Tidak kurang juga dengan perkara yang ingin diketahui tetapi segan nak bertanya. Walau bagaimanapun untuk kemaslahatan sebuah ikatan, pastinya akan diusahakan juga untuk mencari jawapan kepada setiap tanda tanya. Dengan objektif perkahwinan di minda membuatkan masa yang ada sebelum perkahwinan menjadi amat berkualiti. Di sinilah perbezaan berkenalan untuk bercinta ke jinjang pelamin dengan pertemuan untuk sebuah perkahwinan ke Syurga.

Kalau difikir-fikirkan, seseorang yang tiada perancangan khusus untuk sesebuah perkahwinan tetapi sudah lama bercinta pun tidak semestinya benar-benar mengenali pasangan.Hal ini kerana, saat bercinta mereka hanya memikirkan perkara-perkara yang indah untuk mengikat dan menambat hati pasangan. Justeru, masa yang diluangkan bersama sebenarnya banyak dibazirkan tanpa sebarang agenda khusus.

Tetapi, kalau sesi perkenalan diadakan dengan tujuan khusus yang didasari agenda penyatuan kerana Allah, iaitu untuk merealisasikan sebuah ikatan perkahwinan, pastinya membuatkan kedua-duanya berusaha sebaik mungkin untuk mengenali pasangan. Ditambah dengan kesedaran pada tuntutan Syariat yang tidak membenarkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pastinya membuatkan proses ke jinjang pelamin menjadi sangat berkualiti dan diberkati. Justeru hakikatnya amat tidak mustahil sesiapa yang berkahwin tanpa bercinta ini bahkan lebih mengenali bakal suami/isteri mereka berbanding pasangan yang telah bertahun-tahun bercinta. Kuncinya ada pada usaha dan doa, dan ketenangannya semestinya ada pada tawakal.

Perkenalan yang bermatlamatkan percintaan tarafan akhirat merupakan satu solusi permasalahan coupling yang hebat melanda. Tak perlu mengambil masa yg lama untuk memastikan keserasian. Seharusnya, setelah mampu untuk bernikah dan mantap dengan pilihan calon barulah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengenali hati budi seseorang yang ingin dinikahi. Walaubagaimanapun kita seharusnya jelas bahawa dengan niat untuk menikahinya sama sekali tidak menghalalkan sebarang perhubungan terlarang di antara lelaki dan wanita selagi tidak diikat dengan ikatan pernikahan. Saya yakin dalam perjalanan kehidupan kita masih akan terus selama-lamanya berkenalan kerana manusia sering berubah!. Hatta iman pun bertambah & berkurang sifatnya, inikan pula sikap manusia?!

Selamat berkenalan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s