Kuseru-seru keserasian cinta


Perihal keserasian sering dibincangkan dalam isu rumahtangga kerana perkahwinan menyatukan dua jantina yang berbeza fitrahnya. Fitrah yang berbeza inilah yang menyebabkan wujudnya ketakserasian sekiranya tidak dapat diurus dengan baik. Perkahwinan bukan hanya mempertemukan dua insan yang berlainan fitrah kejadiannya, tetapi ianya juga mempertemukan dua buah budaya, nilai estetika, cara hidup dan tingkah laku yang berbeza. Dua keluarga yang berbeza ini akhirnya bergabung di bawah satu simpulan ikatan nikah dua insan yang berjani dengan Allah untuk bersama ke Syurga. Kita akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa kita dipertemukan dengan pasangan kita dalam keadaan masing-masing telah mempunyai pandangan dan gaya hidup yang telah tercipta sekian lama.

Apabila difikir-fikirkan, saat kita bersama ibu bapa, adik beradik dan saudara mara kita, kita dapat merasakan bahawa keserasian itu wujud, walaupun berhadapan dengan ahli keluarga yang berlainan jantina.  Apa yang membuatkan kita mudah berasa begitu? Sebenarnya, keserasian yang dapat dirasakan dengan jelas tidak terbentuk sekelip mata. Bersama ahli keluarga, kita berpeluang untuk mengalami proses yang amat panjang semenjak kita dilahirkan untuk mengenali kelakuan dan fitrah ahli keluarga secara berperingkat dan perlahan-lahan. Kita punya masa untuk mengenali, memberi dan diberi ruang untuk menerima perlakuan setiap ahli keluarga.  Sehinggalah bertahun-tahun, kita akhirnya menjejak ke suatu tahap di mana kita merasakan bahawa kita benar-benar serasi dengan ahli keluarga kita.mSedar atau tidak, bukan kita sahaja yang mengalami proses keserasian bersama ahli keluarga yang panjang tetapi pasangan kita juga turut mengalaminya bersama keluarganya sendiri.

Walaupun telah bertaaruf semasa bertunang, belum ada satu proses yang lengkap untuk membenarkan jiwa kita mengenali sedalam-dalamnya pasangan kita. Justeru, amatlah tidak adil sekiranya hanya dalam masa yang singkat kita terus menganggap bahawa kita tidak punya keserasian dengan pasangan kita hanya kerana di awal perkahwinan kita merasakan bahawa pasangan kita di alam realiti tidak seperti yang kita jangkakan dalam fantasi kita sebelum berkahwin.

Disebabkan itulah, tak kurang yang panik apabila berhadapan dengan perbezaan-perbezaan dan keurangan yang ada pada pasangan. Penerimaan kita terhadap pasangan yang mengahwini kita sebenarnya perlu juga melalui proses perlahan dan berperingkat-peringkat yang boleh dilalui dengan tenang dan penuh kegembiraan sepertimana kita dengan ahli keluarga kita yang lain. Sepertimana ahli keluarga kita, kita juga harus memberi peluang kepada pasangan kita untuk dikenali hati budinya dengan melalui pelbagai kisah suka duka yang bakal menjanjikan kenangan pahit manis sebuah kisah kasih rumahtangga.

Segala perbezaan dan pertembungan yang wujud harus diuruskan dengan baik supaya keserasian dapat terjalin. Sebuah keserasian tidak akan datang begitu sahaja. Ianya perlu diusahakan, digembur dan didoakan supaya dapat mengharmonikan rumahtangga. Selagimana ianya tidak diusahakan, selagi itulah keserasian sukar untuk wujud walaupun perkahwinan menjangkau usia bertahun-tahun lamanya.

Antara kunci utama sebuah keserasian adalah komunikasi yang baik. Komunikasi merupakan satu medium penting untuk menyampaikan maklumat. Mediumnya pelbagai termasuklah melalui kata-kata lisan, sentuhan, penulisan dan pandangan. Apa sahaja deria yang wujud mampu menjadi alat berkomunikasi. Perbezaan cara komunikasi dua buah keluarga tadi harus dipelajari dengan baik. Begitu juga dengan perbezaan cara komunikasi dua jantina. Banyak ketidakserasian berlaku hanya kerana salah memahami maksud dan intonasi ayat. Walhal, proses memahami ini jika dirancang dengan baik mampu mengundang saat manis pasangan yang akan diingati sampai bila-bila.

Sebagai contoh, si suami menyebut kekurangan isterinya dengan pemilihan kata dan intonasi yang si isteri rasakan amat kasar. Itulah kali pertama si isteri digelar sebegitu rupa sepanjang hayatnya. Akhirnya, situasi itu mengundang tangis isterinya.

Sekiranya si isteri terus menangis dan membawa hati lara tanpa menjelaskan pada suami, sedang suami pula buat tidak tahu, tak mustahil suami akan beranggapan bahawa isterinya ‘terlebih sensitif tak bertempat’ sambil si isteri akan terus menganggap bahawa suaminya ‘kurang ajar’. Satu insiden yang dihadapi yang ditinggalkan tergantung tanpa sebarang jawapan hanya akan mengundang syak wasangka, dan pengulangan di masa hadapan. Hingga akhirnya boleh menimbulkan rasa benci pada pasangan.

Hal ini sebenarnya dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pasangan memilih untuk berlapang dada dan mengambil tindakan untuk berkomunikasi dengan baik. Sebarang pertembungan perlu diselesaikan dengan baik melalui perbincangan yang berhikmah di antara keduanya. Setelah bertanya dan meluahkan perasaan masing-masing, barulah pasangan tersebut tahu bahawa, si suami tidak bermaksud untuk menghina isteri, tetapi hanya ingin bergurau. Si isteri akhirnya mendapat tahu bahawa rupa-rupanya sepanjang hidup si suami, kata-kata kasar sebegitu menjadi mainan gurauan antara dia dan adik-beradiknya yang kebanyakannya lelaki. Gurauan sepertinya akan disambut dengan kata balas dan gelak tawa. Si suami pula mendapat tahu bahawa, si isteri tidak biasa bergurau kasar dengan ahli keluarganya. Apabila mengetahui dan mengenali kebiasaan hidup keduanya, komitmen dua pihak amat penting dalam membuatkan masing-masing hidup selesa bersama. Si isteri perlu cuba menerima dan memahami cara suaminya andai insiden tersebut terjadi lagi sementara mereka bersama-sama mencari dan mereka cipta cara gurauan lain yang dapat menghiburkan hati keduanya.

Contoh tadi menunjukkan bahawa betapa komitmen dua pihak amat penting. Pertembungan fitrah, cara dan budaya keluarga yang diuruskan dengan baik akan membuatkan kedua-duanya merasa lebih dekat dan lebih mengenali hati budi masing-masing. Penyelesaian kepada pertembungan yang berantai sepanjang hidup akhirnya akan mencipta sebuah keserasian yang dimpi-impikan. Justeru, usah takut pada perbezaan dan pertembungan. Jadikanlah pertembungan dan perbezaan sebagai satu cabaran yang ditunggu-tunggu untuk dirasai manis dipenghujungnya, bukan sebagai satu kelemahan yang ditakuti dan ingin dijauhi. Percaya atau tidak, proses membina keserasian inilah yang akan membuatkan kehidupan mempelai penuh dengan warna-warni, jauh dari kehidupan yang penuh dengan rutin dan kebosanan. Kita berhak untuk memilih cara kehidupan kita bersama pasangan sepertimana kita berhak untuk memilih pasangan kita suatu masa dahulu. Selamat mengharmonikan rumahtangga!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s