Prinsip separuh harga


“Akak, apa yang dia kata?”

Tanya Ika pada kakaknya, sambil menyusun langkah lebih laju mengejar rentak hayunan langkah kakaknya, Fatimah.
“Dia kata, kalau nak mintak harga kurang lagi, malam ni Ika kena keluar minum dengan dia”, jawab Fatimah bersahaja. Terbiasa dengan perangai sesetengah lelaki arab yang pantang melihat gadis berdahi licin. Itulah juga salah satu sebabnya Fatimah memilih untuk berniqab di bumi anbiya’, tempatnya menuntut ilmu kini.

Ternyata Ika yang datang sebulan bercuti di sini mula terkena tempias miang segelintir dari mereka.
“Hah? Iye?”, terbeliak mata Ika mendengarnya. Manakan tidak. Penjual tadi berserban dan berjubah putih walaupun masih muda. Sejuk mata memandang.

“Akak jawab apa bila dia cakap macam tu?”, Ika meminta kakaknya menceritakan semula perbualan antara kakaknya dan penjual tadi dalam bahasa arab yang langsung tidak difahaminya.

“Assalamualaikum”, Fatimah mengucapkan salam saat melangkah masuk ke sebuah kedai minyak wangi di bumi anbiya’ itu.. bumi Mesir.

“Waalaikumussalam..”, jawab semua yang berada di dalamnya. Kelihatan 3 orang pelanggan sedang memilih minyak wangi yang ingin dibeli sambil dilayan seorang penjual lelaki.

Fatimah lekas-lekas membelek dan menghidu satu persatu minyak wangi yang diletakkan di rak-rak tinggi yang penuh dengan botol minyak wangi. Dia tidak mahu lama-lama membeli-belah. Banyak lagi yang perlu diuruskan hari ini.
Ika setia mengekor kakaknya. Ika yang baru seminggu datang bercuti hanya menurut ke mana sahaja kakaknya membawanya berjalan-jalan. Hari ini ke kedai minyak wangi untuk dihadiahkan kepada saudara mara di Malaysia sebagai buah tangan.

“Tak boleh dikurangkan lagi harganya? Kami ingin beli banyak untuk dibawa pulang ke Malaysia”, soal Fatimah kepada lelaki muda berserban dan berjubah di hadapannya.

“Boleh.. dengan syarat.. malam nanti bawa gadis ini minum-minum dengan saya”,ujar penjual tersebut sambil menuding dan menjeling gatal pada adiknya, Ika. “Cantik.. halus kulitnya”

“Astaghfirullah. Haram ke atas kamu!”, Fatimah mengeraskan suaranya pada yang tak malu mencemar imej akhlak Islam. “Bukankah kamu juga muslim?”, soal Fatimah pada lelaki muslim di hadapannya.

“Kalau nak murah, setuju sahajalah. Potongan separuh harga!”, ujar lelaki itu lagi. Tak mengendah peringatan Fatimah padanya.

“Inikah yang kamu buat pada setiap yang berupa elok datang membeli? Kalau pun cuba untuk bermesra sesama saudara seIslam, bukan ini caranya. Bukankah persaudaraaan sesama Islam itu menuntut kita menjaga maruah saudara kita? Seharusnya kamulah yang meninggikan darjat dirimu sebagai rijal dengan memelihara maruah muslimah seagama denganmu. Malulah pada Allah! Pada Rasulullah S.A.W!”, Fatimah menutur fasih.

Jelas terpancar ketegasan dalam kelembutan.

“Allahumma Salli ‘Ala Muhammad, Wa ‘ala ali Muhammad”, laju mereka yang berada di situ menutur saat mendengar Fatimah menyebut ‘Rasulullah S.A.W’.
…..
“Wah.. hebatlah akak!. Sayang juga akak pada Ika, kan?”, tersengih-sengih Ika mendengar penjelasan kakaknya.
“Kakak mana yang tak sayangkan adik..”, Fatimah menjawab bersahaja.

Keesokan harinya, Fatimah ke kuliah seperti biasa. Ika tinggal di rumah menantinya pulang tengahari nanti.
“Sebelum kita mengakhiri kelas, seperti biasa saya ingin berkongsi ilmu yang saya dapat daripada pemerhatian, pembacaan dan perbincangan saya kepada semua pelajar yang saya kasihi”, ujar Dr Soleh sambil melangkah ke hadapan dewan kuliah.

“Pada hari ini saya suka untuk berkongsi tentang kejelasan matlamat yang menonjolkan kekuatan prinsip pegangan manusia”, beliau menyambung. Suaranya tenggelam timbul dek kebisingan para pelajar yang sedang berkemas untuk pulang.

“Kita semua yakin bahawa al-Quran merupakan rujukan kita sebagai umat Islam”, Dr Soleh menyambung dengan suara lebih kuat dan tegas setelah meminta perhatian para pelajarnya. Para pelajarnya tahu ada sesuatu yang penting ingin disampaikannya.

“Tahukah kita bahawa di dalam al-Quran juga tercatatnya matlamat kehidupan dan tugasan muslim untuk dilangsaikan dengan bayaran harta dan jiwa sebagai membayar bayaran Syurga yang kita pinta dari Allah S.W.T?”.Semua terdiam menanti penjelasan seterusnya. Ada yang mengangguk-angguk memberi respon. Aku yakin bahawa bukan aku sahaja yang merasa pelik dengan ucapan Dr Soleh. Belum pernah dia menyebut perihal al-Quran, Allah dan Islam dalam satu slot khusus begini. Pada kebiasaannya hal ehwal Islam diselitkan dalam perkaitan ilmu biologi yang diajarnya dengan keagungan ciptaan Allah. Semua pelajar kelihatan bersabar menanti maksud sebenarnya.

“Matlamat kehidupan kita adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar-benar penghambaan. Pengabdian di dunia ini semestinya perlu dibuktikan dengan melakukan ibadah-ibadah khusus seperti solat sebagai syiar tingginya ruh serta membuat kebaikan. Namun, tidak lengkap sekiranya kita tidak mengajak manusia lain yang terlupakan perihal matlamat ini untuk kembali kepadanya”

“Dengan kata lain, selain berhubungan dengan Allah dengan solat, puasa dan zakat kita juga berhubung dengan Allah dengan mengajak manusia kembali kepadaNya. Manusia-manusia yang jelas dan sedar akan matlamat merupakan pemimpin seluruh dunia yang terleka”

“Sebenarnya… saya cukup terkesan dengan satu kejadian yang berlaku di hadapan mata saya, yang jarang-jarang dapat saya lihat dengan mata kepala saya sendiri”

Terkejut Fatimah mendengar Dr. Soleh menceritakan kejadian di kedai minyak wangi yang melibatkannya dan penjual kedai tersebut kepada seluruh pelajar yang berada di dalam dewan kuliah tersebut.

“Begitulah contoh bagaimana seharusnya kita jelaskan prinsip kita, dan bagaimana kita mampu berperanan untuk mengingatkan orang lain perihal prinsip yang seharusnya kita abadikan dalam kehidupan sebelum sampai ke Syurga”, ucap Dr. Soleh bagi mengakhiri kisah kedai minyak wangi.
….
Fatimah pulang ke rumah dengan gembira. Tak disangka-sangka rezekinya hari ini cukup murah. Tiba di rumah, Fatimah terus mendapatkan Ika sambil menghulurkan bungkusan di tangannya. Hadiah dari Dr Soleh.

“Dik, kita tak dapat minyak wangi separuh harga sebab Allah nak hadiahkan yang percuma”, ujar Fatimah sambil tersenyum lebar.

Pastinya seluruh alam semesta turut tersenyum lebar saat sang khalifah yang diciptakan Allah bertindak selari dengan tuntutan Pencipta alam raya. Allahurabbuna..

Cerpen: hijab for peace?


“Good morning”
“Morning, Anita”
“How was your weekend?”
“Never been better!”
, Anita menjawab dengan ekspresi wajah yang amat ceria.

Mana tidaknya, hujung minggu lalu keluarganya menyambut ulangtahun hari lahirnya yang ke-21 di sebuah kelab malam di bandar. Aku dan teman-teman lain bukan tak dijemput, tetapi kami menolak dengan menggantikan satu majlis kecil buatnya di kafe universiti. Aku menghadiahkan selendang yang boleh juga diguna sebagai mafla buat memanaskan lehernya di musim sejuk nanti.

Aku mengambil tempat di sebelahnya. Satu persatu teman-teman dari pelbagai bangsa dan ceruk dunia masuk ke kelas Bahasa Cina yang diambil sebagai subjek elektif semester pertama kami di bumi Adelaide ini. Lima daripada kami dari Malaysia dengan empat orang berbangsa melayu dan beragama Islam manakala seorang lagi berbangsa Cina.

Temanku, Ratna juga merupakan salah seorang di antara mereka. Hari itu dia memakai t-shirt labuh berwarna merah tua berlengan oren dengan jeans biru muda. Cukup manis dia melemparkan senyuman kepada aku dan Anita lantas mengambil tempat duduk di sebelahku.

“Ratna, how are you doing today?”, Anita yang sememangnya ramah lekas-lekas menegur Ratna.
“I’m great!. How are you both, Anita? Sarah?”, Ratna membalas kemesraan.
“Great!” jawab Anita sambil aku juga menjawab dengan tambahan ucapan tahmid memuji Tuhan seperti selalu, “Great, alhamdulillah!”

Anita memandangku lalu bertanya, ” What did you just say, Sarah?
“I said ‘great, alhamdulillah'”, aku mengulang.
“That’s an arabic word right? The ‘alhamdulillah'”, Anita meneka. Biar pelat, dia seakan yakin menyebutnya. Aku mengangguk mengiyakan.
“What does that mean?”
“It means, praise be to Allah”, aku menerangkan ringkas. Giliran Anita pula mengangguk-anggukkan kepalanya. Tanda faham.

“Ratna, What does that words mean? ‘hijab for peace'”, Anita menuding ke arah hujung baju labuh Ratna yang bercetak gambar kartun seorang wanita yang memakai hijab dan berpakaian muslimah dengan tulisan yang cukup jelas di atasnya hijab for peace.

Aku tiba-tiba merasa tertarik dengan persoalannya. Benarlah sepertimana kata-kata yang pernah kudengari sebelum ini, muslimah merupakan duta kecil agama Islam. Dengan pakaiannya sahaja telah mampu membuka kotak fikir orang lain, apatah lagi dengan tindakannya. Telah berapa tahun kami memakai baju-baju t-shirt labuh yang bercetak dengan perkataan-perkataan ‘catchy’ berkenaan Islam, belum pernah sekali kami membicarakan tentang maksud di sebaliknya. Tetapi, saat kami jauh dari tanahair saat inilah juga segala apa yang melambangkan syiar Islam dipersoalkan.

“Erm.. Well. It means that Islam is a peaceful religion and muslim are not terrorist. This quote use the word ‘hijab’ because those who are wearing hijab are actually portraying their beliefs in Islam”, Ratna menyampaikan pendapatnya. Terhela nafasnya saat dia menghabisi ayat terakhirnya. Aku tahu, bukan mudah untuk menyampaikan sesuatu yang ada dalam jiwa. Jelas benar Allah sedang menguji keyakinan kami dengan arahan hijab yang telah kami patuhi sekian lama.

“So, as muslims we love peace and we are here for peace”, aku menambah sambil tersenyum ke arah Anita yang terdiam, sedang menghadam isi-isi yang disampaikan barangkali.

Anita mengangguk-angguk. “It is a very good quote, isn’t it?”
“Yes, indeed..it is”, aku dan Ratna mengiyakan. Aku yakin pasti selepas ini aku akan merasa lebih bertanggungjawab dengan apa yang aku sarungkan pada tubuhku. Baru kusedar bahawa apa yang dilihat orang mampu membuatkan orang berfikir lebih-lebih lagi di dalam masyarakat barat yang terkenal dengan pemikiran kritikal mereka. Pemikiran inilah yang akan memberikan persepsi yang baik ataupun buruk kepada agama Islam itu sendiri.

Sepanjang perjalanan pulang dari universiti hari itu, aku memikirkan jawapan yang lebih baik yang sepatutnya aku dan Ratna sampaikan pada Anita. Aku juga sedikit kecewa dengan keterbatasan bahasa. Mungkin kalau aku hebat berbahasa Inggeris, aku lebih mampu memberikan jawapan terbaik? Bila difikir-fikirkan semula.. tidak juga. Apa yang akan kujawab kalau Anita memahami Bahasa Melayu saat itu? Akhirnya aku tahu bahawa jawapan yang tercantik bukanlah lahirnya dari usaha lidah semata-mata, tetapi ianya hanya mampu lahir dari lidah bijak yang mempunyai hati yang benar-benar berbunga-bunga dengan keyakinan pada keindahan tuntutan Islam itu sendiri. “Kita sebenarnya memerlukan rawatan hati..” aku membuat konklusi hari itu dengan Ratna menjadi pendengarnya. Ratna mengangguk bersetuju. Semoga Allah Menaungi kita semua dengan Kasih SayangNya selama-lamanya…

Cerpen: Harapan untuk Islam Hari ini


“Kami semua sedang berusaha untuk menjadi muslim yang baik. Semoga kami menemui pengakhiran yang baik untuk ke Syurga”

children_of_muslim_ummah_by_ademmm

Terngiang-ngiang lagi jawapan yang terpacul keluar dari bibirku saat Henry seorang warganegara Australia berbangsa cina tanpa segan bertanyakan tentang perbezaan amalan Islamku dan teman Indonesianya yang juga beragama Islam.

“Kamu berhijab, berpuasa dan bersolat. Tetapi kenapa teman muslimah saya dari Indonesia tidak langsung melakukan kesemua itu walaupun mengaku beragama Islam?”, ujarnya. Tiada bunyi sindiran mahupun perlian. Aku pasti dia benar-benar ingin tahu.

“Manusia ada pilihan untuk menurut perintah atau melanggarnya. Manusia juga ada pilihan untuk mengamalkan apa yang diajar atau meninggalkannya. Terpulang sama ada kita berada di landasan yang betul untuk berusaha menjadi penganut yang baik atau tidak”, aku cuba menjawab sebaik mungkin sambil kututurkan doa kelancaran kata yang diajar Allah kepada Nabi Musa a.s saat ingin berdepan dengan Firaun:

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku (Taha: 25-28)

“Ini bermakna, kamu adalah penganut Islam yang baik, manakala yang kelihatan tidak mengikut ajaran Islam adalah penganut Islam yang tidak baik?”, akhirnya Henry cuba menyimpulkan perbincangan.

Saat berdepan dengan Henry yang ternyata kafir, sudah pasti teman seagamaku yang hanya kukenali melalui ceritanya tadi lebih layak dimenangkan. Siapa pun dia sebenarnya, biarlah terbuka hatinya untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari untuk mengenali Islam.

Henry sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar jawapanku, lantas meneruskan kerjanya membaiki lampu bilik air yang kami huni hampir setahun. Henry sememangnya tuan tanah yang baik. Apa sahaja yang kami adukan pasti lekas-lekas diperiksa untuk tindakan susulan.

Semangnya telah diketahui umum, begitulah mahalnya nilai servis di negara barat. Bersih negaranya belum mampu dikalahkan mana-mana negara islam. Servis pelanggannya juga tip-top. Tapi, kesemua itu hanyalah saduran luaran kerana apabila dijengah kedalamnya, semuanya tidak bernilai kerana mereka hidup dengan nilai haiwani yang makin dibawa cemar pula ke negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Seks bebas, dadah, rokok, hiburan melampau dan pergaulan bebas sudah menjadi sebati dengan kehidupan mereka. Tidak hairanlah kalau seorang tokoh Islam, Asysyahid Syed Qutb yang menziarahi negara Amerika menyatakan bahawa “negara Amerika punya segala-galanya, kecuali roh”

Beberapa hari selepas pertemuan aku dan Henry, aku menyertai majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh persatuan pelajar muslim universiti. Aku memilih untuk bergaul mesra dengan teman-teman Islam dari negara lain berbanding duduk makan bersama teman-teman senegaraku sendiri yang boleh kuhubungi bila-bila masa yang aku kehendaki. Aku mendekati seorang wanita berbaju kemeja lengan panjang dan berjeans ketat yang sedang menjamah sosej dan salad sambil berdiri.

Aku menghampirinya dan mengajaknya duduk bersama di kerusi yang kosong. Tersenyum kepadaku, dia menuruti permintaanku. Aku berbasa-basi memulakan perkenalan dengannya. Tak lokek bercerita dia memberitahu bahawa dia berasal dari Indonesia dan beragama Islam. Sudah hampir dua tahun dia berada di situ. Aku pula menyatakan bahawa aku dari Malaysia. Aku amat terkejut tatkala dia tiba-tiba berkata padaku, “biarpun kita berbeza fahaman, tapi kita saling menghormati, bukan? Saya menghormati penganut seperti kamu manakala kamu juga harus menghormati saya”

Aku merasa pelik. Bukankah tadi dia menyatakan dia juga beragama Islam? Berjenis-jeniskah Islam sepertimana wujudnya cabang dalam agama Kristian? “Apa yang harus kami hormati tentang kamu?”, aku menyoalnya cuba mendapatkan kepastian.

“Fahaman kami tidak memberatkan seperti fahaman Islam yang kamu pegang. Contoh mudahnya, lihat sahaja beza pakaian kita. Kamu menutup segalanya seperti ini sedangkan kami lebih bebas memilih untuk tidak melakukannya” sambil dia menuding ke arah pakaianku yang labuh, berlengan panjang, berhijab malah berstokin.

“Adakah keringanan sebegitu dalam Islam? Bukankah semua umat Islam wajib menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan?”, aku menyoalnya kembali. Belum pernah aku berdepan dengan orang yang seberani ini meringan-ringankan agama yang dianutinya sendiri. Inikah teman seakidah yang kubela di hadapan Henry tempoh hari?, aku berfikir-fikir sendiri. Sedikit sebanyak menyesali akan betapa tidak sensitifnya aku pada isu yang sedang melanda umatku sendiri!

“Bukankah dalam Islam kita diajar bahawa Islam itu mudah?”, dia menjawab dengan persoalan.

“Betul”, aku mempersetujuinya untuk mendengar hujahnya lanjut “tapi bukan untuk dipermudahkan”,sempat aku menyambung.

“Bukankah ayat al-Quran hanya mengajar kita untuk menutupi dada?”dia lalu menyeluk tangannya di dalam beg yang disandangnya di bahu.“semuanya ada di dalam ini”, sambil dia mengeluarkan Al-Quran dengan terjemahan Inggeris darinya. Saat itu aku agak merasa kagum dengannya. Yalah, bukan calang-calang orang yang rela membawa Quran ke mana-mana sahaja. Apatah lagi untuk menerimanya sebagai rujukan kehidupan. Tapi aku mula memikir-mikirkan tentang mengapa pendirannya agak tersasar sedangkan dia membaca Al-Quran. Mungkinkah Al-Qurannya palsu?

“Saya nasihatkan kamu supaya berdamping rapat dengan Al-Quran. Allah sebenarnya berbicara kepada kita secara terus dan kita sememangnya layak untuk berusaha memahaminya sendiri kerana Allah telah mengurniakan akal untuk manusia dan menjadikan kita khalifah”, nasihatnya kepadaku penuh semangat. Barulah aku tahu di mana silapnya. Dia menafsir ayat-ayat al-Quran sendiri untuk dijadikan panduan kehidupan, termasuk ayat-ayat berkaitan syariat.

Aku merenungnya dalam-dalam. Aku tidak termelatah menyalahkannya kerana pelbagai kemungkinan yang telah menyebabkan dia berpendirian sebegitu rupa. Aku membayangkan betapa kompleksnya aku mempelajari kaedah ulamak mengeluarkan hukum daripada ayat al-Quran dan Hadith semasa aku mempelajari Pendidikan Syariah Islamiah dan Al-Quran Sunnah semasa SPM dulu. Bukan senang untuk para ulamak mengeluarkan sesuatu hukum kalau bukan kerana pakarnya mereka dalam ilmu al-Quran dan hadith.

“Percayalah, dengan memahami al-Quran barulah kehidupan kamu tidak akan terbeban dalam Islam”, dia mengakhiri katanya sebelum kami disertai oleh dua temannya yang lain. Sama sepertinya, kedua-duanya tidak bertudung.

Mereka bercerita tentang seorang pejuang ‘Islam pertengahan’ bernama Irsyad Manji, tentang hujah-hujahnya dan ayat-ayat al-Quran yang mengiyakan keringanan dalam beragama seperti yang mereka yakini. Aku meninggalkan mereka dengan secebis nasihat supaya mereka meyakini penafsiran para ulama’ bukan sekadar meyakini hujah retorik berdasarkan nafsu semata-mata. Mereka hanya mengangguk dan sempat menyatakan padaku bahawa itu adalah pilihan masing-masing. Usai bersalaman, aku mendoakan hidayah buat mereka.

Aku pulang dengan penuh tanda-tanya. Mencapai komputer ribaku, aku nekad menyelidik lebih lanjut tentang isu ‘Islam pertengahan’ yang baru sahaja kudengar. Aku kini sedar bahawa di zaman ini Islam tidak lagi hanya jelas diserang dengan kehancuran masjid-masjid dan Al-quran tetapi Islam diserang secara halus dari akar umbi akidah umatnya. Serangan ini tidak lain dan tidak bukan cuba untuk memesongkan akidah umat Islam secara diam-diam sambil masih membenarkan al-quran dibaca dan masjid dikunjungi. Ah, betapa liciknya mereka menghancurkan umat Islam!

Aku lantas membuka helaian baru dalam Microsoft Office One Noteku lalu mencatat apa yang berada diruang mindaku, cuba membukukan sesuatu untuk membalas serangan penulisan pemesongan Irsyad Manji dalam bahan cetaknya yang bertajuk “Harapan untuk Islam hari ini”.

Kalau taghut cuba membunuh umat Islam dengan pedang penanya, pena ini jugalah pedang yang akan membunuh impian si taghut durjana…

pen sword

Cerpen: Bahagia kejutan Tuhan


Humaira menyeka tangis. Ada cemburu. Ada sesal. Ada persoalan-persoalan yang tak terjawab dek logik akal manusia. Ada amarah pada sebuah kisah duka.

“Humaira, luahkan pada Allah tentang apa yang masih membelenggu jiwamu. Jika Humaira perlukan nenek, nenek sedia mendengar dan menasihat mana yang perlu”, suara tua itu bagaikan datang tepat pada masa jiwa terluka Humaira memerlukan.

Humaira diam. Ada lara yang ingin dikongsi. Entah apa yang dimahukannya, dia pun tidak mengerti.

Ibu tua itu datang mendekat, memeluk Humaira erat-erat. Pelukan penuh kasih sayang yang mengundang kembali tangis Humaira yang sudah pun bersisa tadi. “Humaira, seharusnya tangis itu Humaira hadiahkan pada Allah sebagai tangis sesal, tangis taubat atas kesilapan lalu. Biar tangis itu dihitung oleh Allah buat bekal ke Syurga nanti, sayangku”

Humaira yang kian tak malu melepaskan sendu cuba mengawal emosinya.

“Ceritakan pada nenek. Mana tahu nenek dapat membantu?”, pujuk ibu tua itu sambil mengusap-usap kepala Humaira.

Humaira menceritakan kisahnya. Sesekali Humaira terdiam cuba mengawal tangis daripada turun meluru laju kembali. Ibu tua itu setia mendengar, sesekali mengusap-usap belakang Humaira. Biar Humaira melepaskan segala yang terbuku di hatinya. Lalu Humaira mengakhiri kisahnya dengan kata lafaz penuh sendu..

“..dan begitulah berakhirnya sebuah kisah duka”.. Matanya berkaca. Ada riak kecewa pada sebuah perjalanan kehidupan yang cukup mencabar sabar dalam jiwanya.

Ibu tua itu lantas memegang tangan Humaira sambil berkata penuh makna, “Humaira, sebuah pengalaman duka sememangnya harus diakhiri supaya dapat kita semua mula melangkah untuk memulakan coretan kisah-kisah bahagia yang baru”

“Akan adakah bahagia untuk Humaira?”, katanya naif, masih tak lepas meayan emosinya.

“Terpulanglah..”

“Terpulang pada sejauh mana Humaira yakinkan Kasih Sayang Allah. Bergantung pada sejauh mana Humaira bersangka baik pada Allah”

“Allah…”, terpacul sebuah nama indah dari bibir Humaira. Satu nama yang dimiliki satu zat yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Satu Zat Yang PengetahuanNya tiada langsung tandingan.

“Izinkan hati Humaira untuk melihat kembali dunia yang penuh dengan kebahagiaan dan keindahan. Izinkan kecintaan itu masuk menusup kembali dalam jiwa. Segalanya ada di tangan Humaira”, kata-kata ibu tua itu bagaikan berdesing di telinganya. Humaira tahu, pasti bukan mudah.

“Tak salah untuk mencuba, kan?”, ujar ibu tua itu lagi seakan-akan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Humaira.

Humaira mengangguk. Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu dihembuskan segala baki kesedihan yang entah dari mana kembali datang menjengahnya tadi. “Astaghfirullahal ‘azim..”

Saat itu, Humaira mula tahu. Bahagia itu perlu hadir dalam jiwanya sendiri, dengan berkat Cinta dan Kasih Sayang Allah, Tuhan semesta alam. Pengalaman pasti takkan terpadam, tetapi bakal menjadi guru terbaik untuk menjadi peringatan perjalanan ke akhirat.

Humaira memandang langit.. Namun terlalu jauh untuk akalnya mencari-cari akhirat, tempat pulangnya yang pasti..

Akalku menggeledah langit
Mengharap dapat mengintai akhirat
Biar matlamat terpasak dalam-dalam
Berpaksi dalam sebuah jiwa yang suram

Aku mencari sebuah kisah langit
Satu-satunya kisah yang dapat menguat langkah
Kisah Syurga buat meninggi matlamat
Kisah Neraka buat hati-hati sangkaan jiwa yang gundah

Aku menadah cinta langit
Menghayati limpahan Kasih Sayang
Yang tak pernah putus walau seketika
Hanya aku yang sering keras dalam merasa

Kisah langit itu akhirnya kutemui
Rupanya ada pada sesuatu yang setia dalam genggamanku
Yang sering mengetuk-ngetuk jiwa
Pada kalam rindu Tuhan Yang Satu
Quran al-karim

Humaira menutup bukunya. Bagai bayu indah datang menyapa. Akhirnya bertalu-talu bahagia datang saat diyakini kasih sayang dan cinta Dia yang Menjadikan. Kisah suram rupanya pemula sebuah kerendahan jiwa pada Tuhan. Sebuah kisah yang menyentap jiwa untuk kembali larut dengan rintihan taubat. Untuk mensyukuri keindahan wasilah bahagia yang datang mendamba sebuah hati yang tulus ikhlas kerana Dia.

Hati sudah tak pandai berbicara
Terkesima dengan rahsia manisnya bahagia
Terpegun dengan indahnya perancangan Tuhan
Malunya aku pada ragu persangkaan

Terima kasih Tuhan
Kerana tak pernah membiarkan
Kaki ini melangkah jauh
Dari kepastian nikmat Syurga yang utuh

Cerpen: Tatkala tertaksir cinta Valentine


Mariah lekas-lekas pulang ke rumah untuk bersiap. Pukul 9 malam nanti Razif akan menjemputnya untuk  keluar makan malam.

‘A hundred hearts would be too few
To carry all my love for you.

Jemputan ke makan malam istimewa buat kekasihku, Mariah. Jam 9 malam ini.

Happy Valentines Day, sayang..’

Nota merah bertulisan emas  yang terselit dicelah jambangan mawar merah bermadah indah. Berbunga-bunga hati Mariah saat membacanya.

“Ooh. Indahnya Hari Valentine”, ucap Mariah sambil tersenyum simpul seorang diri di biliknya.

Tanggal 14 Februari 2011 tiba. Mariah cukup gembira hari ini. Pagi tadi, Mariah menerima sejambak mawar merah dengan kad berbentuk hati di atas mejanya. Hadiah istimewa daripada seseorang yang diminatinya dalam diam, Razif yang akhirnya membalas cintanya. Ini kali pertama Mariah berpeluang untuk menyambut hari kasih sayang, Hari Valentine.

“Ya Allah, semoga Engkau berkati cinta kami. Amin”, ujar Mariah dalam doanya. Mariah tak pernah putus mendoakan semoga ikatan yang terjalin ini akan menuju ke jinjang pelamin. Mariah tahu, jodoh merupakan ketentuan dalam Tangan Tuhan. Justeru seharusnya pada Tuhan-lah segala permintaannya harus disampaikan.

Jam menunjukkan 7.30 malam. “Aah, masih awal lagi”, ujar Mariah sambil mencapai novel yang sentiasa dibiarkan ada di kepala katilnya. Belum tamat satu bab, Mariah tiba-tiba mendengar hiruk pikuk suara di bawah. Mariah menjenguk keluar tingkap, menjengah memandang pada keriuhan dari tingkat 4, di mana biliknya berada.

Kesemua mereka berpakaian pelik seakan sedang menyambut sesuatu. Pakaian-pakaian bertemakan Romawi kuno.

“Sambutan Hari Valentine besar-besaran, mungkin?” fikirnya. Mariah berasa teruja. Mariah berhasrat untuk turun, ingin merasai sendiri berada dalam himpunan Hari Valentine yang pastinya penuh dengan cinta.

“Masih ada sejam sebelum Razif datang menjemput”, Mariah berkira-kira sambil menuruni anak tangga.

Setibanya di bawah, Mariah terpaksa berhimpit dalam kesesakan orang ramai. Kesemua mereka kelihatan tertumpu ke arah podium kecil yang diletakkan di atas pentas. Tidak beberapa lama setelah Mariah tiba, seorang lelaki naik ke pentas mengisi ruang podium yang kosong. Kesemua yang ada di situ tiba-tiba senyap.

Dengan suara hiba, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu berkata, “Raja Claudius II, penguasa Romawi telah membunuh St. Valentine yang kita kasihi. Bermula tahun ini, 270M, setiap tanggal 14 Februari kita akan adakan satu hari khas untuk memperingatinya”

“Dalam upacara keagamaan tahunan ini, kita akan membuktikan bahawa betapa kita benar-benar mengagungkan St. Valentine, kerana dialah simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup”, ujarnya. Kesemua yang tadinya diam dalam hiba kini bersorak menyokong, dengan melaung-laungkan nama “St. Valentine”.

Mariah berasa pelik. “St Valentine? 14 Februari 270M? Bukankah seharusnya ianya merupakan hari kasih sayang sedunia? Apakah semua ini?” Mariah mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena padanya. Mariah berpaling untuk pulang ke apartmentnya, tetapi dihalang oleh manusia yang berasak-asak menuju entah ke mana. Mariah cuba sedaya upaya untuk meloloskan dirinya daripada himpunan manusia tersebut, namun lautan manusia itu bagaikan tak berpenghujung.

Dengan lelahnya berkerja seharian tadi yang belum diubat dengan sedikit pun rehat, Mariah bagaikan hilang kudrat. Mariah pitam. Semuanya gelap.

“Hadirin diminta duduk dan senyap!”, jerkah suatu suara yang membuatkan Mariah terkejut dan tersedar, lalu membuka matanya.

Mariah memerhatikan sekeliling. Dia kini berada di dalam satu dewan mesyuarat yang luas. Dewan itu dipenuhi puluhan manusia yang tidak dikenalinya. Ruangan itu dilimpahi cahaya kuning yang terpancar dari lampu-lampu indah yang tergantung di atas silingnya yang tinggi. Mariah menggosok-gosok matanya, tidak percayakan apa yang dilihatnya. Sekali sekala dia mencubit tangan sendiri untuk memastikan bahawa dia tidak bermimpi.

“Di mana aku?”, Mariah terpinga-pinga.

Semua yang berada di sekitarnya tidak langsung dikenalinya. Mariah melihat jamnya di tangan. Tepat jam 9 malam.

“Razif!”, teringatkan janjinya dengan Razif, Mariah bingkas bangun untuk keluar dari tempat tersebut.

“Puan, sila duduk. Majlis telah pun bermula”, ujar suara pengerusi dewan. Kesemua memerhatikan Mariah yang sedang berdiri. Mariah lekas-lekas duduk apabila menyedari tindakannya menjadi tumpuan dewan. Mariah tiada pilihan, melainkan duduk menyaksikan sesuatu yang tidak langsung diketahui pucuk pangkal kaitan dengannya.

“Pembentang untuk tahun terkini, mohon diceritakan perkembangan pengagungan St. Valentine yang dibunuh pada 14 Februari 270 Masihi”, pinta pengerusi dewan.

Seorang lelaki yang berada di tengah-tengah dewan berdiri dengan sehelai kertas di tangannya.

“Para pengikut St. Valentines yang dikasihi..”, dia memulakan pembentangannya.

“Pengikut St. Valentines?”,Mariah berasa pelik. Siapakah mereka yang sebenarnya?

“Aku bukan pengikutnya! Upacara keagamaan apa kah ini? Aku beragama Islam! Aku pengikut Nabi Muhammad S.A.W”, jiwa Mariah sedikit sebanyak telah mula membentak.

Mariah memerhati sekeliling. Kesemua yang berada bersamanya memakai tag “pemerhati” dengan logo kecil yang bertulis, “for St. Valentines with love” yang terkalung di leher mereka. Mariah kemudiannya sedar bahawa, dia juga turut memakai tag yang sama.

Mariah duduk diam bersama berpuluh-puluh pemerhati lain, menyaksikan pembentangan beberapa orang yang ditempatkan di tengah-tengah dewan.

“Upacara keagamaan memperingati St. Valentine ini akhirnya melalui beberapa fasa sehinggalah menjadikannya Hari Kasih Sayang Sedunia yang dikenali sebagai Hari Valentine, bukan lagi hari untuk memperingati St. Valentine secara khusus. Perubahan yang amat ketara ini walaubagaimanapun tidak seharusnya dikesali, kerana inilah sebenarnya yang kita inginkan. St Valentine akhirnya ‘hidup’ sejajar dengan hidupnya masa”

Para hadirin bertepuk tangan. Rata-ratanya tersenyum lebar.

“Walaubagaimanapun, roh St. Valentine ini gagal untuk dihidupkan di seluruh dunia memandangkan terdapat satu puak yang terang-terangan menentang sambutan Hari Valentine”

Hadirin yang tadinya tersenyum lebar kini mula berwajah serius, menanti apa yang ingin diperkatakan oleh pembentang tersebut.

“Puak yang dimaksudkan adalah orang-orang Islam yang patuh pada arahan Tuhan mereka dan ajaran Rasul mereka”,ujarnya dalam nada yang membentak geram.

Mariah tersentak. Perkataan “Islam” yang disebut oleh pembentang tadi membuatkan dia terkejut. Tambah terkejut apabila dia mendengar pembentang membentak geram.

“Ini kerana, Rasul mereka berkata,  Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu. Tuhan mereka pula berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 85, Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-sekali tidaklah diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi

“Sehingga kini, mereka yang patuh inilah yang secara terang-terangan membantah sambutan Hari Valentine. Mereka inilah yang mematahkan usaha kita untuk menghidupkan pengagungan St. Valentine di seluruh dunia!”

Sidang dewan bising melepaskan marah masing-masing

“Harap bertenang, sidang dewan”, pengerusi majlis mencelah cuba mengawal suasana.

“Walaubagaimanapun..”, Suasana bising tadi mula bertukar senyap. Hadirin kembali menumpu pada bicara pembentang, “..masih wujud daripada golongan mereka ini yang tidak patuh pada ajaran agama mereka, ataupun mereka sendiri jahil tentang apa yang diperintahkan oleh Tuhan mereka sendiri dan ajaran Rasul mereka.  Mereka adalah Muslim yang menyambut hari Valentine. Jadi, kita harus berbangga kita masih mempunyai segolongan pengikut agama Islam yang menghidupkan St Valentine dalam kedhidupan muslim.”

“Kita akhirnya turut berjaya memesongkan sebahagian mereka yang terlebih-lebih mengikut perasaan cinta sehingga akhirnya terjerumus dengan zina, dengan menggalakkan perhubungan lelaki dan perempuan yang belum berkahwin, yang sebenarnya dilarang oleh agama mereka sendiri”

“Pastinya semua yang disebutkan ini bermula dengan sesuatu yang ringan.. Yang tak terjelas dilihat salah oleh mata masyarakat mereka sendiri”

Mariah berasa marah. Dia merasa tertipu. Dia sedar bahawa dia tidak pernah ambil tahu akan perihal Hari Valentine dan pandangan Islam terhadapnya.

“Dan pada hari ini.. kita mempunyai calon terbaik yang bakal menggambarkan kejayaan kita pada hari ini. Dipersilakan Miss Mariah untuk berdiri. Seorang yang beragama Islam yang menyokong sambutan Hari Valentine”,

Mariah tersentak lagi. Entah buat ke berapa kalinya. Perasaan malu kerana dirasakan begitu jahil dengan tuntutan agamanya sendiri, perasaan marah kerana dirasakan diperlekeh-lekehkan secara terang-terangan, perasaan menyesal.. semuanya bercampur baur saat itu.

Di skrin besar, tertayang Mariah yang sedang mencium bunga yang dikirim Razif dengan kad ucapan Hari Valentine yang diterimanya, dia yang pulang bersiap untuk keluar makan malam bersama Razif, dia yang tersenyum riang mendengar Razif tiba lantas dia laju menuruni tangga untuk mendapatkan Razif yang kacak dengan kot hitamnya, dia dan Razif yang akhirnya duduk semeja di sebuah restoran eksklusif dengan sekuntum mawar di tengah-tengah meja.

Para hadirin akhirnya bertepuk tangan, dan tak kurang yang tertawa.. entah mentertawakannya atau tertawa gembira meraikan kejayaan mereka.

Perasaan bercampur-baur yang ditanggungnya akhirnya mengundang tangis. Dia bangun dari tempat duduknya lalu berlari ke arah pintu besar yang sedang tertutup rapi. Mariah menarik daun pintu yang kini tersergam di hadapannya. Gagal. Tiada siapa di situ yang mahu membantu. Yang kedengaran hanyalah tawa yang menyindir, memperlekehkannya. Mariah mengetuk-ngetuk pintu yang tidak mampu dibukanya itu sekuat hati.

“Dum! Dum! Dum!”, kuat bunyinya.

Berkali-kali diketuknya sehingga sakit-sakit tangannya. Tidak tahu untuk berbuat apa, Mariah terduduk menekup mukanya, menangis penuh malu, penuh sesal..

Tiba-tiba suara tawa para hadirin tadi hilang. Suasana senyap. Yang tinggal hanyalah bunyi ketukan pintu, dan air matanya.

Mariah mengangkat mukanya cuba melihat apa yang telah terjadi.

Dia terkejut. Kini dia berada di dalam biliknya, di atas katil dengan novel masih di sisi. Dia rupanya masih di situ, sedang menanti ketibaan Razif.

“Astaghfirullahal‘azim…aku bermimpi rupanya”, ujarnya. Mariah beristighfar berkali-kali. Apa yang dilaluinya tadi benar-benar membuatkannya bingung.

Yang jelas, satu perubahan persepsi pada sambutan hari Valentine benar-benar sedang sarat membelenggu fikirannya.

I’m so sorry Razif.. I think I can’t make it tonight. I’m not feeling well”.

Message sent.

Mariah meghantar pesanan ringkas pada Razif. Biarlah apa nak dikata Razif. Malu kerana ditertawakan dan diperbodohkan tadi masih segar berbaki. Dia kini tahu bahawa menyambut Hari Valentine itu terang-terangan salah di sisi agama Dia tidak mahu menjadi muslim yang jahil dengan tuntutan agamanya sendiri.

Mariah membersihkan diri dan mengambil wudhuk.. berharap semoga dosa atas kejahilannya sendiri diampuni Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

-TAMAT-

any advertisement appeared on this post or other post does not owned by the writer and meant to be removed if the writer knows how to do it. sigh~

Sebuah perkongsian rasa: Siapakah Rasulullah dalam hidup saya?


Siapakah Muhammad Rasulullah S.A.W pada saya? Semestinya, seperti para pembaca semua juga, pada saya Rasulullah merupakan seorang idola yang sentiasa diusahakan untuk dicontohi dan diagungi akhlaknya. Rasululullah merupakan penutup sekalian nabi. Rasulullah merupakan manusia pilihan Allah yang ditugaskan untuk menanggung risalah Allah, untuk disampaikan kepada semua supaya wujudnya ummah yang sanggup menanggung risalah agung milik Allah, Al-Quran al-Karim.

Apabila kita membaca bibliografi seseorang yang kita rasakan tiada kaitan dengan kita, pasti kita tidak begitu terkesan membacanya. Begitulah pendapat saya terhadap Rasulullah S.A.W satu ketika dahulu. Saya merasa terpaksa apabila disuruh mencintai Rasulullah. Sambutan-sambutan hari keputeraan Rasulullah, pada saya merupakan sebuah sambutan kebiasaan sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Ada persembahan nasyid, perarakan yang dialunkan selawat dan sebagainya. Pada hari sambutan maulidurrasul juga, saya merasa pelik apabila guru-guru berpesan supaya memperbanyakkan selawat. “Bukankah setiap hari kita harus memperbanyakkan selawat? Jadi apa istimewanya berselawat pada hari ini?”, fikir saya.

Sehinggalah pada suatu hari, keluarga saya membicarakan perihal susur galur keluarga. Keluarga bapa saya berasal daripada keluarga Syed-Syarifah dari golongan Jamalullail yang dikatakan berasal dari Iran, bersusur galurkan Saidina Hasan atau Saidina Hussin. Keluarga saya malah mempunyai satu carta keluarga yang disimpan elok-elok, yang mana tercatat juga catatan salasilah keturunan keluarga bermula dari Rasulullah hinggalah ke arwah atuk kami. Ketika diceritakan pada kami, saya mula berasa seronok apabila memikirkan bahawa, Rasulullah yang diagung-agungkan itu adalah moyang kami. Saat itulah, saya mula berperasaan terhadap Rasulullah. Walaubagaimanapun, rupa-rupanya bukan perasaan hubungan cicit-moyang sahaja yang ditakdirkan tercipta antara saya dan Rasulullah tika itu. Saya terkesan apabila nenek (sebelah ibu) tiba-tiba bersuara menyatakan:

“Darah yang mengalir dalam badan kamu semua bukan calang-calang darah. Tapi kalau tak langsung membanggakan Rasulullah, buat malu je dengan Rasulullah nanti”, ujarnya. Dua ayat ringkas yang cukup memberi kesan pada saya pada hari itu.

Bukan pada keagungan namanya yang harus dibanggakan, tetapi ada sesuatu yang lebih dari itu, iaitu mengimani apa yang disampaikan baginda S.A.W dengan ikrar hati, lafaz lidah dan semestinya dengan perbuatan anggota badan. Dalam erti kata lain, biarlah darah siapa pun yang mengalir dalam tubuh badan kita kerana Allah hanya memandang ketakwaan untuk dihitung di akhriat kelak. Perihal darah semestinya hanya akan dibincangkan oleh penghuni-penghuni dunia. Perihal jasad yang akan dibiarkan menjadi tanah nanti. Perihal jasad yang akan dibakar kalau dibiar nafsu al-hawa’ mengalahkan roh suci menguasai diri. Saya mula faham. Ada sesuatu yang perlu saya cari pada insan agung tersebut.

Walaubagaimanapun, saya masih gembira dengan kisah ‘keturunan’ yang diceritakan kepada kami. Ditambah dengan masyarakat yang sememangnya sering ambil kisah pada kami yang berketurunan Syed-Syarifah ini, makin menjadi-jadilah perasaan izzahnya saya terhadap Rasulullah S.A.W.

Apabila saya mencecah 20-an, saya ditakdirkan bertemu dengan insan-insan yang Allah takdirkan untuk menuntun saya di atas jalan dakwah. Fasa kehidupan yang cukup bermakna buat saya. Pelajaran terbesar yang saya terima ketika itu adalah, mengajak manusia kepada Allah (berdakwah) merupakan sunnah terbesar Rasulullah S.A.W. Lebih mendalam lagi apabila saya mula sedar, sunnah terbesar itu harus dilakukan untuk diri saya terlebih dahulu dengan menyeru roh saya untuk pulang menghambakan diri kepada Allah semata-mata. Hanya dengan kekuatan roh yang tunduk pada Allah inilah, profesyen seorang daie yang menjadi profesyen utama Rasulullah S.A.W dapat dilaksanakan.

Saat itu, pandangan dan perasaan saya terhadap Rasulullah berubah lagi. Berubah buat kali keduanya dan kesekian kalinya, insyaAllah. Rasulullah S.A.W ketika itu dipandang bukan sekadar seorang yang mempunyai pertalian darah, tetapi lebih dekat lagi dengan jiwa; seorang kekasih. Sejak hari itu, saya mula merasakan ada pertalian dengan baginda Muhammad S.A.W saat melafaz ucapan selawat. Jiwa bagai bergetar merindui seseorang yang dirasakan kini amat dekat dengan jiwa. Sudah terbit cinta yang mendalam, pada seorang kekasih yang amat diagungkan dan dibanggakan oleh seluruh ummat. Alhamdulillah, di atas jalan dakwah dan tarbiyah, saya sentiasa diajar untuk merasa dekat dengan Rasulullah dengan melakukan apa yang telah Rasulullah perjuangkan dari dahulu lagi. Perjuangan dakwah ilallah (menyeru kepada Allah) yang kemudiannya disambung oleh para sahabat dan para tabiien, yang akhirnya sampai kepada kita semua pada hari ini.

Mengenali setiap perbuatan dan kata Rasulullah membuatkan hidup lebih bermakna. Kalau dulu, bersukan mungkin sekadar berseronok, kini bersukan sudah dipandang sebagai ibadah yang juga dilakukan oleh Rasulullah. Kalau dulu menghormati jiran tetangga dipandang sebagai akhlak asasi, kini menghormati jiran sudah dipandang sebagai akhlak Islami yang amat disaran oleh Rasulullah. Indahnya kehidupan kerana setiap perbuatan kini mempunyai nilai yang bukan calang-calang – nilai akhirat. Terima kasih, Ya Rasulullah kerana mengajar kami erti sebuah kehidupan yang beragendakan akhirat.

Bermulalah kisah perjalanan hidup baru yang dirasakan ditemani Rasulullah selalu. Saat berbuat salah, malu besar pada Allah sudah semestinya, kini dtambah dengan malu juga pada Rasulullah yang diketahui amat mencintai umatnya. Umat yang belum pernah ditemuinya, tapi telah lama disebut-sebut semasa hayat baginda, sehinggalah saat ajal datang menjemput. Nama-nama kita semua terungkap dalam lafaz syahdunya yang menyeru, “Ummati..ummati..ummati..”.

Jiwa mana yang tak diruntun pilu kalau seorang yang bersusah-payah berjuang menyampaikan risalah, seorang yang telah Allah janjikan Syurga padanya, sehingga akhirnya tetap mengingati dan risaukan pengakhiran kita semua, umatnya?. Apakah layak sebuah balasan cinta kita pada seorang kekasih agung hilang ditelan masa dan zaman? Apakah sanggup untuk jiwa lemah menggetarkan cinta kita pada seorang kekasih yang berjanji untuk menanti di akhirat, dengan huluran cinta syafaatnya?.

Subhanallah.. saat mula bersalut dengan getar cinta Rasulullah S.A.W, jiwa bagai memberontak rindu apabila membaca semula kisah-kisahnya. Ketika itu, barulah saya faham, bagaimana mungkin seseorang yang telah lama meninggalkan kita, masih diagungkan dan dibanggakan hingga hari ini. Saya bersyukur, kerana turut mengetahui bahawa mengagungkan dan berbangga dengan Rasulullah menjadi lebih indah apabila didasari dengan rasa cinta yang mendalam. Bertambah indah lagi apabila mengetahui, kita masih mampu membalas cintanya walaupun tidak mungkin mampu setimpal dengan cinta yang dihulurnya, dengan mengamalkan sunnahnya dan berselawat kepadanya.

Biarpun cintanya dapat dirasai setiap hari dalam tiap ketika kehidupan, mengingati hari keputeraannya adalah hari teristimewa berbanding hari-hari istimewa lain saat bersamanya. Ya, merasakan Rasulullah begitu hampir malah hidup saat kita menghidupkan sunnahnya. Eid Milad Ya Rasulullah.. Semoga dikau berbangga dengan kami, dan sudi memandang umatmu yang sedaya upaya menghidupkan sunnah agungmu, dengan senyuman termanismu di Syurga nanti..insyaAllah.

Cerpen: Melakar warna cinta


Jam 3 petang nanti dia harus bertolak menghadiri perkhemahan tarbiyah selama 2 hari. Masih berbaki 2 jam. Ismah telah disuruh bersiap untuk bersama-sama membawa Hamzah yang sedang sakit dan asyik meragam ke klinik.

“Abang, Ismah dah habis kemaskan pakaian dan barang-barang abang untuk ke muaskar”

“Terima kasih, Ismah,” lega hatinya.

Mujur Ismah telah menghabiskan mengemas begnya yang telah separuh jalan dilakukannya malam tadi. Makin bertambah senang dia menjalankan tanggungjawab terhadap isteri dan anaknya yang juga kini menjadi tanggungjawab dakwah, kerana Ismah dah Hamzah juga mencintai dakwah sepertinya.

“Terima kasih, abang, sebab teman Ismah bawa Hamzah jumpa doktor dan belikan ubat Hamzah”

“Sama-sama. Inikan tanggungjawab abang,” ucap Zaid.

Dia tahu. Biarpun Ismah berkali-kali menyatakan dia mampu menguruskan segalanya, biarlah nanti ada jawapan yang mampu dijawab tatkala Allah bertanyakan perihal kepertanggungjawabannya pada keluarganya. Kalaupun terlalu sibuk, masa yang ada akan cuba diisi sekualiti mungkin bersama keluarganya.

Terbayang dia pada Rasulullah yang menjadi utusan Allah.

Insan sehebat itu yang dijanjikan Allah padanya Syurga, sempat juga berlumba lari dengan isterinya dalam perjalanan pulang sebuah misi dakwah, sekali-sekala menjahit pakaiannya juga bermain dengan cucu-cucu baginda. Padanlah baginda menjadi qudwah hasanah buat para ummatnya, sehingga kini.

Hebatnya baginda dalam usaha menyampaikan risalah bukan calang-calang.

Hebat baginda bersama keluarga dan isteri di rumah juga tak tertanding.

Insan hebat yang jauh lebih tinggi ujian dan cubaan dalam perjalanan dakwahnya, berbanding aku yang usahanya tak seberapa ini.. ahh. malunya aku pada Rasulullah!

“Tapi, abang kena janji dengan Ismah. Atas dasar cinta kita kepada Allah dan dakwah.. abang kena fokus pada muaskar sepenuhnya. Ismah dan Hamzah biar Allah yang jaga. Lagipun, Ismah tahu siapa yang nak dicari kalau Ismah nak mintak tolong nanti. Ismah kan boleh memandu? Kalau abang ada pun, tak semestinya Hamzah boleh sihat. Allah yang menyihatkan”

Tersenyum dia mendengar nasihat isterinya. Ini bukan kali pertama Ismah memperingatkannya begitu. Kadangkala, kalau hendak ke tempat kerja pun, Ismah selalu mengingatkannya, “Abang kena janji dengan Ismah untuk fokus pada kerja yang abang buat. Jangan mengelamun teringatkan Ismah dan kerja-kerja di rumah.”

Ada benarnya nasihat itu, seringkali sifat kewanitaan Ismah yang masih utuh terpahat dalam diri sering mengusik bayangan mindanya.Semoga kita layak memiliki Syurga, Ismah.. Syurga untuk kita berehat dan bersenang lenang nanti..

Zaid bersyukur kerana memiliki Ismah yang turut mencintai dakwah. Dakwah tidak pernah menjadi beban, malah satu kebanggaan dan komitment hebat buat dirinya dan isteri. Hari demi hari, bagaikan hari baru yang penuh dengan pengajaran dan pelajaran baru. Hari demi hari, bagai digembur-gembur cinta pada dakwah. Sesegar kali pertama, ketika awal-awal mengenali manisnya jalan dakwah dalam kepayahan menempuhnya. Alhamdulillah..

Benarlah, segalanya bermula pada niatnya. Kehebatan di akhirnya bermula dengan betulnya langkah pada awalnya..

Ingatannya nakal mengimbau perihal 2 tahun lalu, saat dia dan Ismah pertama kalinya dibiarkan berdua setelah selesai urusan akad yang menobatkan status suami isteri buat keduanya.

*****

Dilihatnya Ismah acuh tak acuh tatkala dia mengambil tempat duduk di sebelah Ismah. Malam pertama penuh debaran. Zaid tahu, bukan mudah saat merubah kedudukan seorang lelaki yang dalam satu saat telah halal untuk berbuat apa sahaja terhadap dirinya. Sedangkan dia pun berdebar, apatah lagi Ismah. Namun, dalam debar ini, dia harus menyampaikan sesuatu yang cukup penting pada Ismah.

“Ismah.. abang harap Ismah faham kedudukan Ismah. Ismah isteri kedua abang..”

Ismah menatap mata suaminya dalam-dalam. Cuba menghurai maksud yang tersirat.

“Ismah isteri kedua abang, setelah dakwah yang telah lebih awal dijadikan isteri pertama abang”

Ismah telah terawal mengagak. Istilah ‘isteri kedua’ yang sering digunapakai oleh para ikhwah dalam menghurai betapa ‘berbezanya’ makna sebuah pernikahan yang berlandaskan matlamat dakwah.

Ismah diam.

“Kenapa? Ismah tak bersetuju ke?”

“Tak”

“Bukankah dakwahlah matlamat asal perkenalan kita? Kenapa sekarang bukan?”

“Ismah tak boleh terima dakwah sebagai madu Ismah,” Ismah menjawab tegas.

Bagai direntap-rentap dada Zaid mendengar pengakuan isterinya. Tersalah pilih isterikah aku? Terdiam Zaid. Dia hanya menanti bicara lanjut Ismah yang diharapkan dapat menjelas celaru yang mula hendak melangkah masuk dalam jiwanya yang benar-benar mencintai dakwah.

“Ismah juga mencintai dakwah sepertimana abang mencintainya…”

“Malah mungkin Ismah lebih-lebih lagi”, Ismah diam mengumpul kata.

“Allah sahaja yang tahu betapa mendalamnya cinta Ismah pada dakwah. Ismah juga dari dulu lagi telah meletakkan dakwah dalam tempat teristimewa dalam kehidupan Ismah. Kalau seperti abang yang mengahwini dakwah dan menjadikan dakwah sebagai isteri pertama abang, Ismah pula telah bersuamikan dakwah. Kalau Ismah bersuamikan dakwah, mungkin Ismah tak akan mengahwini abang, kerana Ismah tak dibenarkan berkahwin empat seperti abang..”

Zaid menatap Ismah, seorang yang diketahuinya bukan calang-calang itu..

“Kalau ikatan kita dengan dakwah diandaikan seperti sebuah perkahwinan, begitulah kedudukannya. Bagi pihak Ismah, Ismah harus memilih antara dua; bersuamikan dakwah, atau bersuamikan abang. Kalau Ismah memilih abang sebagai suami, maka tak akan layaklah lagi dakwah dalam kehidupan Ismah”

“Ismah juga dengan fitrah wanita ini, pasti akan cemburu andai abang beristerikan seorang lagi walaupun Ismah meredhai. Ismah akan mencemburui dakwah yang sekian lama Ismah juga pernah cintai”

“Itu ke yang abang nak?” soal Ismah pada suaminya yang tekun mendengar.

Zaid menggeleng.

“Abang masih inginkan Ismah yang abang kenali dulu. Hebat dalam tarbiyah dan dakwah. Juga dengan Ismah yang abang baru kenali beberapa jam ini, yang cukup sempurna ciri kewanitaannya,” jelas Zaid.

“Kalau begitu, Ismah nak mintak abang meletakkan dakwah sebagai murabbi keluarga kita,” Ismah meminta lembut. Lembut, tetapi cukup kuat menggetarkan jiwa juang Zaid. Ternyata kata-kata Ismah datang dari sudut hatinya yang amat mencintai dakwah ilallah.

Bidadari mana yang Engkau hantarkan padaku ini, Ya Allah… Zaid bermain kata dalam hatinya. Sungguh dia tak menyangka mudah benar hatinya jatuh cinta pada mujahidah yang baru dikenalkan padanya saat dirinya telah bersedia untuk berumahtangga beberapa bulan lalu yang kini telah berada di depan mata.

“Murabbi yang akan sentiasa menalakan kehidupan kita ke arah menuju Allah. Malah murabbi ini akan menjadi kecintaan anak-anak kita juga cucu-cicit kita nanti.”

“Dakwah bukan milik abang seorang”

“Ismah mengimpikan dakwah ini mengalir, kadang sederas air sungai, kadang setenang air tasik, kadang sesesak pukulan ombak laut..  tapi tetap bergerak, menjadi sesuatu yang diusahakan, dicintai dan dibanggakan.. bukan abang seorang, tapi buat Ismah dan anak-anak kita.. sehinggalah ke generasi seterusnya.”

“Dakwah takkan menjadi kecintaan abang seorang, kecintaan abang yang mampu membuat Ismah dan anak-anak cemburu, tetapi kecintaan abang, Ismah dan anak-anak.. yang membuatkan kita saling berusaha ke atasnya, kerana cintanya kita kepada dakwah ilallah.”

“Dakwah takkan membuatkan kita merasa tinggal meninggalkan, kerana hakikatnya nanti kita akan merasakan bahawa kita saling membantu satu sama lain, untuk tetap tegar mencintai dakwah.”

“Dakwah takkan pernah menjadi pesaing cinta kita.. tetapi dakwah adalah cinta kita bersama.”

Zaid tersenyum mengenangkan petah bicara isterinya. Dikiranya sebuah bai’ah indah seorang mujahidah dakwah yang tak rela mencagarkan usaha dakwahnya dengan alasan perkahwinan. Sebuah bai’ah indah yang ternyata berjaya menidakkan emosi-emosi yang sering dikaitkan dengan wanita.

“Ismah dah berjanji dengan Allah untuk terus tsabat..kini kita juga telah berjanji untuk bersama atas jalan ini dengan ikatan pernikahan.. Ismah harap perkahwinan tak membuatkan kecintaan Ismah dan abang pada dakwah berkurang.. malah makin bertambah.. Ismah juga tidak mahu dakwah nanti menjadi penyebab kepincangan bait muslim yang kita idam-idamkan, tetapi dakwahlah yang memacu kehebatannya..” Zaid mengangguk-angguk dengan senyuman.

Kagum. Bersetuju. Tak sabar menempuh masa dengan neraca baru. Neraca yang meletakkan isterinya juga sebagai pencinta dakwah sepertinya. Neraca yang akan membuatnya melihat Ismah dan anak-anaknya benar-benar sebahtera dengannya untuk dikemudi ke Syurga.

Ternyata, Ismah seorang mujahidah hebat.

Teorinya dalam meletakkan dakwah sebagai satu kecintaan bersama, bukan sebagai ‘pesaing cinta’ benar-benar menyelesaikan banyak pertembungan perasaan yang sering melanda bait muslim rakan-rakannya yang lain. Namun,sehebat bai’ah mereka pada Allah, bai’ah untuk tsabat dengan jalan dakwah, juga mithaqan ghaliza yang tertancap saat akad nikah, hebat jua jalan yang terbentang, penuh ranjau dan duri untuk ditempuhi dengan sabar, dengan penuh cinta.

Alhamdulillah.. moga dakwah ini terus mengalir.. bukan hanya dalam aliran darah diri sendiri, tetapi kepada isteri, juga zuriat-zuriat yang bakal dihadiahkan Allah. Semoga impaknya tersebar keseluruh alam. Amin..  Moga kita semua terus tsabat dalam mencintai jalan dakwah yang mencabar ini..