Masa yang berlalu


Cepat sungguh masa berlalu.. Zaman pun berubah dengan pesat.

Ketika saya berjinak-jinak dengan blog dulu, saya masih berada di zaman sekolah. Kerisauan saya hanyalah tentang segenggam ijazah. Kini saya telah bergelar isteri dan seorang ibu. Ruang perjuangan makin besar, menuntut pelbagai kebijaksanaan dan kesabaran. Kini juga saya bergelar usahawan wanita. Apa yang diajar daripada segulung ijazah hanyalah secebis ilmu untuk diaplikasikan bersama-sama pelbagai ilmu yang diperlukan dalam bidang ini. Blog mujahadah sangat bermakna untuk saya kerana ianya merupakan salah satu ‘rumah’ untuk jiwa saya, sebagai seorang individu. Biarpun fasa dan zaman berubah, pembangunan jati diri sebagai seorang individu tak pernah terhenti kerana kita perlu bertanggungjawab terhadap pengakhiran hayat kita nanti. Syurga atau nerakakah yang kita tempah?

Menjalankan tanggungjawab dengan pelbagai topi juga bukan mudah. Ianya memerlukan susuk tubuh individu yang sangat kuat dan berkualiti dari segi jasmani dan rohaninya. Begitulah peri pentingnya tarbiyah individu muslim, sepanjang zaman.

Kita mungkin mampu mengemukakan pelbagai alasan. Jika melakukan sesuatu yang tidak baik, ebagai seorang anak dulu, mungkin kita menyalahkan ibu bapa kita kita: “Mak ayah aku la yang tak ajar aku elok-elok”

Bila dah berkahwin boleh sahaja kita katakan; “suami aku la tak bawa perkahwinan dengan tarbiyah Islam yang baik”

Tapi bila kita mati, akhirnya yang dipersoalkan adalah segala perbuatan yang kita lakukan.. apa yang kita niatkan.. apa yang kita yakini dan apa sahaja yang telah dipertanggungjawabkan pada kita.

kerana apa? kerana kita adalah khalifah Allah. Yang dilantik dengan persetujuan kita suatu ketika dahulu. Berdirilah di atas kaki sendiri atas apa yang kita telah sediakan untuk diri kita di akhirat sana. Berhenti menyalahkan, mulalah bertanggungjawab!

Selagi hayat dikandung badan..inilah mujahadah kita…

Media sosial: gelincir bahaya lidah zaman moden


Wanita amat sinonim dengan isu bahaya lidah. Kalau disebut perihal mengumpat, mengata belakang, dan menjaga tepi kain orang sering sekali dikaitkan dengan wanita. Walaubagaimanapun, hakikatnya wanita atau lelaki, semuanya terdedah kepada penyakit yang sama. Sebagai umat Islam, kita semua sedia maklum tentang imbuhan yang menanti andai lidah dibiarkan dipacu sewenang-wenang tanpa dijaga.

Rasulullah S.A.W menjawab ketika ditanya Muaz tentang samada kita akan diseksa kerana apa yang kita cakapkan? Rasulullah bersabda,

“Adakah manusia tidak disembamkan ke dalam neraka di atas lubang hidung mereka melainkan kerana hasil percakapan mereka?”

Nauzubillahiminzalik. Semoga kita semua tidak tergolong dalam orang-orang yang dijanjikan azab neraka.

Memikirkan tentang hakikat zaman serba canggih yang sedang kita berada di dalamnya kini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa media sosial telah memperkenalkan kepada kita satu cara baru untuk berkata-kata dan mendengar dalam medan cakupan yang lebih luas. Apa sahaja yang ingin dikatakan boleh ditaip dan diletakkan di atas talian untuk dibaca oleh seluruh umat manusia yang berada di dalamnya. Sepertimana lajunya kata-kata oleh lidah yang cepat ditangkap dengar oleh telinga, begitulah juga canggihnya fenomena media sosial masa kini. Hanya beberapa detik, informasi yang ingin dikongsi dapat disampaikan dan dapat dibaca. Para manusia yang dahulunya malu-malu dan takut-takut untuk melafazkan pendiriannya dan perasaannya dengan lidah bagaikan ketemu cahaya, mula menemui cara untuk didengari.

Ternyata, kini lidah tidak lagi menjadi satu-satunya alat utama komunikasi. Tidak perlu menanti berdepan dengan seseorang untuk menyampaikan informasi dengan lantunan suara, informasi boleh disampaikan sekelip mata hanya dengan detikan jari pada papan kekunci komputer, laptop, tablet, telefon bimbit dan pelbagai alat lagi. Sedarkah kita bahawa, jemari yang telah mula beriringan dengan lidah memainkan peranan berkata-kata manakala mata pula memain peranan seiring telinga? Sungguh, mata kita mula ‘mendengar’ manakala jari-jari kita pula mula ‘berkata-kata’!

Kita semua yakin bahawa dunia adalah ladang tanaman yang akan kita tuai hasilnya nanti di akhirat. Amalan kita dalam media sosial semestinya tidak terkecuali. Setiap satunya akan dinilai saat pulang ke kampung akhirat kelak. Begitulah seriusnya peranan media sosial dalam kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Namun keasyikan dalam menghadapi fenomena ini dikhuatiri mengaburi adab dan akhlak Islam yang sekian lama telah cuba ditanam dalam jiwa umat Islam. Kita kadang-kadang terlupa bahawa Rasulullah telah bersabda bahawa:

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia bercakap dengan perkara baik atau diam.

Ramai yang mampu mendiamkan lidah dari berkata-kata, tetapi hakikatnya untuk diam secara total mula menjadi masalah apabila wujudnya media sosial sebagai satu medan alternatif untuk berkata-kata. Kewujudan media sosial membuatkan ‘kebisingan’ lidah di alam nyata kini boleh beralih kepada ‘kebisingan’ jemari di atas talian. Namun, sekiranya media sosial digunakan sebaiknya sememangnya ia mampu menjadi satu medan ‘kebisingan’ yang berguna untuk menyebarkan perkara-perkara baik yang sering takut-takut untuk diucapkan dengan lidah. Sebagai contoh, ramai yang berkongsi status facebook atau twitter yang berfaedah tanpa membuka keaiban serta artikel bermanfaat di blog-blog yang penuh dengan pengajaran-pengajaran yang berguna. Walaubagaimanapun, sepertimana mudahnya berkongsi perkara baik di medan sosial, syaitan semestinya tak lupa menggoda menggunakan peluang ini untuk menjadikannya alat tambah untuk memperkatakan perkara-perkara buruk yang semestinya mengundang dosa.

Untuk menjadi umat Islam yang patuh pada suruhan Allah dan ajaran Rasulullah, semestinya kita semua telah mula memikirkan bagaimana caranya untuk kita kekal dengan adab-adab Islam dalam kecanggihan zaman moden, bukan?

Pertama sekali, kita harus menanam sikap ihsan dalam-dalam, iaitu melakukan sesuatu perbuatan dengan penuh berjaga-jaga seolah-olah kita dapat melihat Allah dengan hati atau menyedari dan merasai bahawa Allah sedang melihat kita. Rasa ini akan menerbitkan rasa malu pada Allah lantas dapat mengawal perkataan kita dengan menjauhi yang buruk dan sia-sia.

Kedua, kita harus tahu bahawa percakapan adalah antara amalan yang akan dihitung kira di akhirat. Hal ini kerana ramai manusia tidak mengira percakapannya sebagai sebahagian daripada amalannya yang akan dipertimbangkan saat penentuan ke Syurga atau ke Neraka kelak. Oleh itu mereka banyak bercakap tanpa berfikir dan menyelidik.

Sepertimana yang dikongsikan oleh Umar Abdul Aziz,

“Sesiapa mengira percakapannya sebahagian daripada amalannya, dia kurang bercakap melainkan tentang perkara yang perlu dan berguna sahaja.”

Ketiga, kita perlu berterusan dalam mengambil tahu tentang perkara mana yang dikira sebagai kebaikan perkara mana yang dikira sebagai keburukan dan yang sia-sia. Rasulullah tidak pergi tanpa meninggalkan panduan dan bekalan kepada kita dalam memilih kebaikan yang seharusnya kita ucapkan, secara tak langsung menjelaskan kepada kita bahawa perkara selain darinya adalah perkara yang harus dijauhi. Berikut adalah satah satu di antara hadith-hadith Rasulullah yang menyentuh tentang adab percakapan:

At-tarmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ummu Habibah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Setiap percakapan manusa ditulis ke atasnya (akan memudaratkannya) melainkan menyuruh dengan perkara yang baik, mencegah daripada perkara yang mungkar dan menyebut nama Allah ‘Azza wajalla.”

Betapa jelas dan benarnya prinsip Islam. Sejauh mana pun manusia telah berjaya menerokai kemajuan dunia tiada sebab yang mampu meleraikan tuntutan manusia dalam memenuhi kehendak hukum dalam adab dan ibadah kepada Allah. Setinggi mana pun manusia menongkat langit hakikatnya kita semua hanyalah tanah saat sakaratul maut datang bertandang, saat semboyan kiamat dibunyikan Israfil. Sejauh mana kita pergi, kita takkan lari daripada keperluan merujuk kepada hakikat asas tujuan penciptaan seorang muslim yang sentiasa beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sunggah dalam menggapai idaman untuk pulang bahagia ke Syurga.

Semoga kita semua terus beringat-ingat dalam beramal dengan akhlak dan adab Islam walau seteruja manapun kita digelumang dengan gajet-gajet dan sistem-sistem moden. Kalau telah kurang rasa malu pada manusia malulah pada Allah yang hakikatnya tak terkata lebih jauh canggih Syurga dan cakerawala Nya berbanding kecanggihan kecil dunia yang sedang terlalu asyik kita nikmati. Selamat menjadi manusia moden yang masih segar dengan adab Islam!

Oleh:
Siti Balqis Binti Syed Mohamad Noor

Editor:
Usamah Izer

Cerpen: Bahagia kejutan Tuhan


Humaira menyeka tangis. Ada cemburu. Ada sesal. Ada persoalan-persoalan yang tak terjawab dek logik akal manusia. Ada amarah pada sebuah kisah duka.

“Humaira, luahkan pada Allah tentang apa yang masih membelenggu jiwamu. Jika Humaira perlukan nenek, nenek sedia mendengar dan menasihat mana yang perlu”, suara tua itu bagaikan datang tepat pada masa jiwa terluka Humaira memerlukan.

Humaira diam. Ada lara yang ingin dikongsi. Entah apa yang dimahukannya, dia pun tidak mengerti.

Ibu tua itu datang mendekat, memeluk Humaira erat-erat. Pelukan penuh kasih sayang yang mengundang kembali tangis Humaira yang sudah pun bersisa tadi. “Humaira, seharusnya tangis itu Humaira hadiahkan pada Allah sebagai tangis sesal, tangis taubat atas kesilapan lalu. Biar tangis itu dihitung oleh Allah buat bekal ke Syurga nanti, sayangku”

Humaira yang kian tak malu melepaskan sendu cuba mengawal emosinya.

“Ceritakan pada nenek. Mana tahu nenek dapat membantu?”, pujuk ibu tua itu sambil mengusap-usap kepala Humaira.

Humaira menceritakan kisahnya. Sesekali Humaira terdiam cuba mengawal tangis daripada turun meluru laju kembali. Ibu tua itu setia mendengar, sesekali mengusap-usap belakang Humaira. Biar Humaira melepaskan segala yang terbuku di hatinya. Lalu Humaira mengakhiri kisahnya dengan kata lafaz penuh sendu..

“..dan begitulah berakhirnya sebuah kisah duka”.. Matanya berkaca. Ada riak kecewa pada sebuah perjalanan kehidupan yang cukup mencabar sabar dalam jiwanya.

Ibu tua itu lantas memegang tangan Humaira sambil berkata penuh makna, “Humaira, sebuah pengalaman duka sememangnya harus diakhiri supaya dapat kita semua mula melangkah untuk memulakan coretan kisah-kisah bahagia yang baru”

“Akan adakah bahagia untuk Humaira?”, katanya naif, masih tak lepas meayan emosinya.

“Terpulanglah..”

“Terpulang pada sejauh mana Humaira yakinkan Kasih Sayang Allah. Bergantung pada sejauh mana Humaira bersangka baik pada Allah”

“Allah…”, terpacul sebuah nama indah dari bibir Humaira. Satu nama yang dimiliki satu zat yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Satu Zat Yang PengetahuanNya tiada langsung tandingan.

“Izinkan hati Humaira untuk melihat kembali dunia yang penuh dengan kebahagiaan dan keindahan. Izinkan kecintaan itu masuk menusup kembali dalam jiwa. Segalanya ada di tangan Humaira”, kata-kata ibu tua itu bagaikan berdesing di telinganya. Humaira tahu, pasti bukan mudah.

“Tak salah untuk mencuba, kan?”, ujar ibu tua itu lagi seakan-akan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Humaira.

Humaira mengangguk. Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu dihembuskan segala baki kesedihan yang entah dari mana kembali datang menjengahnya tadi. “Astaghfirullahal ‘azim..”

Saat itu, Humaira mula tahu. Bahagia itu perlu hadir dalam jiwanya sendiri, dengan berkat Cinta dan Kasih Sayang Allah, Tuhan semesta alam. Pengalaman pasti takkan terpadam, tetapi bakal menjadi guru terbaik untuk menjadi peringatan perjalanan ke akhirat.

Humaira memandang langit.. Namun terlalu jauh untuk akalnya mencari-cari akhirat, tempat pulangnya yang pasti..

Akalku menggeledah langit
Mengharap dapat mengintai akhirat
Biar matlamat terpasak dalam-dalam
Berpaksi dalam sebuah jiwa yang suram

Aku mencari sebuah kisah langit
Satu-satunya kisah yang dapat menguat langkah
Kisah Syurga buat meninggi matlamat
Kisah Neraka buat hati-hati sangkaan jiwa yang gundah

Aku menadah cinta langit
Menghayati limpahan Kasih Sayang
Yang tak pernah putus walau seketika
Hanya aku yang sering keras dalam merasa

Kisah langit itu akhirnya kutemui
Rupanya ada pada sesuatu yang setia dalam genggamanku
Yang sering mengetuk-ngetuk jiwa
Pada kalam rindu Tuhan Yang Satu
Quran al-karim

Humaira menutup bukunya. Bagai bayu indah datang menyapa. Akhirnya bertalu-talu bahagia datang saat diyakini kasih sayang dan cinta Dia yang Menjadikan. Kisah suram rupanya pemula sebuah kerendahan jiwa pada Tuhan. Sebuah kisah yang menyentap jiwa untuk kembali larut dengan rintihan taubat. Untuk mensyukuri keindahan wasilah bahagia yang datang mendamba sebuah hati yang tulus ikhlas kerana Dia.

Hati sudah tak pandai berbicara
Terkesima dengan rahsia manisnya bahagia
Terpegun dengan indahnya perancangan Tuhan
Malunya aku pada ragu persangkaan

Terima kasih Tuhan
Kerana tak pernah membiarkan
Kaki ini melangkah jauh
Dari kepastian nikmat Syurga yang utuh

Kuasa kata-kata


Ayat 1: I’m blind, please help
Ayat 2: It’s a beautiful day, but I can’t see it

Ayat 1 sekadar cuba memberi pernyataan, manakala ayat 2 bukan sekadar memberi pernyataan, tapi berjaya menyentuh hati dan perasaan, berjaya memberi perubahan pada tindakan manusia.

Kalau dilihat, kedua-duanya membawa maksud yang sama. Menggunakan kedua-dua ayat, semua akan maklum pemilik tanda itu buta, tidak dapat melihat. Tetapi, ayat kedua berjaya membawa pembaca bertindak walau tanpa ‘disuruh’ (tiada ayat ‘please help’).

Seni berkata-kata

Seni inilah yang jarang-jarang lagi ditemui dan sangat susah nak dibuat. Teringat kisah Rasulullah S.A.W yang ketika saat wafatnya, seluruh umat mengetahui betapa cintanya Rasulullah S.A.W kepada umatnya, tatkala baginda menyebut, ‘ummati.. ummati.. ummati…” tak perlu disuruh lagi untuk kita mencintai baginda, tanpa dipaksa hati yang beriman akan meruntun pilu melihat kecintaan baginda pada ummatnya. Tanpa disuruh, umat Islam benar-benar merasa kehilangan Rasulullah, mencintai baginda sepenuh hati.

Kalau anda sebagai ibu merasa pelik mengapa anak-anak susah nak diajar, cuba perhatikan ayat macamana yang digunakan. Kalau anda sebagai guru merasa pelik mengapa anak murid anda selalu melawan, cuba perhatikan semula pernahkah anda menyentuh hati mereka.Kalau anda sebagi suami/isteri pening kepala mencari jalan berkomunikasi dengan pasangan secara damai, cuba beri kelainan pada cara penyampaian anda. Kalau anda sebagai naqib/naqibah telah lama mencari apa puncanya mad’u selalu lari, mungkin dah tiba masanya kita memeriksa ayat-ayat yang kita gunakan.

Seni dalam berkata-kata bukan anugerah. Ya, anugerah apabila seseorang individu itu terdidik dari awalnya dalam lingkungan keluarga yang penuh hikmah dalam berkata-kata. Tetapi hakikatnya, kelebihan yang dilihat sebagai anugerah itu terdidik daripada pengalaman, pemerhatian, percubaan dan didikan bertahun-tahun. Kata-kata menyentuh hati bukanlah ayat-ayat ‘jiwang’, tetapi ‘a twist of words‘ yang mampu membuatkan hati berdetak, akal berfikir, anggota badan bertindak tanpa merasa terpaksa. Justeru, masih belum terlambat untuk mencuba berkata-kata dengan penuh hikmah.

Walaubagaimanaun, menambah ‘kuasa’ pada kata-kata hanyalah sebahagian usaha.. yang mengikat hati hanyalah Allah. Berdoalah pada Allah semoga Allah melimpahkan mawaddah wa rahmah.

Merasa bagus

Kadang-kadang, kita selalu berfikir, apa yang dah jadi dengan dunia ni. Sampai cukup zalim membuat kita macam ni?. Tapi sebenarnya masalah bukan datang dari mereka, masalah rupanya ada pada kita, yang perlu kita perbaiki. Kita yang membuat dunia bertindak sedemikian terhadap kita.  Contoh yang kita lihat dalam video di atas, tindakan  memilih ayat 2 membuatkan manusia sekeliling lebih peduli tentang apa yang kita ingin sampaikan.

Saya ingin berpindah kepada satu perkara besar yang boleh juga boleh merubah manusia untuk bertindak. Iaitu, kehendak untuk belajar dan berubah ke arah yang lebih baik. Hanya dengan ini kita mampu menerima hakikat bahawa, ada sesuatu yang perlu kita perbaiki dan ubah dalam diri kita.

Berada di suatu tempat yang terbaik tak memberi lesen untuk kita merasakan apa yang kita buat adalah yang terbaik. Kalau berada di sebuah sekolah atau institusi terbaik pun, kita masih insan yang penuh dengan kelemahan.  Sepanjang hayat adalah peluang untuk kita menjadi orang yang lebih baik dari masa ke masa. Saya pernah berada di sebuah sekolah yang sememangnya dikenali ramai. Sebuah sekolah yang dibina atas dasar menghasilkan alim ulama’ yang tersebar ke serata dunia. Kalau kita dikenali dengan sekolah kita pun, lihatlah kriteria sekolah tersebut yang menjadi sebab ia dikagumi. Cukup ‘alim ulama’ kah kita untuk berbangga berada di dalamnya dan menjadi sebahagian darinya?

Samalah dengan agama Islam. Ketika Allah menyatakan kita adalah sebaik-baik ummat, kalau sekadar kita berbangga dengan title Islam yang kita bawa, cukup layakkah kita untuk digelar sebaik-baik ummat, kalau satu kriteria pun kita tak penuhi? Malulah pada Allah bila bab menyentuh anjing dan khinzir dijaga teramat, tetapi bab solat dia yang paling liat? Malulah pada Allah bila orang kafir menghina agama Islam dia yang paling hebat mempertahan, tapi bab cintan cintun, rokok dan hiburan dia yang paling terkedepan?

Betul, kita semua hidup dengan misi untuk berbangga dengan cerita-cerita dunia ketika kita di Syurga nanti. Kita semua hidup dengan misi untuk menjadi manusia sehebat dan selengkap akhlak Rasulullah S.A.W. Tapi, hakikatnya, kita hanyalah seorang ‘manusia’ yang ada nafsu dan syaitan yang menggoda. Hebatnya kita pada satu bahagian, selalu membawa kurang pada bahagian yang lain.

Teringat dalam satu bacaan saya, kalau hendakkan isteri yang manja seperti Aisyah, jangan lupa untuk berlapang dada menerima satu pakej lain yang didatangkan sekali, iaitu cemburu. Hebat dalam kerjaya, dakwah, ibadah malam, pandai memasak, study, menghafaz quran semua ada pakej yang didatangkan sekali. Dan pakej-pakej kedua ini selalunya tak ternyata tatkala merisik dan melamar, selalunya hadir setelah duduk sebumbung selepas terikat aqad. Tatkala dah tak boleh nak lari ke mana, melainkan menerima dengan dengan hati terbuka.. dan senyuman terlebar..

Hanya peringatan untuk diri sendiri untuk dikongsikan bersama yang disayangi, sekiranya mampu memberi manfaat. Wallahualam

Akulah aset ummah!


stacks of gold bars

“Seronoknya kalau aku dapat jadi macam dia tu. Pandai, cantik, keluarga kaya, bakal suami pun hensem”, ujar seorang teman. Kata-kata yang membuat saya terfikir, “aku pula nak apa, dan nak jadi macam siapa?”

Mengintai rezeki orang lain

Melihat seseorang lain dengan rezeki-rezeki yang Allah untaikan untuk dikecapi memang mengasyikkan. Amat bagus kerana ia membuatkan si pemerhati dapat mengagumi kekuasaan Allah yang Maha Bijaksana mengatur dan menyusun keperluan seseorang manusia itu sebaiknya. Ia menjadi salah apabila memerhatikan rezeki orang lain membangkitkan iri hati dalam diri lantas mengejar-ngejar keinginan nafsu sehingga mengabaikan apa yang dikendong.

Biar saya terjemahkan dengan satu situasi. Seorang pelajar perakaunan yang sedang membina nama dan kepakaran dalam bidangnya terhenti langkah dek kerana mengejar populariti dalam bidang pertanian setelah melihat seseorang berjaya dalam bidang tersebut. Akhirnya, dia terpaksa belajar semula dari perkara asas tani sehinggalah kepada menjayakannya. Proses ini mengambil masa yang lama dan malang sekali apabila telah melalui beberapa tahun, dia tiba-tiba melihat bidang pengacaraan pula merupakan bidang yang makin hangat di pasaran. Lalu, tergendalahlah projek pertaniannya dek kerana merasakan bidang pengacaraan adalah bidang terbaik pada masa itu.

Sesuailah dengan kata-kata yang diperturun dari nenek moyang kita dulu: Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Budaya melihat orang lain lebih baik dari kita dan merasa rendah diri dengan apa yang ada pada diri sudah menjadi budaya Melayu rata-ratanya. Memang bagus kalau dilihat dari segi penekanan Islam dalam sikap merendah diri, qanaah dan tawadhu’. Tetapi menjadi beban apabila konsep merendah diri ini disalahgunakan bilamana dengan perasaan ini, umat Islam sentiasa layu, tidak bangkit-bangkit memegang pos-pos pakar dalam bidangnya seperti mana yang pernah kita miliki pada zaman kegemilangan Islam dahulu.

Tahukah anda, sebenarnya, kita boleh sahaja merasa izzah tatkala kita mengusahakan bidang-bidang kepakaran kita tanpa merasa bersalah dengan ‘berbangga diri kah aku?’, ‘terlalu mengejar dunia, kah aku?’ kalau telah betul niat sedari awalnya?

Kerana itulah setiap amal itu adalah dengan niatnya! Perkara pertama yang harus dilihat adalah, bidang yang kita ceburi dan ingin diusahakan adalah diniatkan semata-mata hanya kerana Allah, untuk Islam dan umatnya. Bukan untuk diri kita sendiri. Kalau lapangan tersebut sejelas-jelasnya memberikan keuntungan kepada diri kita sendiri pun, harus dilihat bahawa, keuntungan untuk diri kita adalah sumbangan untuk ummah. Dengan niat yang benar, kita hakikatnya bukan merasa izzah pada diri sendiri atau pada bidang yang kita ceburi, tetapi kita merasa izzah dengan matlamat yang ingin kita capai, iaitu izzah dengan agama Islam itu sendiri.

Biarlah orang lain berjaya dengan bidang mereka kerana kepelbagaian bidang adalah fardhu kifayah buat kemaslahatan ummah. Yakinlah bahawa, kita hakikatnya sangat diperlukan dalam bidang yang sedang kita ceburi, cuma perlu kreatif berfikir bagaimana ceburan bidang itu mampu diterjemahkan sebagai bidang yang mampu menyumbang untuk ummah. Hakikat menjawab persoalan ‘bagaimana’ ini, akhirnya berbalik pada persoalan, ‘bagaimana kita membentuk peribadi kita untuk beramal dalam setiap lapangan yang diceburi dengan hasil-hasil hebat untuk kemaslahatan umat?’.

Berhenti melihat orang lain kalau melihat orang lain itu tidak mampu membuatkan kita lebih dekat pada Allah. Lihat dan renung diri sendiri dan fikirkan dalam-dalam, adakah aku sudah cukup berusaha untuk menjadi aset ummah?

Menjaga pos-pos kawalan sebaiknya

Satu analogi yang sering tak lekang dari fikiran saya adalah, setiap umat Islam itu memegang pos-pos dengan panji-panjinya sendiri. Bayangkan dalam sebuah daerah yang dikepung dengan musuh Islam, dan setiap inci sempadan daerah itu diagih-agihkan pada setiap umat Islam. Tugas mereka adalah untuk memastikan bahawa, kawasan yang ditaklifkannya itu tidak dimasuki oleh musuh. Perlu perhatikan siapa yang masuk, siapa yang keluar supaya tiada musuh Islam yang ingin membinasakan tidak terlepas masuk. Bayangkanlah kalau lama di satu posisi, mudah saja untuk merasa bosan. Kita sudah sedia maklum kalau kita menjaga sebetul-betulnya kawasan kita, kita sememangnya menyumbang untuk Islam. Tetapi, bagaimana pula kita meraikan semangat kita supaya kekal membara?. Kita boleh memilih untuk berdiri tegak memegang panji sambil memerhati, tapi berapa lama kita mampu bertahan dengan posisi yang sama? Cara untuk kita kekal lama semestinya dengan mempelbagaikan cara pengawalan.

Kita boleh memilih untuk berdiri tegak sambil memegang panji dan memerhati ataupun membina kubu dengan pengawasan kamera litar 24 jam atau menjaga pos sambil mengadakan hebahan yang mampu menggerunkan musuh daripada memasuki daerah Islam tersebut dan pelbagai cara lagi yang mampu dipelbagaikan!

Kalau dilihat, pos masih terkawal rapi, cuma bagaimana cara kita mempelbagaikan cara supaya kita terus kekal menyumbang untuk ummah. Disamping maslahah (kebaikan) untuk ummah, kita juga memberi maslahah kepada diri kita sendiri supaya terus bersemangat untuk menjaga pos tersebut dalam erti kata lain, tidak merasa bosan dan lemah semangat.

Kesimpulannya, sebelum melihat apa lagi lapangan lain yang boleh diceburi, cerminkan dahulu pada apa yang sedang berada di tangan kita. Allah Yang Maha Mengetahui pastinya tidak sewenang-wenangnya mendatangkan ‘peluang’ yang telahpun kita garap kalau bukan kerana kita mampu membuat yang terbaik. Bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling kita, kerana sekecil-kecil perkara mampu digilap hebat oleh tangan-tangan yang nantinya akan menyentuh syurga!

Akulah aset ummah

Saya teringat kata-kata dalam buku karangan ‘Aidh al-Qarni: “Wanita yang bijaksana adalah wanita yang mampu mengubah sahara yang gersang menjadi taman yang subur dan indah”

Dengan kata-kata itu, saya juga selalu membayangkan tangan yang saya miliki ini bagai dongengan Raja Midas yang tatkala menyentuh apa sahaja mampu mengubahnya menjadi emas. Bukanlah emas yang saya inginkan, tetapi yang lebih dari itu: Di mana sahaja diletakkan kita, baka bertambah indah, bertambah bermakna, bertambah terang dan bercahayalah ia. Biar seteruk mana pun asalnya lapangan itu pada awalnya.Yang paling penting, semua keindahan yang dapat dilihat pada masa ini, sehalus-halusnya direntet dengan peringatan Syariat. Apalah guna kalau mampu menukar indah dunia kalau sedikit pun tak dinilai untuk mengecap Syurga? Betapa ruginya!

Maka, yakinlah! Kita perpotensi besar untuk melonjakkan diri kita dalam bidang yang kita ceburi. Potensi manusia itu adalah tahapan khalifah, taklifan yang ditolak oleh makhluk-makhluk lain, tapi diterima oleh kita, manusia. Terpulang pada kita bagaimana kita melihat diri kita sendiri, kerana siapa diri kita yang kita fikirkan adalah siapa diri kita di luar sana. Anda adalah apa yang anda fikirkan!

Pos mana yang anda jaga? Sejauh mana anda mampu menyumbang untuk ummah?

Pos seorang pelajar? Isteri? Anak? Pensyarah? Akauntan? Guru? Usahawan? Penulis? Sebutkan apa sahaja ruang pos kawalanmu, asalkan kita semua yakin bahawa kita layak digelar aset ummah! Supaya aset-aset ini akan pulang berbondong-bondong ke Syurga nan indah bersama-sama.

Passionate: Spice-up your life


Saya sering terngiang-ngiangkan kata-kata yang saya utarakan sendiri dari bibir saya kepada orang lain. Buat masa ini, ketika saya sangat mendambakannya, perkataan “passionate” menjadi ulang tayang telinga sejak beberapa minggu yang lalu.

“Tak kisah, asalkan passionate nak mencari rezeki yang halal dah ok”

Passionate. Saya membayangkan perkataan tersebut membawa maksud suatu sifat yang penuh dengan motivasi, sungguh-sungguh dan istiqamah dalam melakukan sesuatu pekerjaan dek kerana rasa teruja melakukan pekerjaan disebabkan rasa cintakan pekerjaan itu, rasa suka dengan taklifan tersebut.. kombinasi-kombinasi kata yang tak pandai saya nak terjemahkan dengan penulisan. Tapi bila diselak-selak deskripsi kata dalam ruang fikir, saya melihat terselit ‘ikhlas’ di dalamnya.

Saya mencari-cari hubungan ikhlas dengan passionate, akhirnya saya yakin, semua tindakan yang lahir dalam deskripsi tindakan passionate ini berakar umbi daripada niat yang ikhlas di awalnya. Dengan niat, kita tahu apa matlamat akhir pekerjaan tersebut. Dengan niat dan matlamat yang benar, kita akan bertindak melakukannya dengan hati yang ikhlas, penuh penyerahan pada Allah.

Bila apa yang kita suka tu, tiba-tiba menjadi satu ‘kewajiban’, saya yakin syaitan datang berbondong-bondong cuba menggagalkan kita daripada melakukan kewajiban itu sebaiknya. Contohnya, saya sangat suka membaca dan menulis, tapi bila saya meletakkan membaca dan menulis itu sebagai satu kewajipan (sebab tengah buat Master), tiba-tiba hilang rasa suka dan cinta tu? Sah. Ini kerja syaitan. Saya dah mula fikir pada benda lain. Bukan menulis je. Seperti biasa, marriage. Sama lah kesnya macam ni, kalau sebelum kahwin, betapa passionatenya nak menyambungkan sesebuah ikatan. Bila ikatan tu dah menjadi wajib, syaitan akan sedaya upaya menghilangkan pelbagai indah rasa sebelum kita dapat dulu.Kalau difikirkan logiknya pun, yang bercerai berai tu, sebelum bernikah, bagai nak rak bercinta sakan. Punyalah berbunga-bunga hati tiap-tiap hari. Tapi bila dah nikah, yang halal lagi dituntut tu lah mula nak dicucuk-cucuk dek syaitan. Sampai bercerai-berai jadinya. Nauzubillah.

Moral of the story, pertarungan kita adalah bukan pada “apa yang kita suka?” tapi pada “macamana nak maintain suka?”

Soalannya saya pantulkan semula pada diri saya sendiri. “Apa yang saya nk buat supaya saya maintain suka?” Dan saya nak jawab sendiri jugak:

Dengan niat yang benar, matlamat yang benar, hati yang ikhlas, akan lahir tindakan yang penuh semangat dan sikap yang kuat termotivasi. Yang paling penting, kita benar-benar gembira melakukan pekerjaan tersebut. Perjuangan harus diselesaikan hingga ke titisan darah terakhir. Bak kata seorang sahabat, setelkan sampai kita boleh ‘tutup kes’. Kalau menulis tuk Master, sampai kita boleh graduate dan boleh menyumbang sesuatu pada masayarakat lah. Kalau perkahwinan, sampai kita boleh ke Syurga bersama-sama lah.

Kepada yang cepat boring macam saya, kena kreatif meng’spice-up’kan suasana, supaya semangat dan cinta sentiasa diperbaharui. segar bugar. terpulanglah, pada suasananya ke.. pada cara kita melakukannya.. tak perlu yang besar-besar.. kadang-kadang, sesuatu yang kecil tu lah yang sangat-sangat memberi makna. Nampakkan matlamat tu selalu jelas-jelas depan mata. Doa pada Allah, solat, baca Quran. sebab Allah selalu jawab dengan jawapan yang tak tersangka-sangka. Thanks, Allah! 🙂

Calling and praying for the juicy passion for a juicy thesis write-up!