Media sosial: gelincir bahaya lidah zaman moden


Wanita amat sinonim dengan isu bahaya lidah. Kalau disebut perihal mengumpat, mengata belakang, dan menjaga tepi kain orang sering sekali dikaitkan dengan wanita. Walaubagaimanapun, hakikatnya wanita atau lelaki, semuanya terdedah kepada penyakit yang sama. Sebagai umat Islam, kita semua sedia maklum tentang imbuhan yang menanti andai lidah dibiarkan dipacu sewenang-wenang tanpa dijaga.

Rasulullah S.A.W menjawab ketika ditanya Muaz tentang samada kita akan diseksa kerana apa yang kita cakapkan? Rasulullah bersabda,

“Adakah manusia tidak disembamkan ke dalam neraka di atas lubang hidung mereka melainkan kerana hasil percakapan mereka?”

Nauzubillahiminzalik. Semoga kita semua tidak tergolong dalam orang-orang yang dijanjikan azab neraka.

Memikirkan tentang hakikat zaman serba canggih yang sedang kita berada di dalamnya kini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa media sosial telah memperkenalkan kepada kita satu cara baru untuk berkata-kata dan mendengar dalam medan cakupan yang lebih luas. Apa sahaja yang ingin dikatakan boleh ditaip dan diletakkan di atas talian untuk dibaca oleh seluruh umat manusia yang berada di dalamnya. Sepertimana lajunya kata-kata oleh lidah yang cepat ditangkap dengar oleh telinga, begitulah juga canggihnya fenomena media sosial masa kini. Hanya beberapa detik, informasi yang ingin dikongsi dapat disampaikan dan dapat dibaca. Para manusia yang dahulunya malu-malu dan takut-takut untuk melafazkan pendiriannya dan perasaannya dengan lidah bagaikan ketemu cahaya, mula menemui cara untuk didengari.

Ternyata, kini lidah tidak lagi menjadi satu-satunya alat utama komunikasi. Tidak perlu menanti berdepan dengan seseorang untuk menyampaikan informasi dengan lantunan suara, informasi boleh disampaikan sekelip mata hanya dengan detikan jari pada papan kekunci komputer, laptop, tablet, telefon bimbit dan pelbagai alat lagi. Sedarkah kita bahawa, jemari yang telah mula beriringan dengan lidah memainkan peranan berkata-kata manakala mata pula memain peranan seiring telinga? Sungguh, mata kita mula ‘mendengar’ manakala jari-jari kita pula mula ‘berkata-kata’!

Kita semua yakin bahawa dunia adalah ladang tanaman yang akan kita tuai hasilnya nanti di akhirat. Amalan kita dalam media sosial semestinya tidak terkecuali. Setiap satunya akan dinilai saat pulang ke kampung akhirat kelak. Begitulah seriusnya peranan media sosial dalam kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Namun keasyikan dalam menghadapi fenomena ini dikhuatiri mengaburi adab dan akhlak Islam yang sekian lama telah cuba ditanam dalam jiwa umat Islam. Kita kadang-kadang terlupa bahawa Rasulullah telah bersabda bahawa:

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia bercakap dengan perkara baik atau diam.

Ramai yang mampu mendiamkan lidah dari berkata-kata, tetapi hakikatnya untuk diam secara total mula menjadi masalah apabila wujudnya media sosial sebagai satu medan alternatif untuk berkata-kata. Kewujudan media sosial membuatkan ‘kebisingan’ lidah di alam nyata kini boleh beralih kepada ‘kebisingan’ jemari di atas talian. Namun, sekiranya media sosial digunakan sebaiknya sememangnya ia mampu menjadi satu medan ‘kebisingan’ yang berguna untuk menyebarkan perkara-perkara baik yang sering takut-takut untuk diucapkan dengan lidah. Sebagai contoh, ramai yang berkongsi status facebook atau twitter yang berfaedah tanpa membuka keaiban serta artikel bermanfaat di blog-blog yang penuh dengan pengajaran-pengajaran yang berguna. Walaubagaimanapun, sepertimana mudahnya berkongsi perkara baik di medan sosial, syaitan semestinya tak lupa menggoda menggunakan peluang ini untuk menjadikannya alat tambah untuk memperkatakan perkara-perkara buruk yang semestinya mengundang dosa.

Untuk menjadi umat Islam yang patuh pada suruhan Allah dan ajaran Rasulullah, semestinya kita semua telah mula memikirkan bagaimana caranya untuk kita kekal dengan adab-adab Islam dalam kecanggihan zaman moden, bukan?

Pertama sekali, kita harus menanam sikap ihsan dalam-dalam, iaitu melakukan sesuatu perbuatan dengan penuh berjaga-jaga seolah-olah kita dapat melihat Allah dengan hati atau menyedari dan merasai bahawa Allah sedang melihat kita. Rasa ini akan menerbitkan rasa malu pada Allah lantas dapat mengawal perkataan kita dengan menjauhi yang buruk dan sia-sia.

Kedua, kita harus tahu bahawa percakapan adalah antara amalan yang akan dihitung kira di akhirat. Hal ini kerana ramai manusia tidak mengira percakapannya sebagai sebahagian daripada amalannya yang akan dipertimbangkan saat penentuan ke Syurga atau ke Neraka kelak. Oleh itu mereka banyak bercakap tanpa berfikir dan menyelidik.

Sepertimana yang dikongsikan oleh Umar Abdul Aziz,

“Sesiapa mengira percakapannya sebahagian daripada amalannya, dia kurang bercakap melainkan tentang perkara yang perlu dan berguna sahaja.”

Ketiga, kita perlu berterusan dalam mengambil tahu tentang perkara mana yang dikira sebagai kebaikan perkara mana yang dikira sebagai keburukan dan yang sia-sia. Rasulullah tidak pergi tanpa meninggalkan panduan dan bekalan kepada kita dalam memilih kebaikan yang seharusnya kita ucapkan, secara tak langsung menjelaskan kepada kita bahawa perkara selain darinya adalah perkara yang harus dijauhi. Berikut adalah satah satu di antara hadith-hadith Rasulullah yang menyentuh tentang adab percakapan:

At-tarmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ummu Habibah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Setiap percakapan manusa ditulis ke atasnya (akan memudaratkannya) melainkan menyuruh dengan perkara yang baik, mencegah daripada perkara yang mungkar dan menyebut nama Allah ‘Azza wajalla.”

Betapa jelas dan benarnya prinsip Islam. Sejauh mana pun manusia telah berjaya menerokai kemajuan dunia tiada sebab yang mampu meleraikan tuntutan manusia dalam memenuhi kehendak hukum dalam adab dan ibadah kepada Allah. Setinggi mana pun manusia menongkat langit hakikatnya kita semua hanyalah tanah saat sakaratul maut datang bertandang, saat semboyan kiamat dibunyikan Israfil. Sejauh mana kita pergi, kita takkan lari daripada keperluan merujuk kepada hakikat asas tujuan penciptaan seorang muslim yang sentiasa beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sunggah dalam menggapai idaman untuk pulang bahagia ke Syurga.

Semoga kita semua terus beringat-ingat dalam beramal dengan akhlak dan adab Islam walau seteruja manapun kita digelumang dengan gajet-gajet dan sistem-sistem moden. Kalau telah kurang rasa malu pada manusia malulah pada Allah yang hakikatnya tak terkata lebih jauh canggih Syurga dan cakerawala Nya berbanding kecanggihan kecil dunia yang sedang terlalu asyik kita nikmati. Selamat menjadi manusia moden yang masih segar dengan adab Islam!

Oleh:
Siti Balqis Binti Syed Mohamad Noor

Editor:
Usamah Izer

Advertisements

Sebuah perkongsian rasa: Siapakah Rasulullah dalam hidup saya?


Siapakah Muhammad Rasulullah S.A.W pada saya? Semestinya, seperti para pembaca semua juga, pada saya Rasulullah merupakan seorang idola yang sentiasa diusahakan untuk dicontohi dan diagungi akhlaknya. Rasululullah merupakan penutup sekalian nabi. Rasulullah merupakan manusia pilihan Allah yang ditugaskan untuk menanggung risalah Allah, untuk disampaikan kepada semua supaya wujudnya ummah yang sanggup menanggung risalah agung milik Allah, Al-Quran al-Karim.

Apabila kita membaca bibliografi seseorang yang kita rasakan tiada kaitan dengan kita, pasti kita tidak begitu terkesan membacanya. Begitulah pendapat saya terhadap Rasulullah S.A.W satu ketika dahulu. Saya merasa terpaksa apabila disuruh mencintai Rasulullah. Sambutan-sambutan hari keputeraan Rasulullah, pada saya merupakan sebuah sambutan kebiasaan sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Ada persembahan nasyid, perarakan yang dialunkan selawat dan sebagainya. Pada hari sambutan maulidurrasul juga, saya merasa pelik apabila guru-guru berpesan supaya memperbanyakkan selawat. “Bukankah setiap hari kita harus memperbanyakkan selawat? Jadi apa istimewanya berselawat pada hari ini?”, fikir saya.

Sehinggalah pada suatu hari, keluarga saya membicarakan perihal susur galur keluarga. Keluarga bapa saya berasal daripada keluarga Syed-Syarifah dari golongan Jamalullail yang dikatakan berasal dari Iran, bersusur galurkan Saidina Hasan atau Saidina Hussin. Keluarga saya malah mempunyai satu carta keluarga yang disimpan elok-elok, yang mana tercatat juga catatan salasilah keturunan keluarga bermula dari Rasulullah hinggalah ke arwah atuk kami. Ketika diceritakan pada kami, saya mula berasa seronok apabila memikirkan bahawa, Rasulullah yang diagung-agungkan itu adalah moyang kami. Saat itulah, saya mula berperasaan terhadap Rasulullah. Walaubagaimanapun, rupa-rupanya bukan perasaan hubungan cicit-moyang sahaja yang ditakdirkan tercipta antara saya dan Rasulullah tika itu. Saya terkesan apabila nenek (sebelah ibu) tiba-tiba bersuara menyatakan:

“Darah yang mengalir dalam badan kamu semua bukan calang-calang darah. Tapi kalau tak langsung membanggakan Rasulullah, buat malu je dengan Rasulullah nanti”, ujarnya. Dua ayat ringkas yang cukup memberi kesan pada saya pada hari itu.

Bukan pada keagungan namanya yang harus dibanggakan, tetapi ada sesuatu yang lebih dari itu, iaitu mengimani apa yang disampaikan baginda S.A.W dengan ikrar hati, lafaz lidah dan semestinya dengan perbuatan anggota badan. Dalam erti kata lain, biarlah darah siapa pun yang mengalir dalam tubuh badan kita kerana Allah hanya memandang ketakwaan untuk dihitung di akhriat kelak. Perihal darah semestinya hanya akan dibincangkan oleh penghuni-penghuni dunia. Perihal jasad yang akan dibiarkan menjadi tanah nanti. Perihal jasad yang akan dibakar kalau dibiar nafsu al-hawa’ mengalahkan roh suci menguasai diri. Saya mula faham. Ada sesuatu yang perlu saya cari pada insan agung tersebut.

Walaubagaimanapun, saya masih gembira dengan kisah ‘keturunan’ yang diceritakan kepada kami. Ditambah dengan masyarakat yang sememangnya sering ambil kisah pada kami yang berketurunan Syed-Syarifah ini, makin menjadi-jadilah perasaan izzahnya saya terhadap Rasulullah S.A.W.

Apabila saya mencecah 20-an, saya ditakdirkan bertemu dengan insan-insan yang Allah takdirkan untuk menuntun saya di atas jalan dakwah. Fasa kehidupan yang cukup bermakna buat saya. Pelajaran terbesar yang saya terima ketika itu adalah, mengajak manusia kepada Allah (berdakwah) merupakan sunnah terbesar Rasulullah S.A.W. Lebih mendalam lagi apabila saya mula sedar, sunnah terbesar itu harus dilakukan untuk diri saya terlebih dahulu dengan menyeru roh saya untuk pulang menghambakan diri kepada Allah semata-mata. Hanya dengan kekuatan roh yang tunduk pada Allah inilah, profesyen seorang daie yang menjadi profesyen utama Rasulullah S.A.W dapat dilaksanakan.

Saat itu, pandangan dan perasaan saya terhadap Rasulullah berubah lagi. Berubah buat kali keduanya dan kesekian kalinya, insyaAllah. Rasulullah S.A.W ketika itu dipandang bukan sekadar seorang yang mempunyai pertalian darah, tetapi lebih dekat lagi dengan jiwa; seorang kekasih. Sejak hari itu, saya mula merasakan ada pertalian dengan baginda Muhammad S.A.W saat melafaz ucapan selawat. Jiwa bagai bergetar merindui seseorang yang dirasakan kini amat dekat dengan jiwa. Sudah terbit cinta yang mendalam, pada seorang kekasih yang amat diagungkan dan dibanggakan oleh seluruh ummat. Alhamdulillah, di atas jalan dakwah dan tarbiyah, saya sentiasa diajar untuk merasa dekat dengan Rasulullah dengan melakukan apa yang telah Rasulullah perjuangkan dari dahulu lagi. Perjuangan dakwah ilallah (menyeru kepada Allah) yang kemudiannya disambung oleh para sahabat dan para tabiien, yang akhirnya sampai kepada kita semua pada hari ini.

Mengenali setiap perbuatan dan kata Rasulullah membuatkan hidup lebih bermakna. Kalau dulu, bersukan mungkin sekadar berseronok, kini bersukan sudah dipandang sebagai ibadah yang juga dilakukan oleh Rasulullah. Kalau dulu menghormati jiran tetangga dipandang sebagai akhlak asasi, kini menghormati jiran sudah dipandang sebagai akhlak Islami yang amat disaran oleh Rasulullah. Indahnya kehidupan kerana setiap perbuatan kini mempunyai nilai yang bukan calang-calang – nilai akhirat. Terima kasih, Ya Rasulullah kerana mengajar kami erti sebuah kehidupan yang beragendakan akhirat.

Bermulalah kisah perjalanan hidup baru yang dirasakan ditemani Rasulullah selalu. Saat berbuat salah, malu besar pada Allah sudah semestinya, kini dtambah dengan malu juga pada Rasulullah yang diketahui amat mencintai umatnya. Umat yang belum pernah ditemuinya, tapi telah lama disebut-sebut semasa hayat baginda, sehinggalah saat ajal datang menjemput. Nama-nama kita semua terungkap dalam lafaz syahdunya yang menyeru, “Ummati..ummati..ummati..”.

Jiwa mana yang tak diruntun pilu kalau seorang yang bersusah-payah berjuang menyampaikan risalah, seorang yang telah Allah janjikan Syurga padanya, sehingga akhirnya tetap mengingati dan risaukan pengakhiran kita semua, umatnya?. Apakah layak sebuah balasan cinta kita pada seorang kekasih agung hilang ditelan masa dan zaman? Apakah sanggup untuk jiwa lemah menggetarkan cinta kita pada seorang kekasih yang berjanji untuk menanti di akhirat, dengan huluran cinta syafaatnya?.

Subhanallah.. saat mula bersalut dengan getar cinta Rasulullah S.A.W, jiwa bagai memberontak rindu apabila membaca semula kisah-kisahnya. Ketika itu, barulah saya faham, bagaimana mungkin seseorang yang telah lama meninggalkan kita, masih diagungkan dan dibanggakan hingga hari ini. Saya bersyukur, kerana turut mengetahui bahawa mengagungkan dan berbangga dengan Rasulullah menjadi lebih indah apabila didasari dengan rasa cinta yang mendalam. Bertambah indah lagi apabila mengetahui, kita masih mampu membalas cintanya walaupun tidak mungkin mampu setimpal dengan cinta yang dihulurnya, dengan mengamalkan sunnahnya dan berselawat kepadanya.

Biarpun cintanya dapat dirasai setiap hari dalam tiap ketika kehidupan, mengingati hari keputeraannya adalah hari teristimewa berbanding hari-hari istimewa lain saat bersamanya. Ya, merasakan Rasulullah begitu hampir malah hidup saat kita menghidupkan sunnahnya. Eid Milad Ya Rasulullah.. Semoga dikau berbangga dengan kami, dan sudi memandang umatmu yang sedaya upaya menghidupkan sunnah agungmu, dengan senyuman termanismu di Syurga nanti..insyaAllah.

Passionate: Spice-up your life


Saya sering terngiang-ngiangkan kata-kata yang saya utarakan sendiri dari bibir saya kepada orang lain. Buat masa ini, ketika saya sangat mendambakannya, perkataan “passionate” menjadi ulang tayang telinga sejak beberapa minggu yang lalu.

“Tak kisah, asalkan passionate nak mencari rezeki yang halal dah ok”

Passionate. Saya membayangkan perkataan tersebut membawa maksud suatu sifat yang penuh dengan motivasi, sungguh-sungguh dan istiqamah dalam melakukan sesuatu pekerjaan dek kerana rasa teruja melakukan pekerjaan disebabkan rasa cintakan pekerjaan itu, rasa suka dengan taklifan tersebut.. kombinasi-kombinasi kata yang tak pandai saya nak terjemahkan dengan penulisan. Tapi bila diselak-selak deskripsi kata dalam ruang fikir, saya melihat terselit ‘ikhlas’ di dalamnya.

Saya mencari-cari hubungan ikhlas dengan passionate, akhirnya saya yakin, semua tindakan yang lahir dalam deskripsi tindakan passionate ini berakar umbi daripada niat yang ikhlas di awalnya. Dengan niat, kita tahu apa matlamat akhir pekerjaan tersebut. Dengan niat dan matlamat yang benar, kita akan bertindak melakukannya dengan hati yang ikhlas, penuh penyerahan pada Allah.

Bila apa yang kita suka tu, tiba-tiba menjadi satu ‘kewajiban’, saya yakin syaitan datang berbondong-bondong cuba menggagalkan kita daripada melakukan kewajiban itu sebaiknya. Contohnya, saya sangat suka membaca dan menulis, tapi bila saya meletakkan membaca dan menulis itu sebagai satu kewajipan (sebab tengah buat Master), tiba-tiba hilang rasa suka dan cinta tu? Sah. Ini kerja syaitan. Saya dah mula fikir pada benda lain. Bukan menulis je. Seperti biasa, marriage. Sama lah kesnya macam ni, kalau sebelum kahwin, betapa passionatenya nak menyambungkan sesebuah ikatan. Bila ikatan tu dah menjadi wajib, syaitan akan sedaya upaya menghilangkan pelbagai indah rasa sebelum kita dapat dulu.Kalau difikirkan logiknya pun, yang bercerai berai tu, sebelum bernikah, bagai nak rak bercinta sakan. Punyalah berbunga-bunga hati tiap-tiap hari. Tapi bila dah nikah, yang halal lagi dituntut tu lah mula nak dicucuk-cucuk dek syaitan. Sampai bercerai-berai jadinya. Nauzubillah.

Moral of the story, pertarungan kita adalah bukan pada “apa yang kita suka?” tapi pada “macamana nak maintain suka?”

Soalannya saya pantulkan semula pada diri saya sendiri. “Apa yang saya nk buat supaya saya maintain suka?” Dan saya nak jawab sendiri jugak:

Dengan niat yang benar, matlamat yang benar, hati yang ikhlas, akan lahir tindakan yang penuh semangat dan sikap yang kuat termotivasi. Yang paling penting, kita benar-benar gembira melakukan pekerjaan tersebut. Perjuangan harus diselesaikan hingga ke titisan darah terakhir. Bak kata seorang sahabat, setelkan sampai kita boleh ‘tutup kes’. Kalau menulis tuk Master, sampai kita boleh graduate dan boleh menyumbang sesuatu pada masayarakat lah. Kalau perkahwinan, sampai kita boleh ke Syurga bersama-sama lah.

Kepada yang cepat boring macam saya, kena kreatif meng’spice-up’kan suasana, supaya semangat dan cinta sentiasa diperbaharui. segar bugar. terpulanglah, pada suasananya ke.. pada cara kita melakukannya.. tak perlu yang besar-besar.. kadang-kadang, sesuatu yang kecil tu lah yang sangat-sangat memberi makna. Nampakkan matlamat tu selalu jelas-jelas depan mata. Doa pada Allah, solat, baca Quran. sebab Allah selalu jawab dengan jawapan yang tak tersangka-sangka. Thanks, Allah! 🙂

Calling and praying for the juicy passion for a juicy thesis write-up!

Mimpi impian


Indah kisah
Aku, Mimpi dan Tuhan
Perihal sebuah kisah
Yang belum layak dibicara
Pada telinga-telinga manusia

Indah mimpi
Disambut dengan
Sujud tahajud cinta
pada Yang Maha Mengetahui

Ngeri mimpi
Didiam dikunci
Diungkap rasa
pada Yang Maha Melindungi

Percaturan di sebalik tabir
Jutaan hamba-hambaNya
Yang tak putus
Menghantar surat-surat doa
Untuk dipilih
Mana yang perlu Dia Kabulkan di dunia
Atau simpan dulu buat termeterai di Syurga

Subhanallah..
Ajaibnya
betapa aku yakin
dengan hikmah!

Kemudikan aku ke Jannah (Final)


Menukar lensa mata pemuda-pemudi ummah

Telah tiba masanya untuk para pemuda dan pemudi menukar lensa mata, dengan kaca mata Islam, menggunakan neraca Allah. Setiap apa yang dilakukan dilihat dengan percaturan yang cukup mudah!: melakukan apa yang disuruh Allah, meninggalkan apa yang Allah larang. Abadikan matlamat, misi dan wawasan kehidupan di dunia ini sebagai khalifah Allah yang mulia dalam-dalam, jauh dalam jiwa.

Dengan lensa mata baru ini, perkara-perkara besar dalam pembangunan diri insan akan dilihat sebagai prioriti berbanding perasaan larut percintaan yang kian berpasak dalam budaya kita. Telah tiba masanya untuk kita mengambil berat isu-isu mempertahankan jatidiri wanita Islam dan mengajak wanita Islam kembali kepada cara hidup Islam yang menitik beratkan pelbagai adab kesopanan dan kesusilaan, seperti iffah, berani, tahan lasak, berlemah lembut dan lain-lain sifat dan akhlak saudari muslimah. Telah tiba masanya untuk kita mencuit kembali kehebatan semangat Sulatan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayyubi, para khalifah dan para pejuang Islam terdahulu yang terpendam lama dalam jiwa para pemuda dengan mengambil berat isu-isu kepimpinan Islam, pembentukan jatidiri para pemuda yang cantik ibadahnya, lurus akhlaknya indah peribadinya.

Pembentukan individu ini seharusnya menjadi agenda utama setiap individu dalam meniti tangga-tangga fasa kehidupan.Individu yang menyedari hakikat ini takkan terleka dalam memastikan pembentukan dirinya (jasmani dan rohani) seimbang dan kekal dalam landasan Islam.

Berkeluarga,satu perjanjian yang berat!

Hal ini penting kerana, bermula daripada individu-individu inilah, keluarga muslim terbentuk. Keluarga muslim bermula daripada pertemuan lelaki dan wanita dalam satu ikatan suci, perjanjian yang disebut dengan istilah penjanjian yang berat (mithaqan ghaliza).

Dengan lensa mata bertaraf kelas pertama, setiap individu akan menilai setiap keadaan dengan neraca Allah. Hak Allah yang nak dipertahankan, bukan hak diri sendiri. Segala yang terjadi juga diserahkan pada Allah setelah berusaha dan bertawakal.Dengan lensa mata Islam, pastinya pertemuan dua jantina ini tidak lagi hanya dilihat dari segi tarikan keindahan cinta semata-mata, tetapi lebih melihat kepada realiti bahawa dua jantina yang berlainan ciri dan latarbelakang perlu dihadapai dengan persediaan mental yang kuat.

Walaubagaimanapun, perlu diyakini bahawa pelbagai perbezaan yang akan dihadapi datang dengan seribu satu hikmah untuk melengkapi satu sama lain. Pelbagai ruang perbincangan perbezaan jantina mula wujud dalam pasaran. Antara buku cadangan yang menghuraikan perbezaan jantina untuk difahami semua adalah:

Bacaan saranan:

Men Are from Mars, Women Are from Venus, by John Gray

Why men dont listen and Women cant read maps, by Allan and Barbara Pease

Memilih calon suami/isteri

Fasa pemilihan calon merupakan fasa yang penuh dengan hikmah Allah. Tetapi yakinlah dengan janji Allah bahawa:

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)

Semestinya individu yang bermisi dan berwawasankan akhirat akan bersungguh-sungguh membuat pilihan yang betul terhadap calon suami atau isteri dengan harapan, rumahtangga yang terbina dapat meneruskan risalah Islam. Ruang usaha ini terbentang luas caranya, namun perlu diingatkan untuk menyerahkan pada Allah dan berlapang dada dengan ketentuan Allah.Istikharah, musyawarah, merisik, bertunang dan menjaga adab-adab muamalat dan ikhtilat merupakan satu permulaan yang baik untuk membina keluarga yang diberkati Allah.

Fasa Pertunangan

Setelah memilih, fasa pertunangan juga perlu dilalui dengan memahami apa hakikat keperluannya: iaitu untuk membuka ruang taaruf dua buah keluaraga yang bakal disatukan dengan perkahwinan dua individu muslim. Saat inilah perkenalan bermula, dengan mengetahui batas-batas adab muamalat dan ikhtilat sesame bukan mahram yang perlu dijaga.Perlu diingat, pertunangan tidak menghalalkan pasangan sepertimana nikah menghalalkan perhubungan seorang lelaki dan wanita.

Perkahwinan

Dengan misi dan wawasan berlandaskan Islam, persiapan perkahwinan juga dilihat teliti supaya dilandasi syarak. Adat-adat bukan Islam, serta perkara-perkara yang ditegah oleh Islam kekal haram untuk dilakukan seperti mendedahkan aurat, mengubah ciptaan Allah pada tubuh, berbelanja berlebih-lebihan pada perkara yang tidak sepatutnya dan lain-lain lagi. Hal ini penting bagi memastikan kemaslahatan jangka panjang perkahwinan itu terjaga.Perbincangan dengan ahli keluarga secara berhikmah perlu dilakukan dalam memerangi tegahan Islam yang telah berakar umbi dalam budaya masyarakat.

Setelah aqad nikah dijalankan, bermulalah kehidupan sepasang suami isteri. Ketika ini, kalau perlu berulangkali menyegarkan carta misi dan wawasan keluarga yang akan dibentuk, lakukanlah! Kalau sedari awal kita telah memilih pasangan yang faham dengan agenda Islam, Alhamdulillah.Kalau ketika membaca artikel ini, baru tahu keluarga memerlukan agenda, masih belum terlambat lagi.Pulanglah melihat kembali tentang tujuan manusia diciptakan, dan hadirlah dalam diskusi-diskusi Islam yang dapat menjana idea untuk membantu kita mencartakan misi dan wawasan keluarga kita.

Pelbagai buku telah diterbitkan di pasaran sebagai panduan untuk melayari rumahtangga berdasarkan syariat. Antara buku-buku yang suka untuk saya kongsikan adalah:

Bacaan saranan:


Mutiara perkahwinan menurut ajaran Islam oleh Muhammad Ali Qutb

Di Jalan Dakwah Aku Menikah oleh Cahyadi Takariawan


Agar Cinta Bersemi Indah oleh M. Fauzil Adhim

Walaubagaimanapun, pilihlah buku yang tepat mengikut kesesuaian keperluan fasa yang sedang dilalui, supaya kita dapat merancang dengan apa yang ada di tangan, bukan yang kita angan-angankan.

Persediaan besar-besaran ini amat penting, kerana pasangan ini akan membentuk anak-anak kecil yang bersih ibarat kain putih. Kalau dilakarkan dengan agenda Islam, beragenda Islamlah anak-anak itu sedari kecilnya.Kalau dinukilkan agenda-agenda lain, lainlah agenda-agenda kehidupan anak-anak tersebut.

Bacaan saranan:


Pendidikan anak-anak Jilid 1 dan 2 oleh Abdullah Nasih Ulwan

Pembentukan keluarga, relevenkah pada remaja?

Bila mendengar pasangan yang sudah berkahwin sibuk berbincang dan berdiskusi tentang institusi kekeluargaan, remaja sering menarik diri. Saya bersetuju, para remaja seharusnya melihat dan meneroka ruang-ruang untuk menggilap potensi diri dalam Islam, namun dalam arus rancak media massa yang membuatkan remaja dengan mudah terdedah pada persekitaran ‘percintaan nafsu’, saya yakin para belia juga perlu diberi ruang untuk mengutip ilmu sedikit sebanyak mengenai perencanaan sesebuah keluarga melayu muslim.Sedikit sebanyak, para remaja dapat melihat model kekeluargaan yang harmoni yang sebenarnya mampu diwujudkan hanya dengan berpaksikan Islam, oleh individu-individu yang komited dengan Islamnya (individu-individu beragenda).

Untungnya kalau kita semua sedar tentang betapa pentingnya perencanaan sebuah keluarga melayu muslim dalam membangunkan umat beragenda. Agenda-agenda ini bukanlah agenda yang menguntungkan sesiapa, melainkan diri kita sendiri serta ummat Islam di mana kita, keluarga dan anak-anak kita terletak di dalamnya.

Dengan kesedaran ini, saya amat teruja dengan penganjuran Konvension Keluarga Melayu Muslim anjuran ISMA yang akan menghalakan perbincangan ke arah perencanaan keluarga melayu muslim pada 22 Oktober 2011. Justeru, saya menyeru sahabat-sahabat yang masih belum berumah tangga, bakal berumah tangga, kakak-kakak dan abang-abang yang baru berumah tangga ataupun lama, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang dah beranak pinak malah bercucu-cicit untuk berama-ramai ke konvensyen tersebut. Semoga dengannya, kita tidak lagi melihat penyatuan dua jantina dalam satu perjanjian berat pernikahan sebagai sekadar penyatuan dua jasad, tetapi hakikatnya penyatuan dua roh yang sejahtera yang ingin sama-sama melangkah pulang hebat ke Syurga. Semoga dengannya juga, kita bukan sekadar melahirkan jasad-jasad yang perlu dipenuhi tuntutan lahiriahnya, tetapi roh-roh yang perlu dibentuk ketakwaannya untuk sama-sama berombongan ke Syurga. Jom!

Bacaan saranan:


Al-Quran al-Karim oleh Allah S.W.T

Air dah terhidang di depan mata..
Tinggal kita nak meminumnya!
Jemput minum..

Kemudikan aku ke Jannah II


Apakah perkara besar itu?

Perkara besar yang dimaksudkan di sini adalah, misi dan wawasan hidup.Memandang individu, pembentukan misi dan wawasan hidup boleh bermula sedari remaja. Kerana dalam fasa inilah, setiap individu akan mencapai fasa ‘mumayyiz’, mampu membezakan yang baik dengan yang buruk. Dalam fasa ini juga para remaja sudah mula mencari identiti dan prinsip hidup sendiri.Dalam fasa inilah bermulanya peleraian pergantungan remaja terhadap ibu bapa.

BUKU CADANGAN: Psiko seksual Remaja Wanita: dari perspektif Islam dan Biologi oleh Dr Yusuf Abbas, Dr Nor ‘Izam Alias

Beruntunglah kalau misi dan wawasan telah dibentuk awal lagi oleh para ibu bapa muslim yang turut mempunyai agenda Islam dalam keluarganya, namun tidak pernah terlambat bagi setiap individu yang baru menyedarinya tatkala mencapai aqil baligh. Para remaja harus diasak untuk mempunyai misi dan wawasan hidup.Semestinya misi dan wawasan hidup yang benar adalah misi dan wawasan yang berlandaskan Islam.Misi dan wawasan utama yang telah Allah catatkan dalam kalamNya, surah Adzariyat: 56

“Tiadalah Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah Aku”
(Adz-Zaariyat: 56)

Nah! Kitalah manusia yang sering bermacam-macam di dunia ini, rupa-rupanya dijadikan dengan sepenuh-penuh kemuliaan, untuk menjadi hamba Allah yang taat padaNya. Allah juga telah menyampaikan contoh sekalian manusia Rasulullah S.A.W yang menjadi penyampai risalah Allah.Sedarkah kita bahawa, kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini adalah pewaris risalah Rasulullah yang memegang tanggungjawab yang besar untuk mengajak umat mempertahankan jatidiri dan membangunkan jatidiri?

Secara peribadi, saya sememangnya agak kagum dengan media barat yang bijak menjatuhkan golongan muda yang berpotensi besar dalam menegakkan dan menyebar risalah Allah.Kita semua tahu bahawa hasil hari ini adalah berdasarkan perancaan panjang musuh-musuh Islam dalam menjatuhkan umat Islam yang pernah menaungi sepertiga dunia pada masa dahulu.

Bagaimana caranya?Mudah saja.Rijal-rijal ini dilalaikan dengan perihal ‘percintaan’. Berjiwang-jiwangan kerana terjatuh cinta dan seronok diterima cinta.Bersedih-sedihan kerana ditolak cinta dan putus cinta. Sibukkan juga akan kisah cinta yang direka-reka di televisyen, di novel-novel ataupun kisah cinta orang lain. Sehinggalah akhirnya golongan muda yang menjadi aset Islam ini mula berubah fasa kepada fasa ‘berumur lanjut’, yang ketika itu sudah mula sibuk dengan kerjaya dan keluarga, sukar untuk mencari ruang semangat dalam menggilap potensi diri. Betapa ruginya, kalau usia muda dibazirkan hanya dengan perkara remeh temeh.

Sekiranya golongan muda benar-benar memegang matlamat penciptaan manusia yang menjadi erti untuk kita hidup di muka bumi ini, sudah semestinya golongan muda mula melangkah dengan cita-cita yang besar.

Orang yang mempunyai cita-cita yang besar tidak akan sempat untuk bermain-main dengan isu remeh-temeh. Orang yang berwawasan jelas dengan halatuju perjuangan hidupnya sebagai seorang pewaris risalah yang bersedia membangun dan mempertahankan jatidiri bangsanya. Dos cinta dan berjiwang-jiwangan yang dicipta budayanya oleh barat kadangkala datang bagai ombak, menggoyah matlamat kehidupan (mengabdikan diri kepada Allah).Sangat merunsingkan apabila ianya memberi kesan kepada para pemuda yang memiliki status agama Islam yang seharusnya menampakkan contoh terbaik ummat. Namun lebih gusar lagi apabila dos-dos ini turut sama mengesani para pemuda-pemudi yang mantap meletakkan diri mereka di atas jalan dakwah sebagai kader-kader dakwah!

Apa yang perlu kita lakukan? di dalam Kemudikan aku ke Jannah III

Kemudikan aku ke Jannah (I)


Sebagai orang yang pernah/sedang melepasi fasa remaja/awal dewasa, saya cukup kenal dengan isu-isu hangat yang sering menjadi buah percakapan dalam fasa ini. Kalau disebut perkataan ‘berkeluarga’, ‘rumahtangga’,‘bait muslim’, ‘walimah’ dan segala yang berkaitan dengannya, cukup seronok untuk diambil kisah dan dibicarakan. Mungkin kerana dalam fasa inilah rakan-rakan sebaya mula serius untuk menginjak ke fasa seterusnya iaitu fasa berkeluarga. Jemputan walimah di sana-sini, ibu bapa dansanak saudara sudah mula bertanyakan status diri, “dah ada calon ke?”, “awak bila lagi?” dan sebagainya!

Adil kalau saya katakan, tiada yang salah dalam memikirkan hal ini.Isu mendirikan rumah tangga sememangnya merupakan satu perkara yang layak untuk difikirkan, malah bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main dan dipandang remeh. Isu hangat yang seronok diperkatakan inilah hakikatnya menjadi pintu untuk lahirnya sebuah ummah!

Namun ianya menjadi salah apabila perkara besar ini dilihat dari sudut pandangan yang sempit, menjadikan perkara ini sekadar perkara yang seronok untuk dibualkan, bukan satu perkara yang berat dengan tanggungjawab untuk dicartakan kelangsungannya.

Pengaruh ‘cinta’ dalam budaya pemikiran

Sebagai contoh, bila menyebut tentang perkahwinan, mulalah kita terbayangkan perihal ‘percintaan’ yang sememangnya telah berjaya digembar-gemburkan kemanisannya oleh media barat yang cukup kuat mempengaruhi media timur masa kini.Sememangnya benar,dalam perkahwinan itu perlu ada cinta. Cinta itu fitrah. Namun, apa takrif cinta sebenar? Yang disebut-sebut tentang hubungan cinta yang indah sebelum perkahwinan itu adalah cinta dari nafsu al-hawa’. Cinta yang sebenar-benarnya adalah cinta kepada Yang Maha Mencipta, Allah S.W.T

BUKU CADANGAN: Panduan Bercinta dan Memendam Rindu oleh Ibnu Qayyim

Selalu sahaja kita mendengar ucapan-ucapan sebegini: “ouh, tahniah! Dah declare couple. Moga sampai ke jinjang pelamin!”. Betapa singkatnya matlamat kalau matlamatnya hanya untuk sampai ke jinjang pelamin!Apalah sangat indahnya jinjang pelamin yang hanya direka-reka tema warnanya, hiasannya dengan bunga telur dan kerusi yang ditampal-tampal dengan aneka warna kalau nak dibandingkan dengan syurga yang tak terbayangkan dek akal manusia?

Islam datang untuk memboloskan umat daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah.Justeru seharusnya umat beragenda harus mendoakan tiap sahabatnya untuk “sampai ke Syurga” untuk bersama-sama menjadi jiran di Syurga.Apalah yang nak dimegahkan kalau bercinta hanya untuk sampai ke jinjang pelamin, tapi sedari awal telah membuka jalan-jalan untuk ke neraka?Bukankah syurga itu setinggi-tinggi keindahan?

Sedarkah kita bahawa, isu perhubungan sebelum nikah atau hubungan cinta atau isu ‘couple’ ini hanyalah salah satu permasalahan umat di antara pemasalahan-permasalahan lain yang mengganggu pembentukan keluarga muslim yang hebat?Tidak dinafikan bahawa, isu ‘couple’ ini adalah isu yang semestinya harus diperangi hebat, sepertimana hebatnya binaan dakyah barat yang berjaya membudayakan ‘coupling’ di dalam kehidupan umat Islam. Justeru, sememangnya kita perlu berusaha untuk menyerlahkan semula garis pemisah Islamiyah dan Jahiliyah yang kian kabur dalam isu perhubungan lelaki dan perempuan. Kita tidak akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang salah-betul ‘couple’ dalam terbitan ini. Namun, kepada yang masih tercari-cari, terdapat beberapa buku yang telah diterbitkan di pasaran bagi mengupas dengan lebih lanjut mengenai hal ini.

BUKU CADANGAN: Tentang Cinta oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Walaupun demikian, terdapat satu perkara BESAR yang perlu kita sasar pandangkan sebagai solusi permasalahan ini. InsyaAllah, ianya bukan sekadar menjadi solusi permasalahan perhubungan sebelum nikah, malah pada rata-rata permasalahan lain yang tak kita terbayangkan. Perkara BESAR yang layak digelar GPS untuk tepat mengemudi bahtera kehidupan ke Jannah.

Apakah perkara besar itu? dalam Kemudikan aku ke Jannah (II)