Masa yang berlalu


Cepat sungguh masa berlalu.. Zaman pun berubah dengan pesat.

Ketika saya berjinak-jinak dengan blog dulu, saya masih berada di zaman sekolah. Kerisauan saya hanyalah tentang segenggam ijazah. Kini saya telah bergelar isteri dan seorang ibu. Ruang perjuangan makin besar, menuntut pelbagai kebijaksanaan dan kesabaran. Kini juga saya bergelar usahawan wanita. Apa yang diajar daripada segulung ijazah hanyalah secebis ilmu untuk diaplikasikan bersama-sama pelbagai ilmu yang diperlukan dalam bidang ini. Blog mujahadah sangat bermakna untuk saya kerana ianya merupakan salah satu ‘rumah’ untuk jiwa saya, sebagai seorang individu. Biarpun fasa dan zaman berubah, pembangunan jati diri sebagai seorang individu tak pernah terhenti kerana kita perlu bertanggungjawab terhadap pengakhiran hayat kita nanti. Syurga atau nerakakah yang kita tempah?

Menjalankan tanggungjawab dengan pelbagai topi juga bukan mudah. Ianya memerlukan susuk tubuh individu yang sangat kuat dan berkualiti dari segi jasmani dan rohaninya. Begitulah peri pentingnya tarbiyah individu muslim, sepanjang zaman.

Kita mungkin mampu mengemukakan pelbagai alasan. Jika melakukan sesuatu yang tidak baik, ebagai seorang anak dulu, mungkin kita menyalahkan ibu bapa kita kita: “Mak ayah aku la yang tak ajar aku elok-elok”

Bila dah berkahwin boleh sahaja kita katakan; “suami aku la tak bawa perkahwinan dengan tarbiyah Islam yang baik”

Tapi bila kita mati, akhirnya yang dipersoalkan adalah segala perbuatan yang kita lakukan.. apa yang kita niatkan.. apa yang kita yakini dan apa sahaja yang telah dipertanggungjawabkan pada kita.

kerana apa? kerana kita adalah khalifah Allah. Yang dilantik dengan persetujuan kita suatu ketika dahulu. Berdirilah di atas kaki sendiri atas apa yang kita telah sediakan untuk diri kita di akhirat sana. Berhenti menyalahkan, mulalah bertanggungjawab!

Selagi hayat dikandung badan..inilah mujahadah kita…

Advertisements

Tips mujahadah: tahan. Ibadah. Doa


Kepentingan mujahadah melawan hawa nafsu

image

Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”

Tiga kategori manusia yang bermujahadah

Menurut Prof. Dr. Hamka bahawa perjuangan melawan hawa nafsu, manusia terbahagi kepada tiga bahagian.

1) Kalah sama sekali dengan ajakan hawa nafsu, sehingga dirinya ditahan dan diperbudak oleh hawa nafsunya sendiri, bahkan hawa nafsunya itu dijadikan tuhannya.  Sebagaimana mafhum firman Allah, “Apakah yang engkau lihat (Muhammad) orang yang mengikuti hawa nafsunya menjadi tuhannya?”.

2) Peperangan antara keduanya berganti-ganti, terkadang kalah dan menang, jatuh dan tegak.  Orang yang begini yang patut disebut MUJAHID.  Kalau dia mati dalam keadaan menang, matinya mati syahid.  Kerana memerangi hawa nafsu itu lebih berat daripada melawan musuh yang kelihatan.

3) Orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya, sehingga ia dapat menguasai hawa nafsunya, bukannya dikuasai oleh hawa nafsu.  Malah tidak diperbudakkan oleh hawa nafsunya.  Sabda Rasulullah s.a.w., “Tidak seorangpun di antara kita yang tidak bersyaitan, saya sendiri pun juga bersyaitan.  Tetapi sesungguhnya Allah telah menolong saya menghadapi syaitan saya, sehingga syaitan itu dapat saya kalahkan”. (Hadith riwayat Ibnu Jauzi dan Ibnu Abdurrahman Salmi).

Umar bin Khatab juga mendapat darjat yang ke-3 ini kerana Rasulullah s.a.w pernah berkata kepada Umar, “Demi tuhan yang menguasai diriku di dalam tangan Nya, tidaklah engkau bertemu dengan syaitan pada satu jalan, melainkan syaitan itu menyingkir kepada jalan lain yang tidak engkau lalui”. (Hadith riwayat Muslin dan Saad bin Abi Waqash).

Prinsip asas dalam melawan hawa nafsu

Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:

i) Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.
Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.
Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.
Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan.
Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:
“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”

Jom mujahadah: TID! Tahan. Ibadah. Doa

Mujahadah melawan nafsu


Sebagai seorang yang beragama Islam, kita perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsu dan mengikut kehendak Islam. Dengan keazaman ini seharusnya kita tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam. Kita mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

Pengertian mujahadah
Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul.

Berkata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Minhajul Abidin, “Hawa nafsu ialah musuh yang sangat keji dan hina malah mencelakakan serta sukar untuk dihindari.” Oleh sebab itu, kita haruslah berwaspada.

Hal ini kerana :
1. Hawa nafsu merupakan musuh dari dalam dan bukan musuh dari luar seperti syaitan

2. Hawa nafsu ialah musuh yang disukai. Maka, manusia yang mencintainya akan menutup mata terhadap segala keaibannya.

Imam Al-Ghazali berkata lagi, “Hawa nafsu sangat sukar diajak berkrompomi dalam membulatkan hati untuk beribadat kepada Tuhan kerana hawa nafsu akan sentiasa menjauhkan kita dari Allah S.W.T”

Kita adalah raja kepada nafsu, bukan hamba!
“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat.  Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah:“Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)

Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam. Dia memikirkan kehidupannya sebagai raja kepada rakyat tetapi hidup sebagai hamba kepada kemewahan dan kemasyhurannya. Dikuasai sepenuhnya oleh dunia.

Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.”

Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.

Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?

Mujahadah Musab bin Umair R.A
Cuba fikirkan ke mana nafsu cuba membawa kita dalam kehidupan kita? Terserah siapapun kita, pasti nafsu ada agenda tersendiri untuk membawa kita jauh dari Islam. Sekiranya kita di zaman muda-mudi, pastinya percintaan, hiburan dan keseronokan menjadi tarikan. Sedangkan sekiranya tenaga dan masa zaman muda itu dapat digunakan sebaiknya untuk Islam, pasti telah lahir pemuda hebat seperti Musab bin Umair yang berjaya dalam mujahadah meninggalkan kemewahan dan kemasyhuran keluarga bangsawan hanya kerana Islam.
Rasullulah saw bersabda berkenaan Musa’ab :”Tiada lelaki yang lebih cantik daripada Mus’ab bin Umair di Makkah ini, tiada sesiapa yang memakai pakaian lebih baik daripada Mus’ab bin Umair. Tiada anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada dia.” 

Pemuda yang digelar ‘Putera Makkah’ kerana ketampanannya ini, apabila dia memeluk islam dia tidak teragak-agak meninggalkan semua kesayangannya. Dia adalah anak yang dicintai oleh ibunya, segala kehendaknya dituruti. Tetapi apabila Mus’ab memeluk islam segala kesenangan yang telah diberikan oleh ibunya ditarik balik. Baik pakaiannya yang cantik-cantik,wang saku, dan dia juga turut di pulaukan. Namun Musab tetap dengan Islam sehinggakan apabila berhadapan dengan ibunya yang mogok lapar sehingga nyawa-nyawa ikan, Musab berkata : “Wahai ibuku, andai Allah memberikan kamu 100 nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu saya tetap tidak akan keluar Islam sama sekali.”

Letakkan diri kita ditempat Musab bin Umair R.A. Menangkah kita dalam mujahadah nafsu kemewahan dan kesenangan?
Muhasabah: Siapa yang menjadi raja? Diri kita sendiri atau nafsu?

Perancangan harus realistik!


Pernahkah para pembaca merasa teruja dengan kerjaya baru tetapi akhirnya mula berasa tidak bersemangat setelah beberapa lama menghadapi rutin harian yang dihidang dalam prospek kerjaya tersebut? Mulalah kita berfikir di mana silapnya? Mungkinkah kita sememangnya seseorang yang berpegang teguh pada prinsip “hangat-hangat tahi ayam” yang turun temurun diperturunkan oleh nenek moyang kita dulu?

Mungkin jijik kalau kita menghurai peribahasa yang telah lama digunakan oleh masyarakat di Malaysia, tetapi peribahasa yang kedengaran jijik inilah yang sering disebut-sebut malah mungkin cukup rapat dengan kehidupan semua dari kita yang membacanya.

Kalau belum sesebuah lapangan itu menjadi komitmen, suka benar mengangan-angankan kesungguuhan untuk menggapai sebuah kehidupan indah dalam lapangan tersebut. Tetapi, apabila lapangan tersebut telah dijadikan satu tanggungjawab yang memerlukan komitmen penuh, mulalah bermudah-mudahan… baru tahu bukan mudah mencapai angan. Lapangan yang saya maksudkan di sini bukan sahaja lapangan kerjaya tetapi juga lapangan kehidupan.

Kalau dalam lapangan kerjaya contohnya, seseorang yang menginginkan pendapatan tambahan mula berjinak-jinak dengan bisnes emas. Tanpa perancangan awal, dia pastinya terkejut bahawa bukan mudah berbisnes. Seorang usahawan perlu berkarisma, mudah bergaul dengan orang lain supaya disenangi klien. Soft skill ini mungkin boleh diabaikan sedikit sebanyak dalam bidang profesional yang mungkin hanya memerlukan kemahiran otaknya yang ligat berfikir dan memberi idea, tetapi lain pula halnya dengan bisnes. Apabila telah mula tahu onak dan duri yang harus ditempuhi, mulalah terluput sedikit sebanyak bayangan angan-angan manis hidup bersama lapangan bisnes yang menjanjikan indah hidup seorang jutawan.

Di mana harus dibetulkan?

Pada perancangan awalnya. Perancangan awal seharusnya bukan sekadar merancang perjalanan bisnes secara teorinya sahaja seperti; di mana mahu diambil emasnya, pada siapa harus dijual dan berapa sebulan yang nak dijual, tetapi seharusnya juga dirancang dan dicari faktor-faktor yang mampu membuatkan semangat terus membara sampai bila-bila. Mungkin praktikalnya, perlu dicari teman yang sering menjadi penukul semangat serta membuat penyelidikan sebaik mungkin tentang lapangan yang diceburi dengan bertanya pada teman-teman yang telah berjaya dengannya, juga pada teman-teman yang separuh jalan mengusahakan. Semestinya hal ini harus juga difikirkan awal-awal lagi sebelum mantap dengan keputusan untuk menceburi lapangan.

Kalau lapangan kehidupan pula, contohnya; seorang pelajar yang mula merasakan ingin berkeluarga – ingin punya isteri dan anak-anak. Ditambah pula dengan faktor sekeliling, teruja melihat rakan-rakan yang sudah beristeri dan beranak-pinak yang bahagia kehidupannya. Tetapi tak ternampak olehnya saat resah teman tatkala tersalah cakap mengguris hati isteri yang seharusnya dipujuk. Tak terlihat olehnya kalut sahabatnya memikirkan susun atur pendidikan dan makan minum anak-anak. Semuanya itu terselit di sebalik tabir kecomelan dan gelak tawa anak-anak kecil yang hanya dilihat oleh kita yang hanya sekali-sekala berjumpa dengan mereka.

Perancangan awal seharusnya realistik, perlu berpijak di bumi nyata. Bukan hanya sekadar meraikan angan-angan indah. Tak keterlaluan kalau saya sarankan, harus juga diselitkan dengan perancangan kecemasan untuk menghadapi kemungkinan terburuk atau ‘worst case scenario‘ yang secara lumrahnya boleh sahaja dihadapi oleh manusia yang hidup di dunia. Aidh Al-Qarni mengungkap dalam kata-katanya: Belajarlah untuk menghayati hal-hal yang menakutkan, nescaya rasa takut itu akan hilang. Menyedari hakikat bahawa kita belum lagi sampai ke Syurga, usah terlebih mengangankan yang indah-indah di dunia. Sebelum perkara yang menakutkan tiba, biarlah jiwa kita terlebih dahulu telah bersedia. Nescaya sedikit sebanyak ketakutan akan diatasi dengan kesediaan. Justeru, bersungguh-sungguhlah dalam merancang.. lalu beristiqamahlah dengan keputusan selagi berpaksikan Syariat.

Walaubagaimanapun, saya tetap menyokong dan menyebelahi  jiwa-jiwa yang sukakan cabaran baru malah saya juga mungkin salah seorang daripadanya. Saranan ini hanyalah sebagai pengetuk pada jiwa yang kadang gemar benar berangan-angan indah dan tidak berpijak di bumi nyata. Ditambah pula kalau akhirnya gemar terngadah kuat tatkala terjatuh. Jauh sekali niat saya daripada menjauhkan para pembaca dengan persangkaan baik pada Allah. Teruskanlah meneroka bumi dengan berbaik sangka pada Allah, cuma hanya perlu bijak melangkah supaya tak berkeluh kesah di kemudian hari. Apa pun, berpegang teguhlah pada janji Allah:

“Maka sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan” (Al-Insyirah: 5-6)

Satu peringatan: Pelatah yang mengimpikan Syurga?


Dalam kehidupan, kita pasti perlu menghadapi pelbagai cabaran yang sering sahaja menguji kesabaran kita. Namun sebagai seorang muslim, ditambah-tambah pula kalau yang nekad berjalan di dunia sebagai da’ie ilallah, reaksi dan tindakbalas kita dalam mendepani sesuatu isu sangat penting. Reaksi dan tindakbalas ini, ternyata mencerminkan apa yang telah kita pelajari dalam bahtera dakwah, juga apa yang kita canang-canangkan sebagai akhlak dan method Islam sebelum ini. Kita terpaksa mengakui bahawa sememangnya perbuatan lebih mengesani mad’u berbanding perkataan (action speaks louder than words).

Niat: Perjuangan kepentingan diri sendiri vs perjuangan Islam

Dalam mendepani masalah-masalah yang mencabar kredibiliti Islam, tidak dapat dinafikan kita akan berjuang berhabis-habisan untuk menegakkan kebenaran. Walaubagaimanpun, harus selalu diingat bahawa Allah bukan sekadar menilai usaha, tetapi niat di awalnya. Boleh sahaja kita kononnya memperjuangkan isu Islam secara zahirnya, tetapi di sebalik bara perjuangan itu, terselit perjuangan-perjuangan untuk mempertahankan kepentingan individu. Nauzubillahiminzalik. Apakah nilainya susah payah dan usaha kalau akhirnya bernilai ‘kosong’ tatkala dihitung untuk ke Syurga nanti?

Seharusnya kebencian dan tohmahan kita bukan pada insan yang melakukannya, tetapi pada apa yang dilakukannya. Insan yang tersalah memilih jalan tersebut masih ada hak untuk diterangkan dan didakwahkan padanya tentang jalan yang benar dengan penuh kasih sayang. Seharusnya kita bersabar kerana walaupun sehingga mereka lagaknya menutup sendiri pintu-pintu hidayah mereka, Allah dengan nyata menjanjikan bahawa pintu hidayah terbuka seluas-luasnya buat orang yang dikehendakiNya. Walaupun telah bergelar daie, kita tidak langsung layak memegang peranan Tuhan, mengadili manusia mana yang masih terbuka atau sudah tertutup pintu hidayah. Namun, tidak dinafikan dalam kudrat manusia yang terbatas, tidaklah seluruh umat mampu disentuh dengan sentuhan khusus seperti mana yang dicita-citakan, melainkan Allah mengizinkan dengan Kuasa dan KehendakNya.

Ingatkah kita pada hadith Rasulullah S.A.W daripada Aisyah R.A yang bermaksud:

Rasulullah tidak memilih antara dua perkara melainkan Baginda memilih perkara yang paling mudah selagi mana ia tidak berdosa. Jika perkara itu berdosa, Baginda orang yang utama menjauhkannya. Rasulullah s.a.w. tidak bertindak membalas untuk dirinya dalam apa jua perkara, melainkan terhadap mereka yang menceroboh kehormatan (hukum) Allah, Baginda akan bertindak balas. Rasulullah s.a.w tidak pernah memukul sesiapa dengan tangannya, perempuan mahupun orang suruhan, melainkan untuk berjihad di jalan Allah taala (Riwayat Muslim)

Kita semua tahu betapa lemah-lembutnya Rasulullah namun tetap tegas apabila kehormatan dan hukum Allah tercabar. Justeru, kita juga seharusnya berhabis-habisan dalam mempertahankan hukum Allah yang dihinjak-hinjak tanpa ada agenda-agenda busuk untuk meraih kelebihan diri sendiri. Semoga Allah mengampunkan kita semua yang lemah ini.

Tindak balas: Nafsu mengatasi iman? Akhlak mencerminkan Iman!

Lebih menyedihkan lagi kalau usaha-usaha kita diselitkan juga dengan perkara-perkara yang hanya membawa dosa. Tidak dinafikan bahawa apabila seseorang itu terlarut dengan suasana Islam, jiwanya sangat sensitif pada udara-udara maksiat yang mencemar harum wangian amal Islami. Namun, Allah mengurniakan akal dan iman untuk kita mengawal tindakan-tindakan kita. Cuba kita bermuhasabah seketika dengan cuba menyelami apa yang telah kita perkatakan dan kita perbuat?

Sepertimana kita merasa kesal dan sedih melihat orang yang pada satu sudutnya lantang melaungkan kalimah-kalimah Allah untuk menegakkan panji Islam tetapi di satu sudutnya pula berakhlak dengan akhlak buruk, tak putus menghina, mencaci dengan kata-kata kesat dan buruk, pohonlah pada Allah supaya kita tidak turut terjebak menjadi daie-daie yang dikesalkan ini! Mohon dijauhkan kita daripada berlebih-lebih dalam  membuka banyak ruang pergaduhan dan perdebatan, tetapi amat sedikit bergerak dalam ruang-ruang yang menambah amal. Semoga Allah menjauhi kita daripada tergolong dalam golongan ahli ibadah yang tidak berakhlak. Kalau tak merasa malu pada manusia, malulah pada Allah!

Sebuah hadith daripada Rasulullah s.a.w menyebut:

Seseorang lelaki bertanya kepada Nabu s.a.w: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya seorang wanita terkenal dengan banyak bersembahyang (sunat), berpuasa dan bersedekah, namun kata-katanya menyakiti jirannya”. Sabda Nabi s.a.w.: “Dia dimasukkan ke dalam neraka”. Kemudian beliau bertanya lagi: “ Wahai Rasulullah, seorang perempuan terkenal dengan kurang bersembahyang (sunat) dan berpuasa. Dia hanya bersedekah sepotong kecil keju, namun dia tidak menyakiti jirannya”. Jawab Nabi s.a.w.: “Dia akan ditempatkan di dalam Syurga.” (Riwayat Ahmad)

Semoga kita layak ke Syurga.

Kesimpulan

Tiada siapa yang layak menyatakan dirinya yang terbaik dan terhebat, kerana pengadilan hanyalah di Tangan Allah S.W.T. Justeru, berimanlah pada Allah yang bakal menentukan ke Syurga atau ke Neraka kah kita.  Apa ertinya kalau kita sekadar memegang title daie sekadar sebagai profesion, bukan sebagai satu sifat yang seharusnya mengakar umbikan nilai-nilai Islam di dalam diri? Ingatlah, dunia ini hanyalah sekadar batu loncatan. Rasa tercabar, rasa teruji, rasa dibenci dan pelbagai rasa lagi yang membuatkan kita ingin mengaduh ataupun melatah marah hanyalah medan untuk Allah menilai diri kita, samada layak ke Syurga atau ke Neraka. Kehidupan adalah medan ‘seketika’ yang hanya berjarak antara iqamah dan bermulanya solat, justeru.. kalau merasa hendak ke Syurga, berfikir dan bertindaklah bagai ahli Syurga.

Semoga tika kita ditakdirkan menghirup susu dan arak di dalam Syurga nanti… artikel ini turut menjadi bahan topik perbualan dengan selang-seli senyum dan tawa penghuni-penghuniNya. Indahnya kalau kitalah orang-orang yang bakal berbondong-bondong ke Syurga..  Amin.. Selamat berbondong-bondong ke Syuga!

Wallahualam..

Kenapa post baitul muslim?


Semenjak akhir-akhir ni, laju benar saya berkongsi artikel berkenaan bait muslim. Ramai yang bertanya ‘kenapa bait muslim?’

Antara jawapannya:

1) Saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang akan mendirikan rumah tangga. Rakan-rakan yang amat saya sayangi. Jujurnya, kalau untuk diri saya sendiri, saya tidak hanya sekadar mahu mendirikan sebuah ‘rumahtangga’ yang hanya terbina untuk melenyapkan tembok penghalang antara seorang perempuan dan seorang lelaki bukan muhrim, tetapi hakikatnya saya ingin mendirikan satu ruang yang penuh barakah dan rahmah untuk memperindah lagi nukilan cinta saya pada Allah, iaitu Bait Muslim. Kalau dulu, saya ternanti-nantikan saat saya merasakan cukup ‘layak'(saat telah mendirikan rumahtangga) untuk memperkatakan tentang soal ini, namun kini saya nekad untuk berkongsi apa yang saya pelajari, lihat dan baca untuk sama-sama kita teladani. Kalau kelayakan diletakkan hanya ketikamana saya telah bergelar seorang isteri, entah bila saatnya.. hanya Allah yang Maha Tahu.

2) Antara sebab besar lain adalah, bila memikirkan bahawa kita dan para remaja semua terlalu terdedah untuk terlebih dahulu mengenal perihal ‘kemanisan’ hubungan cinta sesama bukan mahram, berbeza kalau dibandingkan dengan gadis zaman dahulu kala yang terjaga hubungan sosialnya, sehinggalah disunting awal untuk menjadi seorang isteri sebelum benar-benar mengenali cintanya.Nilai ‘cinta’ kian kabur. Jadi, harapnya, biarlah informasi-informasi ini mampu menyedarkan kita tentang betapa tingginya mampu kita letakkan nilai sebuah cinta antara lelaki dan perempuan. Nilai yang diharapkan untuk turut sama kuat diperteguh untuk menongkah arus pemodenan masa kini! Diharapkan pembaca jelas bahawa, selain hubungan berlainan jenis yang digemburkan sebelum perkahwinan itu, wujud di sana satu hubungan halal yang lebih manis di sisi Allah dan para hambaNya yang bertakwa.

Usikan-usikan menyatakan saya diambang perkahwinan, benar atau tidaknya, biarlah Allah saja yang menjawab setepat-tepatnya. Kita semua hakikatnya senantiasa di ambang perkahwinan dan di ambang maut. Hanya Allah yang layak meredhai sebuah ikatan suci dan hanya Dia-lah yang layak menentukan saat sakarat hambaNya. Bila tiba saat, detik waktu dan ketika.. ia pasti datang.. saya doakan yang terbaik buat sahabat-sahabat yang saya sayangi yang sedang giat mempersiap urusan walimah, dan pulangan yang lebih-lebih baik buat sahabat yang mendoakan kebaikan buat saya. Hanya Allah yang layak membalas dengan setinggi-tinggi ganjaran 🙂

p/s: Kita semua akan bersanding berduaan tatkala menjadi pengantin dunia, namun ingatlah, persandingan kita di akhirnya nanti akan bersendiri, tatkala pelamin tanah dihias menjemput sang pengantin berbaju nikah putih suci..