Resepi ayam goreng tepung


ayam goreng tepung

Bahan- bahan:

Potongan ayam

Campurkan semua adunan A:
Tepung gandum
Tepung ubi
Garam
Perencah Hilal (optional)
Lada sulah
Rempah daging
(Make sure tepung berasa masinnya)

Adunan B:
Telur ayam (dipukul)

Cara-caranya:
1) Celup ayam dalam pukulan telur, rendam2 sikit
2) Keluarkan dan masukkan pula dalam adunan A (adunan tepung). Gaul-gaul sampailah seluruh ayam dah diselaputi tepung.
3) Kalau nak tepung tebal lagi, celup semula dalam telur ayam, kemudian celup semula dalam tepung.
4) Gorengkan terendam dalam minyak panas (control api supaya ayam tak hangus)

Nota: 1)Untuk mempelbagaikan ayam goreng, boleh dicincang-cincang kismis atau kurma, masukkan sekali dalam adunan tepung. Sedap dan membantu menambah kerangupan.
2) Baki tepung janagn dibuang. Tepung yang berair bercampur dengan telur, gorengkan saja.

Selamat mencuba!

Bukan salah ibu mengandung?


PREGNANT MUSLIMAH

Orang selalu kata, mengandung akan buatkan kita mengalami macam-macam perkara pelik. Apa yang kita rasa, apa yang kita inginkan dan macam-macam lagi. Bak kata orang, “Bukan salah ibu mengandung.. tapi penangan hormon“. Ada yang kata, kalau tak ikutkan apa yang orang mengandung nak, akan bagi kesan pada bayi yang dikandungkan. Bagi saya, itu semuanya kuasa Allah. Keadaan kita hanyalah sebagai penyebabnya.

Sebenarnya, hatta kita berada di dalam belenggu perubahan hormon samada ketika mengandung, datang bulan ataupun monopose, kita masih ada kekuatan untuk memilih dan mengawal tindakan kita. Allah menjadikan manusia sebagai khalifah yang hebat, manusia yang menyanggupi untuk menanggung penyampaian risalah Allah pastinya bukan calang-calang makhluk. Justeru, perubahan-perubahan alami yang tak dinafikan memberikan kesan kepada kita sememangnya mampu dikawal sekiranya kita masih manusia hebat yang ditaklifkan menjadikan khalifah oleh Allah.

Dengan hakikat kehebatan ini, peliklah sekiranya dengan mudah kita menyalahkan hormon pada siri-siri tindakan luar kawalan emosi kita. Pasti kita selalu melaui pengalaman yang mirip kisah di bawah:

“Jannah, kenapa ‘moody’ semacam je ni? Apa semua orang buat semuanya tak kena?”
“Biasalah.. Aku tengah datang bulan ni”

“Apasal bos tu mengamuk? Aku hantar awal kerja salah, kalau lambat pun salah, tak faham aku”
“Pembawak budak lah tu.. Orang mengandung memang macam tu”

Allah menjadikan wanita istimewa dengan kehadiran rahim sebagai organ pembiakan penting untuk manusia meramaikan generasinya. Perubahan perasaan yang berlaku tatkala mainan rembesan hormon berlaku adalah normal dan merupakan ujian kecil jika dibandingkan dengan hikmah Allah menjadikannya.

Sebagai wanita bijaksana, kita seharusnya bijak menguruskan emosi dan tindakan kita supaya kita tidak dikawal oleh faktor persekitaran dan faktor perubahan hormon tubuh. Wanita yang hebat mampu mengawal, bukan mudah dikawal emosi. Jangan sampai emosi yang menjadi raja sehingga akhirnya kita memalukan diri sendiri dengan akhlak yang buruk dek penangan kita tak mampu mengawali tindakan kita lagi. Ingatlah, wanita punya maruah diri yang tinggi. Emosi yang tak dikawal mampu diprgunakan oleh syaitan dan nafsu sebagai ruang untuk merosakkan manusia.

Apa yang boleh kita lakukan?

1) Kenali hakikat dan fitrah diri
2) Menerima bahawa Allah sememangnya menjadikan wanita penuh dengan emosi sesuai dengan tanggungjawabnya mengandung, membesarkan dan mendidik anak-anak yang memerlukan ‘perasaan’ dan ‘kasih sayang’.
3) Memahami reaksi badan terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di dalam tubuh lalu berusaha belajar untuk mendominasinya atau mengawalinya dengan baik.
4) Jangan jadikan perubahan hormon sebagai tiket untuk kita bertindak sewenang-wenangnya berlandaskan emosi.
5) Berdoa pada Allah semoga kita sentiasa berada di bawah naungan dan lindungan-Nya

Yakinlah bahawa kita adalah wanita bijaksana yang hebat. Kita mampu melakukannya, insyaAllah!

Berhikmahnya suami.. Bijaknya isteri..


kisah dibawah diolah berdasarkan kreativiti penulis. tiada kena mengena dengan sesiapa yg hidup apatah lagi yang dh meninggal dunia
cara berhikmah n kreatif seorang suami untuk xbagi isteri keluar sendiri….
“Abang, ayang nk kluar tau nnt, boleh tak?’
“kan dah malam ni.. bukan urgent pun kan?”
“Ala.. kena pegi sebab bla bla..bla.. boleh la ye pegi? pls.pls……”
“Oklah. Boleh. boleh”
“yay. tenkiu abang…”
“ok, abg g dulu ye”.. suami keluar menuju ke destinasinya sbb dia pun ada hal.
Isteri pula bersiap untuk keluar. pakai baju tutup aurat, pakai tudung, pakai armsock, pakai stokin..
Pergi tempat kunci, kunci tak jumpa.. cari punya cari, memang tak jumpa!
Berbalas sms dgn suami
Isteri: “abang, kunci krete ayang kt mana eh? nampak tak?”
Suami: “alamak, sorry ayang.. abg terbawak lah”
Isteri: “cmne ayg nk kluar cmni?huuuu”
Suami: “xdapat kluarlah nampak gayanya.huhu..sian ayang.. sorry”
maka berhusnuzzonlah si isteri pada suaminya walaupun tau kunci krete masing2 mmg jauh beza..
isteri bijak xkn bengang dengan suami tapi kreatif selesaikan masalah!
selepas beberapa minit:
isteri: “abang, tolong transfer kredit handphone, now pls…satu lg mesej dh xdpt bls msj abg” (sbb mmg si suami incharge hal topup si isteri)
suami: “eik? baru abg topup td, habis dah?”
isteri: “ayg kan tak dapat pegi meeting, so, td ayg meeting ngan akhawat on the phone”
suami: “adoiii”
isteri: “sian abang.. sorry..”
mobile: -credit transfered-
tapi still kena ada precaution di masa akan datang:
Bila suami dah izinkan kluar, cepat2 make sure kunci ada pada kita.. 🙂

Cerpen: Harapan untuk Islam Hari ini


“Kami semua sedang berusaha untuk menjadi muslim yang baik. Semoga kami menemui pengakhiran yang baik untuk ke Syurga”

children_of_muslim_ummah_by_ademmm

Terngiang-ngiang lagi jawapan yang terpacul keluar dari bibirku saat Henry seorang warganegara Australia berbangsa cina tanpa segan bertanyakan tentang perbezaan amalan Islamku dan teman Indonesianya yang juga beragama Islam.

“Kamu berhijab, berpuasa dan bersolat. Tetapi kenapa teman muslimah saya dari Indonesia tidak langsung melakukan kesemua itu walaupun mengaku beragama Islam?”, ujarnya. Tiada bunyi sindiran mahupun perlian. Aku pasti dia benar-benar ingin tahu.

“Manusia ada pilihan untuk menurut perintah atau melanggarnya. Manusia juga ada pilihan untuk mengamalkan apa yang diajar atau meninggalkannya. Terpulang sama ada kita berada di landasan yang betul untuk berusaha menjadi penganut yang baik atau tidak”, aku cuba menjawab sebaik mungkin sambil kututurkan doa kelancaran kata yang diajar Allah kepada Nabi Musa a.s saat ingin berdepan dengan Firaun:

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku (Taha: 25-28)

“Ini bermakna, kamu adalah penganut Islam yang baik, manakala yang kelihatan tidak mengikut ajaran Islam adalah penganut Islam yang tidak baik?”, akhirnya Henry cuba menyimpulkan perbincangan.

Saat berdepan dengan Henry yang ternyata kafir, sudah pasti teman seagamaku yang hanya kukenali melalui ceritanya tadi lebih layak dimenangkan. Siapa pun dia sebenarnya, biarlah terbuka hatinya untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari untuk mengenali Islam.

Henry sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar jawapanku, lantas meneruskan kerjanya membaiki lampu bilik air yang kami huni hampir setahun. Henry sememangnya tuan tanah yang baik. Apa sahaja yang kami adukan pasti lekas-lekas diperiksa untuk tindakan susulan.

Semangnya telah diketahui umum, begitulah mahalnya nilai servis di negara barat. Bersih negaranya belum mampu dikalahkan mana-mana negara islam. Servis pelanggannya juga tip-top. Tapi, kesemua itu hanyalah saduran luaran kerana apabila dijengah kedalamnya, semuanya tidak bernilai kerana mereka hidup dengan nilai haiwani yang makin dibawa cemar pula ke negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Seks bebas, dadah, rokok, hiburan melampau dan pergaulan bebas sudah menjadi sebati dengan kehidupan mereka. Tidak hairanlah kalau seorang tokoh Islam, Asysyahid Syed Qutb yang menziarahi negara Amerika menyatakan bahawa “negara Amerika punya segala-galanya, kecuali roh”

Beberapa hari selepas pertemuan aku dan Henry, aku menyertai majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh persatuan pelajar muslim universiti. Aku memilih untuk bergaul mesra dengan teman-teman Islam dari negara lain berbanding duduk makan bersama teman-teman senegaraku sendiri yang boleh kuhubungi bila-bila masa yang aku kehendaki. Aku mendekati seorang wanita berbaju kemeja lengan panjang dan berjeans ketat yang sedang menjamah sosej dan salad sambil berdiri.

Aku menghampirinya dan mengajaknya duduk bersama di kerusi yang kosong. Tersenyum kepadaku, dia menuruti permintaanku. Aku berbasa-basi memulakan perkenalan dengannya. Tak lokek bercerita dia memberitahu bahawa dia berasal dari Indonesia dan beragama Islam. Sudah hampir dua tahun dia berada di situ. Aku pula menyatakan bahawa aku dari Malaysia. Aku amat terkejut tatkala dia tiba-tiba berkata padaku, “biarpun kita berbeza fahaman, tapi kita saling menghormati, bukan? Saya menghormati penganut seperti kamu manakala kamu juga harus menghormati saya”

Aku merasa pelik. Bukankah tadi dia menyatakan dia juga beragama Islam? Berjenis-jeniskah Islam sepertimana wujudnya cabang dalam agama Kristian? “Apa yang harus kami hormati tentang kamu?”, aku menyoalnya cuba mendapatkan kepastian.

“Fahaman kami tidak memberatkan seperti fahaman Islam yang kamu pegang. Contoh mudahnya, lihat sahaja beza pakaian kita. Kamu menutup segalanya seperti ini sedangkan kami lebih bebas memilih untuk tidak melakukannya” sambil dia menuding ke arah pakaianku yang labuh, berlengan panjang, berhijab malah berstokin.

“Adakah keringanan sebegitu dalam Islam? Bukankah semua umat Islam wajib menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan?”, aku menyoalnya kembali. Belum pernah aku berdepan dengan orang yang seberani ini meringan-ringankan agama yang dianutinya sendiri. Inikah teman seakidah yang kubela di hadapan Henry tempoh hari?, aku berfikir-fikir sendiri. Sedikit sebanyak menyesali akan betapa tidak sensitifnya aku pada isu yang sedang melanda umatku sendiri!

“Bukankah dalam Islam kita diajar bahawa Islam itu mudah?”, dia menjawab dengan persoalan.

“Betul”, aku mempersetujuinya untuk mendengar hujahnya lanjut “tapi bukan untuk dipermudahkan”,sempat aku menyambung.

“Bukankah ayat al-Quran hanya mengajar kita untuk menutupi dada?”dia lalu menyeluk tangannya di dalam beg yang disandangnya di bahu.“semuanya ada di dalam ini”, sambil dia mengeluarkan Al-Quran dengan terjemahan Inggeris darinya. Saat itu aku agak merasa kagum dengannya. Yalah, bukan calang-calang orang yang rela membawa Quran ke mana-mana sahaja. Apatah lagi untuk menerimanya sebagai rujukan kehidupan. Tapi aku mula memikir-mikirkan tentang mengapa pendirannya agak tersasar sedangkan dia membaca Al-Quran. Mungkinkah Al-Qurannya palsu?

“Saya nasihatkan kamu supaya berdamping rapat dengan Al-Quran. Allah sebenarnya berbicara kepada kita secara terus dan kita sememangnya layak untuk berusaha memahaminya sendiri kerana Allah telah mengurniakan akal untuk manusia dan menjadikan kita khalifah”, nasihatnya kepadaku penuh semangat. Barulah aku tahu di mana silapnya. Dia menafsir ayat-ayat al-Quran sendiri untuk dijadikan panduan kehidupan, termasuk ayat-ayat berkaitan syariat.

Aku merenungnya dalam-dalam. Aku tidak termelatah menyalahkannya kerana pelbagai kemungkinan yang telah menyebabkan dia berpendirian sebegitu rupa. Aku membayangkan betapa kompleksnya aku mempelajari kaedah ulamak mengeluarkan hukum daripada ayat al-Quran dan Hadith semasa aku mempelajari Pendidikan Syariah Islamiah dan Al-Quran Sunnah semasa SPM dulu. Bukan senang untuk para ulamak mengeluarkan sesuatu hukum kalau bukan kerana pakarnya mereka dalam ilmu al-Quran dan hadith.

“Percayalah, dengan memahami al-Quran barulah kehidupan kamu tidak akan terbeban dalam Islam”, dia mengakhiri katanya sebelum kami disertai oleh dua temannya yang lain. Sama sepertinya, kedua-duanya tidak bertudung.

Mereka bercerita tentang seorang pejuang ‘Islam pertengahan’ bernama Irsyad Manji, tentang hujah-hujahnya dan ayat-ayat al-Quran yang mengiyakan keringanan dalam beragama seperti yang mereka yakini. Aku meninggalkan mereka dengan secebis nasihat supaya mereka meyakini penafsiran para ulama’ bukan sekadar meyakini hujah retorik berdasarkan nafsu semata-mata. Mereka hanya mengangguk dan sempat menyatakan padaku bahawa itu adalah pilihan masing-masing. Usai bersalaman, aku mendoakan hidayah buat mereka.

Aku pulang dengan penuh tanda-tanya. Mencapai komputer ribaku, aku nekad menyelidik lebih lanjut tentang isu ‘Islam pertengahan’ yang baru sahaja kudengar. Aku kini sedar bahawa di zaman ini Islam tidak lagi hanya jelas diserang dengan kehancuran masjid-masjid dan Al-quran tetapi Islam diserang secara halus dari akar umbi akidah umatnya. Serangan ini tidak lain dan tidak bukan cuba untuk memesongkan akidah umat Islam secara diam-diam sambil masih membenarkan al-quran dibaca dan masjid dikunjungi. Ah, betapa liciknya mereka menghancurkan umat Islam!

Aku lantas membuka helaian baru dalam Microsoft Office One Noteku lalu mencatat apa yang berada diruang mindaku, cuba membukukan sesuatu untuk membalas serangan penulisan pemesongan Irsyad Manji dalam bahan cetaknya yang bertajuk “Harapan untuk Islam hari ini”.

Kalau taghut cuba membunuh umat Islam dengan pedang penanya, pena ini jugalah pedang yang akan membunuh impian si taghut durjana…

pen sword

Kuseru-seru keserasian cinta


Perihal keserasian sering dibincangkan dalam isu rumahtangga kerana perkahwinan menyatukan dua jantina yang berbeza fitrahnya. Fitrah yang berbeza inilah yang menyebabkan wujudnya ketakserasian sekiranya tidak dapat diurus dengan baik. Perkahwinan bukan hanya mempertemukan dua insan yang berlainan fitrah kejadiannya, tetapi ianya juga mempertemukan dua buah budaya, nilai estetika, cara hidup dan tingkah laku yang berbeza. Dua keluarga yang berbeza ini akhirnya bergabung di bawah satu simpulan ikatan nikah dua insan yang berjani dengan Allah untuk bersama ke Syurga. Kita akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa kita dipertemukan dengan pasangan kita dalam keadaan masing-masing telah mempunyai pandangan dan gaya hidup yang telah tercipta sekian lama.

Apabila difikir-fikirkan, saat kita bersama ibu bapa, adik beradik dan saudara mara kita, kita dapat merasakan bahawa keserasian itu wujud, walaupun berhadapan dengan ahli keluarga yang berlainan jantina.  Apa yang membuatkan kita mudah berasa begitu? Sebenarnya, keserasian yang dapat dirasakan dengan jelas tidak terbentuk sekelip mata. Bersama ahli keluarga, kita berpeluang untuk mengalami proses yang amat panjang semenjak kita dilahirkan untuk mengenali kelakuan dan fitrah ahli keluarga secara berperingkat dan perlahan-lahan. Kita punya masa untuk mengenali, memberi dan diberi ruang untuk menerima perlakuan setiap ahli keluarga.  Sehinggalah bertahun-tahun, kita akhirnya menjejak ke suatu tahap di mana kita merasakan bahawa kita benar-benar serasi dengan ahli keluarga kita.mSedar atau tidak, bukan kita sahaja yang mengalami proses keserasian bersama ahli keluarga yang panjang tetapi pasangan kita juga turut mengalaminya bersama keluarganya sendiri.

Walaupun telah bertaaruf semasa bertunang, belum ada satu proses yang lengkap untuk membenarkan jiwa kita mengenali sedalam-dalamnya pasangan kita. Justeru, amatlah tidak adil sekiranya hanya dalam masa yang singkat kita terus menganggap bahawa kita tidak punya keserasian dengan pasangan kita hanya kerana di awal perkahwinan kita merasakan bahawa pasangan kita di alam realiti tidak seperti yang kita jangkakan dalam fantasi kita sebelum berkahwin.

Disebabkan itulah, tak kurang yang panik apabila berhadapan dengan perbezaan-perbezaan dan keurangan yang ada pada pasangan. Penerimaan kita terhadap pasangan yang mengahwini kita sebenarnya perlu juga melalui proses perlahan dan berperingkat-peringkat yang boleh dilalui dengan tenang dan penuh kegembiraan sepertimana kita dengan ahli keluarga kita yang lain. Sepertimana ahli keluarga kita, kita juga harus memberi peluang kepada pasangan kita untuk dikenali hati budinya dengan melalui pelbagai kisah suka duka yang bakal menjanjikan kenangan pahit manis sebuah kisah kasih rumahtangga.

Segala perbezaan dan pertembungan yang wujud harus diuruskan dengan baik supaya keserasian dapat terjalin. Sebuah keserasian tidak akan datang begitu sahaja. Ianya perlu diusahakan, digembur dan didoakan supaya dapat mengharmonikan rumahtangga. Selagimana ianya tidak diusahakan, selagi itulah keserasian sukar untuk wujud walaupun perkahwinan menjangkau usia bertahun-tahun lamanya.

Antara kunci utama sebuah keserasian adalah komunikasi yang baik. Komunikasi merupakan satu medium penting untuk menyampaikan maklumat. Mediumnya pelbagai termasuklah melalui kata-kata lisan, sentuhan, penulisan dan pandangan. Apa sahaja deria yang wujud mampu menjadi alat berkomunikasi. Perbezaan cara komunikasi dua buah keluarga tadi harus dipelajari dengan baik. Begitu juga dengan perbezaan cara komunikasi dua jantina. Banyak ketidakserasian berlaku hanya kerana salah memahami maksud dan intonasi ayat. Walhal, proses memahami ini jika dirancang dengan baik mampu mengundang saat manis pasangan yang akan diingati sampai bila-bila.

Sebagai contoh, si suami menyebut kekurangan isterinya dengan pemilihan kata dan intonasi yang si isteri rasakan amat kasar. Itulah kali pertama si isteri digelar sebegitu rupa sepanjang hayatnya. Akhirnya, situasi itu mengundang tangis isterinya.

Sekiranya si isteri terus menangis dan membawa hati lara tanpa menjelaskan pada suami, sedang suami pula buat tidak tahu, tak mustahil suami akan beranggapan bahawa isterinya ‘terlebih sensitif tak bertempat’ sambil si isteri akan terus menganggap bahawa suaminya ‘kurang ajar’. Satu insiden yang dihadapi yang ditinggalkan tergantung tanpa sebarang jawapan hanya akan mengundang syak wasangka, dan pengulangan di masa hadapan. Hingga akhirnya boleh menimbulkan rasa benci pada pasangan.

Hal ini sebenarnya dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pasangan memilih untuk berlapang dada dan mengambil tindakan untuk berkomunikasi dengan baik. Sebarang pertembungan perlu diselesaikan dengan baik melalui perbincangan yang berhikmah di antara keduanya. Setelah bertanya dan meluahkan perasaan masing-masing, barulah pasangan tersebut tahu bahawa, si suami tidak bermaksud untuk menghina isteri, tetapi hanya ingin bergurau. Si isteri akhirnya mendapat tahu bahawa rupa-rupanya sepanjang hidup si suami, kata-kata kasar sebegitu menjadi mainan gurauan antara dia dan adik-beradiknya yang kebanyakannya lelaki. Gurauan sepertinya akan disambut dengan kata balas dan gelak tawa. Si suami pula mendapat tahu bahawa, si isteri tidak biasa bergurau kasar dengan ahli keluarganya. Apabila mengetahui dan mengenali kebiasaan hidup keduanya, komitmen dua pihak amat penting dalam membuatkan masing-masing hidup selesa bersama. Si isteri perlu cuba menerima dan memahami cara suaminya andai insiden tersebut terjadi lagi sementara mereka bersama-sama mencari dan mereka cipta cara gurauan lain yang dapat menghiburkan hati keduanya.

Contoh tadi menunjukkan bahawa betapa komitmen dua pihak amat penting. Pertembungan fitrah, cara dan budaya keluarga yang diuruskan dengan baik akan membuatkan kedua-duanya merasa lebih dekat dan lebih mengenali hati budi masing-masing. Penyelesaian kepada pertembungan yang berantai sepanjang hidup akhirnya akan mencipta sebuah keserasian yang dimpi-impikan. Justeru, usah takut pada perbezaan dan pertembungan. Jadikanlah pertembungan dan perbezaan sebagai satu cabaran yang ditunggu-tunggu untuk dirasai manis dipenghujungnya, bukan sebagai satu kelemahan yang ditakuti dan ingin dijauhi. Percaya atau tidak, proses membina keserasian inilah yang akan membuatkan kehidupan mempelai penuh dengan warna-warni, jauh dari kehidupan yang penuh dengan rutin dan kebosanan. Kita berhak untuk memilih cara kehidupan kita bersama pasangan sepertimana kita berhak untuk memilih pasangan kita suatu masa dahulu. Selamat mengharmonikan rumahtangga!

Nasi pecal lele


Hidangan yang sangat mudah, murah dan sihat, tetapi sedap!

1) Nasi putih panas
2) Ikan bakar – ikan jacket or ikan keli / ayam bakar atau goreng
3) Sambal pecal lele – rujuk resepi di bawah
4) Ulam – timun, kubis, pucuk paku etc
5) Tempe goreng
6) Limau kasturi

Sambal pecal lele
Sambalnya basah, rasanya pedas tapi manis

Bahan-bahannya:
Cili merah
Cili padi
Bawang merah
Belacan
Tomato/asam jawa
Gula & garam
Optional: bawang putih


sumber gambar: internet