Prinsip separuh harga


“Akak, apa yang dia kata?”

Tanya Ika pada kakaknya, sambil menyusun langkah lebih laju mengejar rentak hayunan langkah kakaknya, Fatimah.
“Dia kata, kalau nak mintak harga kurang lagi, malam ni Ika kena keluar minum dengan dia”, jawab Fatimah bersahaja. Terbiasa dengan perangai sesetengah lelaki arab yang pantang melihat gadis berdahi licin. Itulah juga salah satu sebabnya Fatimah memilih untuk berniqab di bumi anbiya’, tempatnya menuntut ilmu kini.

Ternyata Ika yang datang sebulan bercuti di sini mula terkena tempias miang segelintir dari mereka.
“Hah? Iye?”, terbeliak mata Ika mendengarnya. Manakan tidak. Penjual tadi berserban dan berjubah putih walaupun masih muda. Sejuk mata memandang.

“Akak jawab apa bila dia cakap macam tu?”, Ika meminta kakaknya menceritakan semula perbualan antara kakaknya dan penjual tadi dalam bahasa arab yang langsung tidak difahaminya.

“Assalamualaikum”, Fatimah mengucapkan salam saat melangkah masuk ke sebuah kedai minyak wangi di bumi anbiya’ itu.. bumi Mesir.

“Waalaikumussalam..”, jawab semua yang berada di dalamnya. Kelihatan 3 orang pelanggan sedang memilih minyak wangi yang ingin dibeli sambil dilayan seorang penjual lelaki.

Fatimah lekas-lekas membelek dan menghidu satu persatu minyak wangi yang diletakkan di rak-rak tinggi yang penuh dengan botol minyak wangi. Dia tidak mahu lama-lama membeli-belah. Banyak lagi yang perlu diuruskan hari ini.
Ika setia mengekor kakaknya. Ika yang baru seminggu datang bercuti hanya menurut ke mana sahaja kakaknya membawanya berjalan-jalan. Hari ini ke kedai minyak wangi untuk dihadiahkan kepada saudara mara di Malaysia sebagai buah tangan.

“Tak boleh dikurangkan lagi harganya? Kami ingin beli banyak untuk dibawa pulang ke Malaysia”, soal Fatimah kepada lelaki muda berserban dan berjubah di hadapannya.

“Boleh.. dengan syarat.. malam nanti bawa gadis ini minum-minum dengan saya”,ujar penjual tersebut sambil menuding dan menjeling gatal pada adiknya, Ika. “Cantik.. halus kulitnya”

“Astaghfirullah. Haram ke atas kamu!”, Fatimah mengeraskan suaranya pada yang tak malu mencemar imej akhlak Islam. “Bukankah kamu juga muslim?”, soal Fatimah pada lelaki muslim di hadapannya.

“Kalau nak murah, setuju sahajalah. Potongan separuh harga!”, ujar lelaki itu lagi. Tak mengendah peringatan Fatimah padanya.

“Inikah yang kamu buat pada setiap yang berupa elok datang membeli? Kalau pun cuba untuk bermesra sesama saudara seIslam, bukan ini caranya. Bukankah persaudaraaan sesama Islam itu menuntut kita menjaga maruah saudara kita? Seharusnya kamulah yang meninggikan darjat dirimu sebagai rijal dengan memelihara maruah muslimah seagama denganmu. Malulah pada Allah! Pada Rasulullah S.A.W!”, Fatimah menutur fasih.

Jelas terpancar ketegasan dalam kelembutan.

“Allahumma Salli ‘Ala Muhammad, Wa ‘ala ali Muhammad”, laju mereka yang berada di situ menutur saat mendengar Fatimah menyebut ‘Rasulullah S.A.W’.
…..
“Wah.. hebatlah akak!. Sayang juga akak pada Ika, kan?”, tersengih-sengih Ika mendengar penjelasan kakaknya.
“Kakak mana yang tak sayangkan adik..”, Fatimah menjawab bersahaja.

Keesokan harinya, Fatimah ke kuliah seperti biasa. Ika tinggal di rumah menantinya pulang tengahari nanti.
“Sebelum kita mengakhiri kelas, seperti biasa saya ingin berkongsi ilmu yang saya dapat daripada pemerhatian, pembacaan dan perbincangan saya kepada semua pelajar yang saya kasihi”, ujar Dr Soleh sambil melangkah ke hadapan dewan kuliah.

“Pada hari ini saya suka untuk berkongsi tentang kejelasan matlamat yang menonjolkan kekuatan prinsip pegangan manusia”, beliau menyambung. Suaranya tenggelam timbul dek kebisingan para pelajar yang sedang berkemas untuk pulang.

“Kita semua yakin bahawa al-Quran merupakan rujukan kita sebagai umat Islam”, Dr Soleh menyambung dengan suara lebih kuat dan tegas setelah meminta perhatian para pelajarnya. Para pelajarnya tahu ada sesuatu yang penting ingin disampaikannya.

“Tahukah kita bahawa di dalam al-Quran juga tercatatnya matlamat kehidupan dan tugasan muslim untuk dilangsaikan dengan bayaran harta dan jiwa sebagai membayar bayaran Syurga yang kita pinta dari Allah S.W.T?”.Semua terdiam menanti penjelasan seterusnya. Ada yang mengangguk-angguk memberi respon. Aku yakin bahawa bukan aku sahaja yang merasa pelik dengan ucapan Dr Soleh. Belum pernah dia menyebut perihal al-Quran, Allah dan Islam dalam satu slot khusus begini. Pada kebiasaannya hal ehwal Islam diselitkan dalam perkaitan ilmu biologi yang diajarnya dengan keagungan ciptaan Allah. Semua pelajar kelihatan bersabar menanti maksud sebenarnya.

“Matlamat kehidupan kita adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar-benar penghambaan. Pengabdian di dunia ini semestinya perlu dibuktikan dengan melakukan ibadah-ibadah khusus seperti solat sebagai syiar tingginya ruh serta membuat kebaikan. Namun, tidak lengkap sekiranya kita tidak mengajak manusia lain yang terlupakan perihal matlamat ini untuk kembali kepadanya”

“Dengan kata lain, selain berhubungan dengan Allah dengan solat, puasa dan zakat kita juga berhubung dengan Allah dengan mengajak manusia kembali kepadaNya. Manusia-manusia yang jelas dan sedar akan matlamat merupakan pemimpin seluruh dunia yang terleka”

“Sebenarnya… saya cukup terkesan dengan satu kejadian yang berlaku di hadapan mata saya, yang jarang-jarang dapat saya lihat dengan mata kepala saya sendiri”

Terkejut Fatimah mendengar Dr. Soleh menceritakan kejadian di kedai minyak wangi yang melibatkannya dan penjual kedai tersebut kepada seluruh pelajar yang berada di dalam dewan kuliah tersebut.

“Begitulah contoh bagaimana seharusnya kita jelaskan prinsip kita, dan bagaimana kita mampu berperanan untuk mengingatkan orang lain perihal prinsip yang seharusnya kita abadikan dalam kehidupan sebelum sampai ke Syurga”, ucap Dr. Soleh bagi mengakhiri kisah kedai minyak wangi.
….
Fatimah pulang ke rumah dengan gembira. Tak disangka-sangka rezekinya hari ini cukup murah. Tiba di rumah, Fatimah terus mendapatkan Ika sambil menghulurkan bungkusan di tangannya. Hadiah dari Dr Soleh.

“Dik, kita tak dapat minyak wangi separuh harga sebab Allah nak hadiahkan yang percuma”, ujar Fatimah sambil tersenyum lebar.

Pastinya seluruh alam semesta turut tersenyum lebar saat sang khalifah yang diciptakan Allah bertindak selari dengan tuntutan Pencipta alam raya. Allahurabbuna..

Cerpen: Di bawah naungan Al-Quran


Aku tak pernah merasa kerdil dengan pelaksanaan tanggungjawabku sebagai seorang Muslim. Hidup di bumi asing, sebuah negeri yang majoritinya bukan penganut Islam, membuatkan yang berhijab benar-benar di lihat asing. Kalau bertemu yang berhijab, gembira betul hati. Pasti akan berkenalan.

Sepertimana di Malaysia, aku akan ke pasaraya untuk membeli barang keperluan. Lebih mudah lagi apabila, universti tempat aku belajar sememangnya terletak di pusat bandarnya, Adelaide City. University of Adelaide memang terletak betu-betul di hadapan Rundle Mall, sederet kedai-kedai yang berhadap, bermula dari Pulteney Street, hinggalah ke King Willian Street.

Lewat petang itu, aku menyinggahi Woolworth di Rundle Mall (yang kini sudah berwajah baru) untuk membali barang keperluanku. Sudah menjadi satu sistem di sana, sekiranya kita tidak membeli apa-apa barang, beg akan dibuka oleh penjaga pintu untuk memastikan kita tidak mengambil apa-apa barang tanpa membayarnya. Dengan kata lain, mencuri.

Puas mundar-mandir mencari barang keperluanku, namun tidak berjumpa. Aku mengambil keputusan untuk keluar sebentar dengan menaiki kereta setibanya di rumah nanti, ke pasaraya yang berdekatan dengan rumah. Aku melihat jam tangan: 4 petang. Masih sempat. Tak kurang satu jam lagi sebelum pasaraya ditutup. Maklumlah, di Adelaide, kalau hari-hari bekerja, semua kedai akan ditutup pada pukul 5 petang.

Aku mengatur langkah menuju ke pintu. Mengingatkan prosuder yang bakal aku lalui, dari jauh aku telah membuka beg sandangku siap-siap. Dari jauh juga pakcik yang menjaga pintu keluar-masuk tersebut berkata “No-no-no, you dont have to do that!”, dia berkata. Dia melarang aku membuka beg yang kusandang? Pelik juga.

Berkerut keningku,s ehinggalah aku sampai padanya dengan begku yang sudah terbuka. “I’ve told you, you dont have to open your bag for me

“Mmm.. ok, thanks. But, may I know, why? Because usually people have to do this if we didn’t buy anything, right?”

Aku menanti jawapan pakcik tua ini. Tak lah tertalu tua, tapi separuh abad jugalah, dalam 50-an. Aku menjangkakan pakcik tersebut akan menjelaskan tentang prosedur baru ataupun polisi baru yang menjadi sebab larangannya padaku yang siap-siap membuka beg. Namun, jawapan yang tak aku terfikirkan.. lebih-lebih lagi kerana tika itu aku berada di bumi yang majoritinya adalah orang bukan Islam, di tempat yang membuatkan aku mendepani beberapa insiden yang mencabar agama yang aku anuti ini, Islam.

“Because, I know you are a Muslim” Jawabnya, ringkas.

Terkejut aku mendengar jawapannya. Lantas aku menghentikan kesibukanku yang terkocoh-kacah menutup semula beg yang penuh dengan buku dan kertas pengajian, memandangnya dan menanti ayat seterusnya. Aku terdiam.

“I read the Quran. And I know, Islam prohibits Muslims to steal, rob and do harm to others. It will be sinful”

Dia menjelas satu persatu. Ouh.. patutlah. Dia juga muslim agaknya.fikirku

” You are a Muslim too, right?” aku yang dah mula tersenyum, seronok berjumpa seorang Muslim Aussie bertanya semula padanya.

“No, I am a Christian. I dont have to be a Muslim to read the Quran, right?” dia menjawab. Jawapannya kali ini membuatkan aku terpana sekali lagi. Sangkaan aku meleset. Meleset jauh!

“Yeah, you are right” aku mengiyakan dan mengucapkan terima kasih sebelum aku melangkah pergi.

Melangkah pergi dengan perasaan yang bercampur baur. Seronok ada, terkejut ada, terpegun ada. Entah. Yang pastinya aku tersenyum. Tersenyum kerana Allah tak putus memilih aku dengan pentarbiyahan dengan cara ini.

Seorang lelaki tua yang beragama Kristian, membaca dan memahami Al-Quran, sehingga tahu praktikalnya di mana, dan seorang lelaki tua yang benar-benar meyakini bahawa Muslim benar-benar berpegang teguh pada Shariat Allah yang Allah coretkan dalam Al-Quran. Sejurus memikirkan ini, aku berasa malu. Malu memikirkan sejauh mana aku benar-benar berpegang pada Al-Quran, yang mana pada ketika itu aku hanya gemar menghafal tanpa mengetahui maksudnya, melagukan bacaan-bacaan al-Quran dan menangis tanpa ambil endah bahawa Allah sedang memperkatakan suruhan dan larangannya, ayat-ayat azab dan ayat pujukNya.. subhanallah. betapa aku malu…

Bermula saat itu, aku nekad menyelongkar ayat-ayat Allah. Ouh. langkah pertamaku pada ketika itu adalah, mula memanfaatkan Quran tafsir berzip yang aku bawa ke Adelaide atas dasar mematuhi saranan kakak-kakak,tanpa tahu keperluannya sebenarnya. Alhamdulillah.. nampak cerah cahaya dicelah-celah kesibukan perjalanan pulang.

Terima kasih Ya Allah. Naungkanlah kami di bawah naungan Al-Quran 🙂

Cerpen: Membumi dambaan akhirat


“Doktor, semalam saya sering lewat menunaikan solat. Istighfar harian pun tak dapat saya langsaikan. Puas saya mencari di mana silapnya”

“Makananmu terjaga? Mungkin termakan yang haram ataupun yang shubhah”

“Alhamdulillah makananku terjaga. Setiap sumbernya aku yakini kehalalannya. Yang shubhah juga dihindari. Alhamdulillah, terlalu banyak yang halal diluar sana sebagai ganti”

“Bagaimana dengan lidahmu?”

“Mengapa dengan lidahku?”

“Mungkin ada kamu bercakap yang sia-sia atau menyakiti orang lain?”

Lama dia diam.. “Astaghfirullahal’azim.. betul. aib lidahku. Aku ada berkata buruk tentang peminta sedekah yang telah berkali-kali berkunjung ke rumahku meminta wang”

“Pohon ampunlah pada Allah serta mohonlah taubat padanya. Berjanjilah pada Allah bahawa kamu tidak akan mengulanginya lagi” doctor menulis priskripsi lalu menyerahkan pada pesakitnya. “Didiklah diri untuk mendamba cinta dari Allah. Manusia boleh memilih samada sekadar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba, atau menjalankan ibadah kerana menagih Cinta Allah. Semuanya terletak pada hati dan iman kita. Semoga sama-sama kita dinaungi rahmat Allah..”

“InsyaAllah.. Terima kasih, doktor. Semoga hari doktor diberkati Allah. Semoga Allah membalas dengan ganjaran berlipat ganda” Ali bersalaman dengan doktor Fauzan. “sama-sama, saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang daie di muka bumi Allah ini” Mereka berpelukan. Teman seaqidah, cintanya indah, anugerah ukhuwah dari Allah.

Doktor Fauzan menghantar Ali keluar.

Ali melangkah keluar dari klinik Fauzan. Fauzan merupakan seorang doktor yang juga bergelar daie. Tugas merawat pesakit sudah menjadi tuntutan kerjayanya. Walaubagaimanapun, doktor fauzan juga tidak melepaskan peluang kerjayanya dengan menawarkan rawatan untuk penyakit hati yang tidak dikenakan sebarang caj, sepertimana yang ditawarkan oleh para doktor muslim lain.

Ali juga merupakan seorang pelajar di Universiti Tarbiyah Islamiyah. Tugasnya sama seperti doktor Fauzan. Membangkitkan jiwa-jiwa yang lesu, merawat jiwa-jiwa yang tercedera sememangnya menjadi matlamat utama mereka.

Peranannya sebagai seorang daie tidak mengecualikan dirinya juga untuk dirawat. Kadang kala imannya turun, kadang-kala naik.

Jurutera merupakan bidang professional yang Ali ceburi sebagai lapangan rezeki untuk kehidupan dunianya. Masjid, rumah-rumah dan jambatan perlu dibina untuk memudahkan para khalifah Allah menguruskan kehidupan dunia yang menjadi ladang tanaman untuk dituai hasilnya di akhirat.

Keretapi sampai, Ali lekas-lekas berlari berdiri di akhir barisan gerabak lelaki. Satu persatu masuk dengan tenang dan senyap. Gerabak perempuan di sebelah sana. Kelihatan golongan wanita juga beratur memasuki gerabak mereka.

Menjejak sahaja kaki ke dalam tren, terdengar suara para muslimin membaca al-Quran. Majoritinya membaca al-Quran. Yang tidak membaca al-Quran terkumat-kamit bibirnya.. berzikir memuji Allah. Yang tidak berbuat apa akhirnya berasa segan sendiri. Mereka lantas mengambil naskhah al-Quran terjemahan al-Quran yang disediakan oleh pihak pengurusan keretapi di dalam gerabak. Suasana sebegini telah menjadi lumrah memandangkan majoriti rakyat negara itu beragama Islam. Jadi, tidak hairanlah kalau al-Quran menjadi pendamping utama kehidupan mereka. Warga bukan Islam duduk diam menghormati suasana.

Ali bersalaman dengan penumpang-penumpang berhampiran apabila hampir tiba di stesen. “Assalamualaikum, ana minta diri dulu ya” ujar Ali kepada teman-teman seaqidah, juga teman senegara.. “Semoga harimu diberkati Tuhanmu” ujar penumpang berbangsa Cina di sebelahnya. “InsyaAllah..semoga hidayah Allah menjadi milikmu” balas Ali dengan harapan ikhlasnya. Senyuman mereka berbalas.

Ali melangkah keluar menuju ke tempat kerjanya. Seperti biasa, rohnya mendambakan basah zikirnya pada Allah. Dengan hati yang tunduk, lafaz “Lailahaillallah” bagai membawa rohnya terbang mencari-cari Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tujuan segenap langkah dan cita-cita.